17 March 2009

Limbang Milik Kita

BANDAR SERI BENGAWAN 16 Mac – Brunei Darussalam hari ini secara rasmi menggugurkan tuntutan ke atas Limbang di Sarawak selepas Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menandatangani Surat Pertukaran bagi menyelesaikan isu sempadan dan tuntutan bertindih. Berita menggembirakan itu dinyatakan oleh Abdullah kepada pemberita Malaysia selepas upacara tersebut yang ditanda tangani pada kira-kira pukul 12.05 tengah hari di Istana Nurul Iman di sini. Peristiwa bersejarah itu turut disaksikan oleh Tuanku Mahkota Brunei, Al-Muhtadee Billah; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan rakan sejawatnya, Putera Mohamed Bolkiah; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman. Apa yang lebih menggembirakan lagi ialah isu-isu sempadan dan perkara-perkara pokok yang berlarutan begitu lama sejak 1995 telah dapat diselesaikan,” kata Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini. Isu Limbang selama ini meletakkan kedua-dua negara dalam keadaan dilema kerana wilayah itu agak unik kerana memisahkan dua kawasan daratan di Brunei. Selain masalah persempadanan darat di Limbang, penemuan sumber baru minyak di kawasan seluas 150 kilometer oleh Petronas turut mencetuskan masalah persempadanan maritim kedua-dua negara berjiran itu. Isu mengenai tuntutan ke atas Limbang, yang kedudukannya diapit oleh daerah Brunei-Muara dan Temburong (ke arah Sabah) timbul setiap kali masalah persempadanan Malaysia-Brunei dibangkitkan sejak pembentukan Malaysia pada 1963. Daerah itu, yang mempunyai keluasan 3,978 kilometer persegi, didiami penduduk etnik Melayu, Lun Bawang, Cina, Kedayan, Iban, Bisaya, Kelabit, Tagal dan Penan. Ia menjadi sebahagian Sarawak ketika pemerintahan James Brooke pada 1890. Apabila Sarawak mencapai kemerdekaan dan menganggotai Malaysia pada 1963, Limbang kekal sebagai satu daripada daerahnya.

15 March 2009

Tahniah Datuk

DATUK Lee Chong Wei akhirnya menamatkan badi kekalahannya kepada Lin Dan apabila menewaskan pemain China itu 21-16, 21-16 untuk menjuarai Terbuka Switzerland, semalam. Kejayaan manis pemain nombor satu dunia itu bukan sahaja berjaya menebus kekalahannya kepada pemain nombor dua dunia itu pada perlawanan akhir Sukan Olimpik Beijing 2008 malah Terbuka China 2008 dan Seluruh England 2009 minggu lalu. Kalau ahli-ahli sukan kita seperti datuk ni alangkah baiknya dan mungkin lebih banyak kejohanan yang akan dirangkul diperingkat antara bangsa kelak, apapun tahniah kepada beliau yang sekali gus merapatkan jurang permainan dengan acai seorang ini dengan pencapaian 4 - 11 yang masih memihak kepada Lin Dan.

20A


KOTA BHARU: Anak pasangan nelayan dan tukang sapu, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, membuktikan kemiskinan bukan halangan untuk berjaya dalam pelajaran apabila meraih pencapaian cemerlang 20A termasuk 1A2, dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang diumumkan semalam. Nik Nur Madihah, 18, turut mencipta rekod sebagai pelajar terbaik Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini, apabila mendapat A1 bagi Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Pendidikan Islam; Sejarah, Matematik; Sains; Kesusasteraan Melayu; Geografi; Bahasa Arab Tinggi; Matematik Tambahan; Perdagangan; Prinsip Perakaunan; Ekonomi Asas; Fizik; Kimia dan Tasawwur Islam.
Beliau turut mendapat A1 dalam Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah; Pendidikan Syariah Islamiah dan English for Science dan Technology. Satu-satunya mata pelajaran yang beliau mendapat A2 ialah Biologi. Nik Nur Madihah berkata, kejayaan cemerlangnya itu adalah hadiah kepada ibu bapanya, Nik Mohd Kamal Husin, 42, dan Mariani Omar, 40, yang sentiasa memberi penekanan terhadap kepentingan menuntut ilmu dalam usaha merubah kehidupan dan kemiskinan keluarga. "Keluarga saya miskin, bapa hanya nelayan, ibu pula tukang sapu di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), namun mereka adalah kebanggaan saya kerana sentiasa memberi dorongan untuk mencipta kejayaan.
"Guru-guru di Maahad Muhammadi juga banyak membantu kerana mereka sentiasa memberi perhatian dan sedia memberi tunjuk ajar pada bila-bila masa kerana saya mengambil 20 mata pelajaran dalam SPM dengan sasaran awal mahu memperoleh 18A. "Saya mengulang kaji awal pagi setiap hari selepas bersolat tahajud dan membaca al-Quran yang menjadi amalan sejak di sekolah rendah lagi. Berikutan tidak mampu mengikuti kelas tambahan di luar kerana mahal, saya beri tumpuan sepenuhnya ketika dalam kelas," katanya. Anak jati perkampungan nelayan, Kampung Parang Puting dekat Pantai Sabak itu, ditemui selepas menerima keputusan peperiksaan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Mohd Amar Nik Abdullah, di sekolah terbabit, semalam. Hadir sama Pengetua Maahad Muhammadi (P), Zainah Abdullah dan Pelajar Terbaik SPM 2006 dari sekolah itu, Siti Fatimah Mokhtar, yang mendapat 18A termasuk 1A2.
Nik Nur Madihah berkata, peluang mengikuti Seminar Skor SPM anjuran Berita Harian tahun lalu, banyak membantunya menghadapi peperiksaan selepas mendapat pendedahan kaedah terbaik menjawab soalan. Beliau yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang Fizik di Asia Barat. berkata, keputusan dicapainya itu membuktikan kejayaan dalam pelajaran mampu dimiliki sesiapa saja yang mempunyai keazaman dan bukannya bergantung kepada latar belakang keluarga saja. Kecemerlangan Nik Nur Madihah bermula sejak di sekolah rendah lagi apabila mendapat 5A bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 9A bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2006.. Sementara itu, Mariani berkata, sebagai ibu, beliau dan suaminya sentiasa mendoakan kejayaan untuk empat anak mereka dan menanam kesedaran terhadap kepentingan ilmu demi mengubah masa depan. "Saya dan suami hanya berpendapatan antara RM500 dan RM600 sebulan dan memastikan anak tidak tercicir dalam persekolahan, kami terpaksa berjimat cermat membiayai persekolahan mereka," katanya.

