Showing posts with label Rencana Media. Show all posts
Showing posts with label Rencana Media. Show all posts

09 December 2008

WUKUF

Wukuf beri ingatan nasib di padang Mahsyar
Perhimpunan terbesar umat manusia di Arafah ibarat hari kebangkitan semula untuk diadili TIDAK ada amal ibadah dalam Islam yang sesemarak dan seramai wukuf di Arafah. Lebih tiga juta umat Islam seluruh pelosok dunia berhimpun pada satu masa, di satu tempat dengan satu tujuan, satu seragam dan satu amalan. Mereka akan memulakan rukun haji bersama selepas tergelincir matahari dengan solat Zuhur dan Asar jamak takdim, satu azan dan dua kali kamat sambil melantunkan doa kepada Allah SWT yang selesai sebelum terbenam matahari hari ini, 9 Zulhijjah 1429H bersamaan 7 Disember 2008. Berasal daripada kata dasar 'wa-qa-fa' bererti diam, berdiri, wukuf di Arafah adalah satu daripada rukun haji paling utama kerana disebutkan dalam hadis al-hajju 'arafah yakni kesempurnaan haji berada dalam wukuf di Arafah. Tanah seluas 10,4 kilometer persegi dan arah Tenggara Masjidil Haram dengan jarak 22 kilometer itu dinamakan Arafah kerana beberapa sebab. Dinamakan demikian kerana Adam dan Hawa bertemu dan saling mengenal kembali, ta'aruf, pertama di sana selepas diturunkan ke bumi.
Dinamakan juga Arafah kerana di sana malaikat Jibril as mengajar, 'arrafa, Nabi Ibrahim as mengenai manasik haji. Selepas itu Jibril bertanya kepada Ibrahim: "Sudahkah engkau faham?" Dan dijawab oleh Ibrahim: "Ya, aku sudah faham," yakni araftu. Selain itu, Ibn Abbas berpendapat dinamakan Arafah kerana di sana manusia mengakui, i'tiraf-ya'tarifun, dosa dan kesalahannya. (Dr Muhammad Abdul Ghani, Tarikh Makkah al-Mukarramah) Arafah disebut dalam al-Quran maksudnya: "Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang 'Arafah (menuju Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di tempat Masy'ar al-Haram (di Muzdalifah)." (Surah al-Baqarah: 198) Di padang Arafahlah turun ayat terakhir al-Quran yang maksudnya: "Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." (Surah al-Maidah: 3) Arafah sebagai tempat wukuf ditetapkan oleh Baginda Rasulullah SAW dengan hadisnya bermaksud: "Aku wukuf di sini dan Arafah seluruhnya adalah tempat untuk melaksanakan wukuf." (Hadis riwayat Muslim)
Dengan berkumpulnya jutaan manusia di Arafah yang diiring dari semua penjuru dunia mengingatkan kepada kita kejadian pada kiamat iaitu hari dibangkitkan semua manusia daripada mati. Mereka dihimpunkan di padang Mahsyar untuk diadili Allah SWT. Umat Islam mengimani hari kebangkitan daripada alam kubur selepas ditiup sangkakala kali ketiga. Allah membangkitkan mayat dalam kubur, maka bangkit semua manusia menghadap Tuhan seluruh alam tanpa alas kaki, telanjang dan tidak dikhitan (Hadis Bukhari dan Muslim); matahari dekat dengan mereka; antara mereka ada yang keringatnya bercucuran sampai ke mulut. Orang pertama dibangkitkan dari bumi ialah Nabi Muhammad SAW. (Hadis riwayat Ibnu Abi 'Ashim, Ibnu Hibban dan Abu Ya'la) Pada hari besar itulah manusia keluar daripada kubur seperti belalang berterbangan datang dengan pantas kepada Penyeru itu. Semuanya terdiam tidak bergerak ketika ditebarkan catatan amal, maka terlihat semua yang tersembunyi, nampak segala yang tertutup dan terbuka keburukan yang tersimpan di dalam hati. Allah akan berbicara langsung dengan manusia pada hari itu; tidak ada penterjemah antara Allah dan mereka. Dalam kitab rujukan akidah, Syarh al-'Aqidah al-Tahawiyyah disebutkan: "Kita beriman kepada kebangkitan, pembalasan amal perbuatan pada hari kiamat, pemeriksaan, hisab, pembacaan rekod amal, pahala, seksa, al-sirat, timbangan, syurga, neraka, yang kedua-duanya sudah dicipta yang tidak akan musnah selama-lamanya dan tidak akan hancur." (hal. 404-05)
Mengenai dihidupkan kembali manusia selepas mati di padang Mahsyar, Allah menjelaskan dalam al-Quran maksudnya: "(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar (dari kubur masing-masing) berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa." (Surah Ibrahim: 48) Mengapa manusia dikeluarkan dari kubur mereka? Allah menjelaskan maksudnya: "(Keluar manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang dia telah usahakan; sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisab-Nya." (Surah Ibrahim: 51) Hari kebangkitan manusia di padang Mahsyar amat dahsyat digambarkan al-Quran dengan ayat bermaksud: "Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan. Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar); dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga setiap belahan menjadi ibarat pintu yang terbuka luas dan gunung-ganang – selepas dihancurkan - diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir." (Surah al-Naba: 17-20) Pada masa itu manusia akan menuju tempatnya sama ada maksudnya: "Sesungguhnya neraka Jahannam disediakan untuk orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya. Mereka tinggal di dalam berkurun lamanya," (Surah al-Naba: 21-23). Mahupun maksudnya: "Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman bunga dan kebun buah-buahan, terutama anggur dan perawan yang sebaya umurnya. Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman. Mereka tidak mendengar di dalam syurga perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta; sebagai balasan daripada Tuhanmu iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya." (Surah al-Naba: 31-36) Jika jemaah haji yang berwukuf di padang Arafah pada hari ini dijanjikan untuk diampunkan dosa mereka oleh Allah SWT, bagaimana dengan kita yang belum memperoleh janji terbabit? Jika jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah pada saat ini bersungguh-sungguh dalam berdoa memohon keampunan Allah di tempat yang mulia, bagaimana kita yang tidak berada di sana? Jika jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah melihat dan membayangkan Padang Mahsyar selagi mereka hidup, bagaimana dengan kita yang tidak mengalaminya? Jangan risau mahupun gelisah, wahai saudara! Jangan bersedih dan gundah gulana wahai, sahabat! Disebut dalam hadis Qudsi maksudnya: "Pada hari kiamat Allah berfirman: "Pada hari ini orang yang berkumpul (di Padang Mahsyar) akan mengetahui siapa yang termasuk dalam keluarga utama." Sahabat bertanya: "Siapakah ahli (keluarga utama itu, Ya Rasulullah?" Nabi SAW menjawab: "Mereka itu ialah keluarga majlis zikir di masjid." (Hadis riwayat Ahmad) Bersediakah anda?

