Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

05 December 2009

Undur

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed, dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya baru SPRM mulai 1 Januari ini, menggantikan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang berundur lima bulan lebih awal. Difahamkan, Ahmad Said menghadapi tekanan, terutama daripada parti pembangkang yang mendesaknya melepaskan jawatan berikutan laporan indeks rasuah global Transparency International tahun ini yang meletakkan Malaysia di tangga ke-56, berbanding tempat ke-47 tahun lalu.

Anak kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib sudah memaklumkan akan mengenai meletak jawatan atas alasan kesihatan walaupun sumber membayangkan ia ada kaitan dengan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diberikan kepadanya dan Sarawak. Sulaiman meletakkan jawatan beberapa minggu lalu atas sebab-sebab kesihatan tetapi kekal sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, Sulaiman dikatakan tidak menjawab sebarang pertanyaan dan hanya sekali menghadiri sidang Parlimen dalam sesi yang sedang berlangsung sekarang. Difahamkan, beliau tidak berpuas hati dengan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pelancongan sekarang, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang tidak memberi ruang kepada beliau untuk berkhidmat dengan sebaik-baiknya selaku Timbalan Menteri. Peletakan jawatan itu turut mempunyai kaitan dengan rasa kurang senang dengan pelantikan Datuk Seri Idris Jala, seorang lagi anak Sarawak, ke Kabinet, yang dilihat sebagai melangkau ahli-ahli Parlimen Sarawak dan Sabah.


03 December 2009

yang remeh temeh

Ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim sekali lagi digantung daripada menghadiri persidangan dewan itu selepas enggan memohon maaf berhubung tuduhan menunjukkan punggung kepada Sim Tze Tzin (DAP-Pantai Jerjak) semalam.

Azhar (BN-Penaga) dituduh melakukan perbuatan itu ketika hendak keluar dewan setelah Timbalan Speaker Tan Hock Leong mengarahkan beliau keluar kerana enggan menarik balik istilah “dua tiga kerat” semasa membahaskan Bajet 2010 semalam.

"Ini satu lagi konspirasi kerajaan Pakatan Rakyat untuk menutup mulut saya daripada terus mengkritik pentadbiran mereka. Saya cuma membongkok untuk ambil beg kerana beg saya berada di bawah, takkan pula saya nak lambung guna kaki dan tangkap, tapi dituduh menunjukkan punggung pula.

"Inilah satu contoh yang ditunjukkan oleh sebuah kerajaan yang tidak bermoral, tidak bermaruah dan tidak sanggup menerima kritikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas diarah keluar oleh Speaker

18 November 2009

dont cry for me MCA

9 anggota Majlis Presiden MCA dipecat

KUALA LUMPUR: Kemelut MCA semakin panas apabila sembilan penyokong Datuk Seri Liow Tiong Lai termasuk Ketua Pemuda dan Wanita digugurkan daripada menganggotai Majlis Presiden, berkuat kuasa serta-merta.
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, ketika mengumumkan rombakan majlis berkenaan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) di sini semalam, menjelaskan tindakan itu dilakukan mengikut perlembagaan parti bagi mengukuhkan MCA.
Liow yang juga Naib Presiden MCA, bagaimanapun mendakwa Tee Keat mengamalkan politik ‘cantas dan hapus’ terhadap pemimpin yang tidak sehaluan dengannya dan menyifatkan keadaan parti itu kini seperti ‘keluarga sedang berperang’.
Mereka yang digugurkan ialah lima timbalan menteri termasuk Ketua Pemuda, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun.
Selain Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran dan Chew (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), turut digugurkan Dr Hou Kok Chung (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi), Wee Jeck Seng (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Datuk Chor Chee Heung (Timbalan Menteri Kewangan), manakala empat lagi ialah Wong Nai Chee, Gan Hong Su, Lee Wei Kiat, Gan Ping Sieu.
KETUA Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun menangis selepas dipecat, semalam.

Pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Tee Keat turut mengumumkan pelantikan tujuh anggota baru Majlis Presiden.
Dengan rombakan itu, kini hanya tinggal Liow berseorangan tanpa penyokongnya dalam Majlis Presiden.
Majlis itu yang bertindak sebagai badan pengurusan parti, turut dianggotai Presiden, timbalannya, Setiausaha Agung, Naib Presiden dan Bendahari. Tee Keat berkata, rombakan itu dilakukan bagi memastikan segala dibincang dan didebat oleh MCA dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Selain itu, beliau turut mengumumkan keputusan CC menolak mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua pada 28 November ini yang diusulkan penyokong Liow.
Tee Keat berkata, CC memutuskan resolusi EGM itu untuk mengadakan pemilihan baru parti adalah cacat dan bercanggah dengan perlembagaan MCA.
Seramai 23 ahli CC menolak EGM itu, 10 menyokong dan dua berkecuali, manakala tujuh lagi tidak hadir. Pada 6 November lalu, kumpulan Liow yang diketuai Nai Chee mengumumkan EGM kedua akan diadakan pada 28 November ini. Bagaimanapun, mereka memerlukan sekurang-kurangnya 800 perwakilan untuk mengadakan EGM itu.
Liow pada sidang media berasingan, berkata tindakan terbaru Tee Keat itu akan memburukkan lagi keadaan parti. “Mesyuarat CC hari ini (semalam) membuatkan hati kami berdarah. Presiden menggugurkan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita dalam Majlis Presiden.
“Presiden melantik orangnya dan menyingkirkan mereka yang tidak sehaluan dengannya supaya beliau boleh mempunyai kuasa mutlak dalam Majlis Presiden. Majlis Presiden adalah satu jawatankuasa penting yang memutuskan banyak perkara dalam parti,” katanya.
Sambil menegaskan MCA berada pada persimpangan jalan, Liow menggesa perwakilan menghadiri EGM kedua untuk membuat keputusan demi kebaikan MCA serta mempertahankan nilai perjuangan dan prinsip demokrasi dalam parti itu. “Pemimpin parti mesti mendengar suara ahli, perwakilan dan orang ramai. Kami tidak mahu menjadi `tawanan’ kepada politik kotor, autokratik dan penggunaan kuasa tanpa mempedulikan orang lain,” katanya.
Liow menegaskan beliau akan terus bergerak ke seluruh negara untuk mendapat sokongan perwakilan bagi mengadakan EGM kedua.

FAKTA: Senarai baru Majlis Presiden

  • Presiden
    - Datuk Seri Ong Tee Keat

  • Timbalan Presiden
    - Datuk Seri Dr Chua Soi Lek

  • Setiausaha Agung
    - Datuk Wong Foon Meng

  • Bendahari
    -
  • Naib Presiden
    - Datuk Seri Kong Cho Ha
    - Datuk Seri Liow Tiong Hai
    - Datuk Seri Ng Yen Yen
    - Tan Kok Hong

  • Dilantik
    - Datuk Loke Yuen Yow (kekal)
    - Wong Hock Aun (kekal)
    - Datuk Seri Tan Chai Ho (baru)
    - Tan Cheng Liang (baru)
    - Datuk Lee Chee Leong (baru)
    - Gan Ping Sieu (baru)
    - Datuk Ti Lian Ker (baru)
    - Datuk Dr Mah Hang Soon (baru)
    - Heng Seai Kie (baru)
  • 14 November 2009

    air lama botol baru

    Menteri Besar Selangor, pada Jumaat mengumumkan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor. Ekoran pelantikan Penasihat PKR, itu sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor diperbincangkan oleh orang ramai ada yang pro, kontra dan sebagainya lagi. Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mengungkapkan pelantikan Anwar ini tentunya merupakan satu gimik untuk menunjukkan yang PKR boleh ”survive” dalam satu ruang baru dengan satu imej yang baru. "Tapi sebenarnya ini ibarat menjual air lama dalam botol yang lama,” katanya dan menambah gimik ini kadangkala boleh dijual, tapi kebanyakan masa ia ”tidak laku”.

    15 September 2009

    Selipar Jepun


    Seorang perwakilam MIC pada perhimpunan agung parti itu, mencadangkan agar gambar mantan Perdana Menteri Y.A.Berbahagian Tun Dr. Mahathir Mohamad, 'dikalungkan selipar' ekoran teguran mantan PM itu kepada MIC. Tetapi kebanyakan orang pada majlis itu tidak pula mengetahui bentuk selipar itu sama ada selipar jepun atau selipar india. Memang ada rasa marah rakyat terutamanya ahli-ahli keluarga mantan PM kepada perwakilan kerdil itu, sebagai seorang manusia kita perlu menghormati sesiapa sahaja lebih-lebih lagi kepada mantan pemimpin no. satu kita itu.

