25 June 2007

'Ali Kimia Yang Tidak Kimia'

'Ali Kimia’ dihukum gantung
Dua lagi bekas pegawai Saddam terbabit bunuh puak Kurd terima nasib sama
BAGHDAD: Tribunal Iraq semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas sepupu Saddam Hussein dikenali ‘Ali Kimia’ dan dua lagi pegawai bekas rejim itu berikutan peranan mereka dalam kempen bumi-panas pada 1980-an sehingga mengakibatkan kematian beratus ribu puak Kurd. Ali Kimia atau nama sebenarnya, Ali Hassan al-Majid, sepupu Saddam dan bekas ketua Biro Pemerintah Utara Parti Baath, mendapat nama gelaran itu kerana didakwa menggunakan senjata kimia ke atas etnik minoriti itu ketika usaha menghalang pemberontakan di utara. Hakim Mohammed Oreibi al-Khalifa, berkata al-Majid didapati bersalah kerana pembunuhan sesuatu bangsa, jenayah terhadap kemanusiaan dan perang selepas mengarahkan tentera dan perkhidmatan keselamatan menggunakan senjata kimia dalam skala besar yang membunuh atau menghapuskan ribuan nyawa. Bekas Menteri Pertahanan, Sultan Hashim Ahmad al-Tai turut dijatuhkan hukuman sama selepas hakim mendapati dia mengarahkan serangan besar-besaran terhadap penduduk awam, menggunakan senjata kimia dan memindahkan puak Kurd. Al-Tai, yang memakai jubah tradisi Arab dan kain lilit kepala berwarna putih, berdiam diri ketika hukuman dibacakan tetapi mempertahankan bahawa dia tidak bersalah selepas itu. Bekas timbalan pengarah operasi pasukan tentera Iraq, Hussein Rashid Mohammed, turut dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah menyediakan perancangan tentera dan tuduhan lain terhadap puak Kurd. Dua lagi bekas pegawai rejim, Farhan Mutlaq Saleh, bekas ketua perisikan tentera pejabat timur serantau dan bekas pengarah perisikan tentera di bawah Saddam, Sabir al-Douri, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. - AP