18 September 2008

Media

Seragamkan doktrin televisyen nasional
RANCANGAN televisyen seperti drama bersiri, bual bicara, pertandingan nyanyian, berita, telemovie, dokumentari, kartun dan iklan menyebarkan pengaruh yang bukan sedikit di kalangan masyarakat. Sama ada membawa pengaruh positif atau negatif, televisyen adalah medium mampu milik dan menjadi kemestian di setiap rumah. Menyedari pentingnya peranan televisyen, pelbagai garis panduan telah disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya program yang disiarkan bersesuaian serta tidak melanggar tatasusila masyarakat berbilang bangsa dan agama. Bagaimanapun, garis panduan itu dilihat belum memadai dalam usaha kita untuk memperkasakan lagi rancangan-rancangan televisyen. Lantas tercetuslah Doktrin Televisyen Nasional yang diusulkan oleh Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) untuk stesen-stesen tempatan, baru-baru ini. Doktrin yang menurut Kamus Dewan Edisi ke-3 bermaksud 'prinsip atau kepercayaan yang dianggap benar dan satu-satunya dapat diterima' hasil cadangan PTVM itu antara lain bertujuan memperkasa serta menambah baik mutu rancangan-rancangan tempatan.
Difahamkan Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli akan menyerahkan doktrin yang memberi penekanan kepada pembentukan jati diri, kekuatan moral dan rohani masyarakat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak lama lagi. Doktrin PTVM yang disokong oleh 56 ahlinya itu diharap bukan setakat diberi perhatian oleh stesen-stesen televisyen sebelum mereka membeli rancangan-rancangan yang sesuai. Sebaliknya, doktrin hasil ilham PTVM yang ditubuhkan pada 14 Februari lalu itu, mesti dipatuhi oleh ahli-ahli persatuan tersebut yang merupakan pembekal rancangan-rancangan televisyen paling aktif di negara ini. Ini kerana, daripada kira-kira 400 syarikat pembekal rancangan televisyen yang ada di negara ini, 56 ahli PTVM itu adalah antara pembekal rancangan yang paling banyak menjual produk mereka termasuklah kepada Radio Televisyen Malaysia. Ahli PTVM misalnya, haruslah terlebih dahulu memastikan rancangan-rancangan yang mereka terbitkan untuk dijual kepada stesen-stesen televisyen bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga mematuhi doktrin yang telah mereka cipta itu. Doktrin Televisyen Nasional itu seharusnya juga bukan setakat untuk ditujukan kepada RTM semata-mata, tetapi ia juga patut dikemukakan kepada stesen-stesen televisyen swasta yang semakin banyak ditubuhkan sejak 10 tahun kebelakangan ini. Oleh itu apa juga doktrin atau garis panduan yang telah dikeluarkan, biarlah ia seragam dan menyeluruh demi manfaat masyarakat yang menjadikan televisyen bukan sekadar bahan hiburan.