    04 February 2009

    Turun Naik, Keluar Masuk

    4 Feb. — Barisan Nasional (BN) bersedia untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak berikutan kesediaan empat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu yang telah meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong BN, kalau ini berlaku ia adalah satu kejayaan awal bagi Pengerusi Perhubungan BN Negeri yang baru. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, bertindak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), diikuti tindakan yang sama Adun Jelapang dari DAP, Hee Yit Fong. Ketiga-tiganya menjadi wakil rakyat Bebas dan mengisytiharkan sokongan terhadap BN, manakala Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR baru-baru ini, berikrar kembali ke pangkuan Umno mulai semalam.

    10 July 2008

    Najib PM2010

    Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan jawatan Presiden Umno kepada Datuk Seri najib Razak, pada pertengahan Jun tahun depan. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, petang ini. "Ini bermakna saya tidak akan memimpin parti dalam pilihan raya ke-13 akan datang," katanya. Ini juga setakat ini menguatkan lagi keyakinan rakyat Malaysia bahawa teori RAHMAN setakat ini akan boleh diterima.

    07 April 2008

    Politik Semua Jadi




    Abdullah selar pengkritik
    Oleh Anwar Hussin dan Mohamad Farid Noh

    BERI PENJELASAN: Abdullah menyampaikan amanat kepada 1,000 Ketua Penerangan Umno pada Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno di PWTC, semalam. Pihak buat pelbagai tuduhan tidak bertanggungjawab, ada kepentingan peribadi

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyelar sikap dan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah, yang disifatkan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mencapai kepentingan peribadi masing-masing.

    Perdana Menteri yang sebelum ini menegaskan tidak akan tunduk terhadap desakan supaya meletakkan jawatan, juga dengan lantang menjawab pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap kepemimpinannya, terutama berhubung prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu. Abdullah yang juga Presiden Umno menegaskan, beliau wajar bersuara selepas rakyat mahukannya mempertahankan diri daripada pelbagai tuduhan yang tidak berasas.

    Katanya, Dr Mahathir sering menghentamnya dengan pelbagai tuduhan seolah-olah beliau (Dr Mahathir) tidak pernah melakukan kesalahan. "Kononnya pada zaman saya tidak ada kebebasan, semua orang takut dan ada yang kata saya ini lembik, tetapi (dalam masa yang sama) takut pula pada si lembik," katanya pada sidang media selepas Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno, yang pertama diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 8 Mac lalu.

    Taklimat selama 90 minit yang diadakan secara tertutup di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu dihadiri lebih 1,000 Ketua Penerangan Umno bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta ahli Majlis Tertinggi (MT). Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Abdullah mengakui Dr Mahathir memang mempunyai kekuatan dan pengaruh, tetapi menegaskan bekas Perdana Menteri itu menyalahgunakan kekuatannya sehingga merugikan parti.

    "Tun Mahathir kata dia kuat, tetapi beliau menyalahgunakannya. Dulu masa kita (BN) menang pada pilihan raya 2004, beliau berkata kuat sangat, tak boleh, tak elok, kena ada pembangkang. "Apabila keputusan pilihan raya 2008 pembangkang naik (menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen), kita ingat dia nak celebrate (raikan), tapi kita kena hentam pula. Mengapa jadi begini?

    "Menang banyak tak boleh dan menang sikit pun tak boleh... (jadi) apa yang boleh?" katanya mempersoalkan keikhlasan Dr Mahathir mengkritik kepemimpinannya. Ditanya sama ada beliau akan berlawan dengan Dr Mahathir, Abdullah berkata: "Saya bercakap apa yang perlu saya cakap dan saya tidak bercakap apa yang saya tidak perlu bercakap."

    Mengenai dakwaan Dr Mahathir yang beliau terlalu berkuasa sehingga anggota Kabinet dan MT Umno tidak berani bersuara, Abdullah berkata ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri itu, pelbagai sekatan dan arahan dibuat oleh Dr Mahathir. "Selepas Dr Mahathir mengambil alih pemerintahan daripada Tun Hussein Onn, bekas Perdana Menteri itu terus mengarahkan wartawan supaya tidak menyiarkan berita dan gambar Hussein.

    "Saya tahu, bukan saya tidak tahu... orang tertentu ditekan oleh akhbar. Ini arahan daripadanya... ia berlaku dari semasa ke semasa dan Dr Mahathir masih melakukan perbuatan sama dengan cuba menjatuhkan kepemimpinannya," katanya. Abdullah secara sinis juga berkata, semua menteri seolah-olah bodoh dan hanya menantunya, Khairy Jamaluddin saja yang pandai.

    "Tuduhan ini dibuat tanpa batasan dan terus hentam saja," katanya menjawab tuduhan kononnya beliau membiarkan dirinya dipengaruhi oleh Khairy dalam membuat keputusan dan mentadbir negara. Mengenai usaha Anwar untuk memancing 30 Ahli Parlimen BN Sarawak menyertai pakatan pembangkang pula, Abdullah berkata itu adalah perbuatan keji dan bersifat rasuah.

    Beliau menegaskan perbuatan keji Anwar itu tidak didorong sebab lain, kecuali kerana cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. "Ini dilakukan semata-mata kerana ketua mereka hendak menjadi Perdana Menteri. Jika mereka menggunakan wang, ini adalah satu perbuatan rasuah.

    "Dia akan cakap dan buat apapun, tapi ini satu rasuah jika pendekatan yang akan diambil menggunakan wang. Pada saya, ini perbuatan keji kerana tidak mengiktiraf hakikat bahawa Ahli Parlimen yang menang adalah atas kehendak rakyat," katanya. Abdullah berkata, Anwar yang dikatakan sedang berusaha memujuk Ahli Parlimen BN menyertai pembangkang, memang tidak sabar-sabar untuk menjadi Perdana Menteri.

    Katanya, ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, pemimpin pembangkang itu menyifatkan dirinya sebagai pemimpin alternatif dan kini menganggap dirinya sebagai 'leader in waiting'. "Biarlah dia menunggu," katanya. Ditanya sama ada beliau mempunyai peranan dalam pembebasan Anwar daripada hukuman penjara, Abdullah berkata keputusan itu dibuat mahkamah dan beliau langsung tidak terbabit.

    "Kerja itu saya tidak buat, orang lain saya tidak tahulah," katanya merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada September 2004 membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat selepas menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan menyalahgunakan kuasa. Mengenai kecaman Tengku Razaleigh dan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti pada Disember ini, Abdullah berkata Ahli Parlimen Gua Musang itu perlu menilai dirinya terlebih dulu.

    "Dialah yang menyebabkan Umno kalah. Dialah yang menyebabkan Kelantan jatuh kepada Pas (ketika Tengku Razaleigh bersama Semangat 46 pada Pilihan Raya Umum 1990)," katanya. Malah, katanya, Tengku Razaleigh tidak pernah membantu Umno Kelantan dalam usaha merampas kembali Kelantan daripada Pas. Abdullah berkata, satu daripada kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Tengku Razaleigh, iaitu Galas, juga jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.

    03 April 2008

    Pak Lah Tolak Spekulasi



    PUTRAJAYA 2 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan spekulasi yang beliau akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

    Abdullah mengulangi pendiriannya yang beliau tidak akan lari daripada tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.

    “Saya masih di sini. Saya masih di sini. Saya masih di sini. Mereka semua membuat spekulasi. Saya larilah. Saya letak jawatan. Kenapa perlu saya letak jawatan.

    “Kerajaan saya mendapat majoriti besar (walaupun) bukan dua pertiga tetapi amat kukuh... itulah sokongan yang diterima. Takkan saya nak lari, tinggal saya punya tanggungjawab,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di pejabatnya di sini.

    Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi itu.

    Spekulasi itu timbul ekoran gesaan oleh beberapa pemimpin termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang Abdullah patut memikul tanggungjawab bagi prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lepas dan meletakkan jawatan.

    BN hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen selepas memenangi hanya 140 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen manakala pembangkang memenangi 82 kerusi.

    BN juga tewas di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain gagal merampas kembali Kelantan daripada Pas.

    Abdullah yang jarang menghadiri majlis rasmi akhir- akhir ini turut menyemarakkan spekulasi itu.