16 September 2008

Sebalik Penubuhan Malaysia

Merenung sejarah di sebalik penubuhan Persekutuan Malaysia
Oleh Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid
HARI ini, 16 September 2008 genap 45 tahun Persekutuan Malaysia dibentuk dengan gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah (Brunei menarik diri pada saat akhir dan tidak menyertai Malaysia, walaupun bersetuju pada mulanya). Singapura kemudiannya keluar daripada Persekutuan pada Ogos 1965 selepas hampir dua tahun dalam Persekutuan Malaysia. Sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia ini seharusnya difahami semua warga negara Malaysia tidak kira apa bangsa dan keturunan, kerana ini adalah sejarah negara. Tanpa memahami sejarah negara, warga akan kurang mengerti apa sudah berlaku dan yang sedang berlaku kini. Apa yang berlaku pada hari ini mempunyai hubungan dengan apa yang berlaku semalam. Setiap warga harus melihat sejarah kerana ia mempunyai banyak pengajaran dan boleh mengelak keburukan berulang.
Malaysia dibentuk bukan dengan mudah dan terpaksa melalui beberapa proses yang agak mencabar. Hubungan di antara pergolakan dan konflik luaran yang berlaku dan masalah dalaman dalam tahun sekitar penubuhan Persekutuan Malaysia perlu difahami. Pembentukan Malaysia adalah dengan restu penjajah British bagi menyelamatkan Singapura daripada jatuh kepada kuasa komunis. Perkembangan politik di Singapura pada awal 1960-an mungkin membawa kebangkitan kuasa komunis di Singapura dan melemah/mengalahkan pengaruh Parti Tindakan Rakyat (PAP). Jika Singapura menjadi sebuah kuasa komunis, ia bukan hanya membawa ancaman kepada kepentingan British dan kuasa Barat lain di Singapura dan Tanah Melayu saja, malah juga kepentingan British dan kuasa Barat lain (khususnya Amerika Syarikat) di seluruh Asia Tenggara.
Atas alasan ini pihak British bersetuju menyerahkan Singapura, menggabungkannya dengan Persekutuan Tanah Melayu. Harus diingat juga bahawa Singapura adalah tanah jajahan British yang amat 'disayangi' di Asia Tenggara. Kalau tidak kerana ancaman komunis dalam politik Singapura yang mula berlaku dengan jelas sejak awal 1961, pihak British tidak mungkin menyerahkan Singapura dan bersetuju dengan pembentukan Persekutuan Malaysia. Persoalan percaturan kuasa dalam politik antarabangsa dan serantau, mempunyai hubungan rapat dengan pembentukan Malaysia pada 1963. Sekiranya bentuk percaturan dan pola kuasa politik antarabangsa tidak seperti yang berlaku, maka pembentukan Malaysia mungkin berbeza dengan apa yang sudah berlaku. Walaupun ancaman komunis pada peringkat serantau dan domestik mengancam keselamatan, perkiraan kestabilan politik tempatan dan kedudukan politik bangsa Melayu/Bumiputera dalam jangka panjang tidak dipandang remeh oleh Tunku Abdul Rahman.
Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu itu menolak pembentukan sebuah persekutuan yang hanya menggabungkan Tanah Melayu dan Singapura kerana ia akan membentuk sebuah kumpulan dominan yang tidak bersifat dominan Melayu. Orang Melayu tidak lagi akan menjadi kumpulan dominan dalam persekutuan yang akan menggabungkan Tanah Melayu dan Singapura. Ini akan membawa bahaya besar kepada kedudukan masa depan bangsa Melayu dan kestabilan politik negara keseluruhannya. Dengan hanya gabungan Tanah Melayu dan Singapura akan menyelamatkan pengaruh komunis, tetapi dalam jangka panjang politik orang Melayu dan Malaysia amnya tidak akan stabil dan benar-benar terjamin. Orang Cina akan menjadi kumpulan dominan dan mungkin akan menguasai kuasa politik dalam Persekutuan Malaysia yang dibentuk itu. Inilah perkiraan Tunku bahawa kuasa politik utama dan kumpulan dominan mesti berada dalam tangan orang Melayu. Perkiraan Tunku ini dalam jangka panjang adalah bagi membentuk sebuah nation-state yang lebih menjurus kepada one state, one nation atau lebih menghampiri kepada ciri-ciri ini iaitu bilangan penduduk Melayu dan Bumiputera lebih besar peratusannya. Ini mempunyai hubungan rapat dengan darjah kestabilan politik. Semakin besar kumpulan dominan Melayu/Bumiputera maka akan lebih besar kestabilan dan semestinya bilangan besar bukan-Melayu akan tidak menjamin kedudukan orang Melayu. Ini juga selaras dengan prinsip dan sejarah perjuangan bapa-bapa pejuang kemerdekaan Tanah Melayu dan kemerdekaan yang baru dicapai pada 1957. Dari sinilah timbulnya perkiraan baru bahawa Persekutuan Malaysia akan dipersetujui oleh Tunku sekiranya British bersetuju menyerahkan semua tanah jajahan British di pulau Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei ke dalam persekutuan baru. Dengan kemasukan wilayah jajahan British di Borneo ini akan menyumbang kepada jumlah penduduk Melayu dan Bumiputera yang lebih ramai dan lebih menjamin kedudukan politik orang Melayu. Akhirnya selepas melalui satu proses yang agak mencabar, maka Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 dengan gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Singapura meninggalkan Malaysia pada Ogos 1965 kerana beberapa masalah politik dan hubungan dengan isu perkauman yang bercanggah dengan falsafah politik Persekutuan Tanah Melayu pimpinan Tunku. Umno dan PAP tidak boleh bersama dalam banyak hal kerana asas falsafah politik dan sosial yang berkaitan dengan etnik yang sangat berbeza. Pimpinan Tunku menolak prinsip 'Malaysian-Malaysia' iaitu persamaan hak sama rata tanpa mengambil kira batas kaum dan agama. Pimpinan Tunku menerima prinsip persamaan hak di kalangan rakyat Malaysia, cuma beberapa perkiraan berkaitan dengan asal keturunan dan faktor sosioagama budaya tertentu, diambil kira bagi membentuk keadaan lebih adil dan harmoni. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan adalah jelas, misalnya apa yang dinyatakan dalam Perkara 8. Garis kasar hubungan kaum dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan yang diterima sebahagian besar rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia bebas bersuara dan mengemukakan pendapat dalam hal tertentu, tetapi ada hadnya bagi menjamin keharmonian hidup dalam negara berbilang kaum sebagaimana digariskan dalam perkara 10 (A) misalnya: batasan hak kebebasan bersuara daripada menyentuh kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu. Menyambut 45 tahun penubuhan Malaysia, kita sepatutnya merenung rahsia besar yang tersirat, agar kita tidak tersasar daripada falsafah perjuangan asal pejuang silam berjuang, membina dan mengisi kemerdekaan. Penulis ialah Pensyarah Kanan, Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu

30 July 2008

wartawan vs politikus

Kualiti wartawan atau mentaliti pemimpin?
"WARTAWAN pun kena belajar tanya soalan, biar ada kelas sikit. Isu-isu biar nasional, biar antarabangsa punya soalan," demikian kata Bendahari UMNO Terengganu, Datuk Roslan Awang Chik. Sementara Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan pula berkata, "Saya lihat kualiti wartawan kita rendah bila buat soalan." Kedua-dua kenyataan ini merujuk isu servis Perdana V6 Executive dan pembelian Mercedes E200 Kompressor oleh Kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini. Pertama sekali kita kena positif dengan kenyataan ini. Kita perlu menganggap kritikan terbuka terhadap media ini satu anjakan pemikiran yang berlaku dalam kalangan pemimpin negeri itu. Maka selepas ini harapan kita semua ialah pemimpin-pemimpin di Terengganu tidak lagi memberikan kenyataan-kenyataan yang retorik, remeh dan sangat tidak berkualiti. Sebenarnya sebelum ini media banyak memaparkan kenyataan yang tidak begitu berkualiti. Tetapi ironiknya tidak ada pemimpin dari Terengganu yang membantah media menyiarkan kenyataan begitu. Adakah ini kerana wartawan tersilap memetik yang remeh atau sememangnya tidak ada apa lagi selain yang disiarkan dalam media itu? Jadi, kesedaran supaya isu-isu yang bertaraf 'antarabangsa' disiarkan adalah suatu yang positif. Sekali pun bukan bertaraf 'antarabangsa' tetapi isu kos servis Perdana V6 Executive dan pembelian Mercedes bukan pula isu remeh dan boleh disapu di bawah karpet. Memang isu ini menjadi sensasi tetapi bukan pula semua yang sensasi itu remeh. Ia menjadi sensasi kerana banyak orang hendak tahu, pihak mana lagi yang akan menjawabnya kalau bukan media? Isu yang menarik perhatian rakyat dan mereka berhak diberi jawapan. Wartawan memenuhi tuntutan untuk memberitahu apa saja persoalan yang bersarang di fikiran rakyat tanpa membelakangkan undang-undang. Lalu yang menjadi lebih sensasi ialah persepsi. Wartawan atau media tidak mempunyai keupayaan untuk menghalang daripada orang membuat persepsi masing-masing. Ini sama juga dengan persepsi bahawa isu Perdana V6 Executive sebagai remeh. Wartawan tidak dapat menghalang mana-mana pihak yang ada persepsi sedemikian. Maka agak kurang tepat kalau wartawan dirujuk sebagai melontarkan soalan yang tidak ada 'kelas' hanya kerana mahu merungkai persoalan yang menjadi tanda tanya rakyat. Tambahan pula, mana-mana wartawan sekali pun, mereka diasuh dengan analogi "manusia gigit anjing" atau "anjing gigit manusia". Analogi ini adalah perkara asas untuk menilai sesuatu yang berlaku itu ada nilai berita atau sebaliknya. Dalam konteks kita, kalau anjing menggigit manusia adalah perkara biasa dan tidak ada nilai berita kecuali jumlah yang digigit itu besar. Tetapi kalau "manusia gigit anjing", itu sudah ada nilai berita kerana perkara yang sangat jarang berlaku, pelik dan hampir tidak munasabah.
Analogi ini boleh disesuaikan dengan semua keadaan. Wartawan akan sentiasa berfikir dalam konteks "manusia gigit anjing" dalam apa juga keadaan untuk membezakan sesuatu yang biasa dan luar biasa. Analogi ini juga dimanfaatkan dalam konteks isu Perdana V6 Executive di Te- rengganu yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini. Mungkin benarlah soalan-soalan yang dilontarkan oleh wartawan mengenai isu ini tidak bertaraf 'antarabangsa' sebab isu ini pun bukan isu antarabangsa. Wartawan sebenarnya telah diasuh menghidu isu-isu yang bukan saja ada nilai berita malah ada kepentingan kepada rakyat. Mungkin wartawan 'antarabangsa' tidak memikirkan kepentingan rakyat dan isu Perdana V6 Executive tidak ada nilai kepada mereka. Daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Terengganu, belanja servis Perdana V6 dalam jangka masa empat tahun menyamai nilai sebuah Perdana V6 Executive yang baru. Inilah nilai berita sebab pertama kali berlaku seumpama ini. Begitu juga suara sinis yang menganggap belanja RM3.43 juta untuk membeli Mercedes sebagai 'kecil' bagi sebuah negeri. Nilai beritanya ialah Menteri Besar dan anggota Exco pakai Mercedes, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pakai Perdana V6 Executive saja. Cara berfikir wartawan betul dalam konteks nilai berita. Wartawan antara profesion yang unik, kerana itu tidak hairan kalau ada yang tidak begitu faham tentang profesion ini. Ini samalah dengan satu peristiwa yang berlaku di sebuah hospital di Poland selepas Perang Dunia Kedua dulu. Seorang doktor diherdik oleh seorang tentera yang cedera, kemudian dia mengajar doktor itu bagaimana cara-cara untuk merawatnya. Doktor itu tidak marah tetapi sambil tersenyum dia berkata, "Anda seorang yang bertuah kerana lebih pandai daripada saya tanpa pergi ke sekolah perubatan."