12 March 2009

Mini Bajet RM60 Bilion



Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersalaman dengan Datuk Seri Najib Tun Razak selepas timbalannya itu membentangkan pakej rangsangan ekonomi kedua bernilai RM60 bilion di Parlimen, semalam. – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 10 Mac – Melebihi jangkaan! Kerajaan hari ini mengumumkan pakej rangsangan tambahan berjumlah RM60 bilion – suntikan yang dijangka mampu memulihkan ekonomi negara yang lembap kesan kemelesetan global dan pada masa sama, memastikan kesejahteraan rakyat. Pakej yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu lebih sekali ganda daripada sekurang-kurangnya RM30 bilion atau 30 peratus daripada Bajet 2009 yang diharap-harapkan oleh pelbagai pihak termasuk penganalisis ekonomi.
Bajet Mini yang dibahagikan kepada empat teras itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun iaitu 2009 dan 2010.
- Teras pertama sebanyak RM2 bilion akan memberi tumpuan mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan;
- Teras kedua, RM10 bilion untuk meringankan beban rakyat terutamanya golongan mudah terjejas;
- Teras ketiga, RM29 bilion untuk membantu sektor swasta menghadapi krisis dan
- Teras keempat, RM19 bilion untuk membina keupayaan masa depan.
Mungkin tidak menyangka saiz ‘Bajet Mini’ yang cukup besar akan diumumkan, Najib yang juga Menteri Kewangan langsung tidak diganggu oleh Ahli Parlimen termasuk pembangkang sepanjang pembentangan sejam 17 minit – berbeza ketika beliau membentangkan pakej rangsangan pertama RM7 bilion November tahun lalu. “Jumlah RM60 bilion ini merupakan hampir sembilan peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar). Pelaksanaan Pakej Rangsangan yang bersaiz besar seperti ini adalah kali pertama dilakukan dalam sejarah ekonomi negara,” katanya ketika membentangkan Rang Undang- undang Perbekalan Tambahan 2009 atau Bajet Mini itu bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Najib, daripada jumlah pakej rangsangan kedua itu, sebanyak RM15 bilion merupakan suntikan fiskal, RM25 bilion Dana Jaminan, RM10 bilion pelaburan ekuiti, RM7 bilion daripada inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan off-budget serta RM3 bilion insentif cukai. Beliau yakin peruntukan RM206 bilion dalam Bajet 2009, ditambah RM7 bilion Pakej Rangsangan Pertama dan kini RM60 bilion dalam Bajet Mini mampu mengurangkan kesan penguncupan ekonomi global ke atas ekonomi negara. Memandangkan senario ekonomi global yang meruncing, Najib berkata, Pakej Rangsangan Kedua ini perlu bersifat lebih komprehensif dan bersaiz besar yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi dan kumpulan sasaran. Ini termasuk pekerja, pengguna, pelabur, peniaga kecil dan sederhana, pengeksport dan graduan menganggur. Di samping itu, langkah-langkah yang dirangka bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha merangsang ekonomi dalam tempoh terdekat tetapi merangkumi inisiatif membina kapasiti ekonomi jangka panjang.
Ini menurutnya, akan menjamin Malaysia lebih bersiap sedia untuk meraih segera peluang tatkala ekonomi global kembali pulih kelak. “Kerajaan beriltizam untuk terus melakukan segala yang termampu untuk mengukuhkan keyakinan rakyat dan meringankan keperitan yang dirasai terutamanya kepada mereka yang mudah terjejas. “Kerajaan akan memastikan kesejahteraan semua rakyat akan terus dibela dan tiada yang terpinggir daripada mendapat manfaat langkah- langkah yang dilaksanakan,” katanya.
Sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kerumitan rakyat, teras pertama dan kedua dalam Bajet Mini memberi tumpuan menyeluruh daripada soal memberi latihan, menjaga kebajikan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada pekerja yang diberhentikan serta siswazah menganggur sehingga kepada subsidi tol, gula, roti dan tepung gandum. Menurutnya, sebanyak RM674 juta diperuntukkan sebagai subsidi tambahan untuk mengelakkan kenaikan harga bahan makanan harian. “Tanpa subsidi ini, harga gula akan meningkat 47 sen sekilo, tepung gandum naik 60 sen sekilo dan roti 400 gram meningkat 26 sen,” katanya sambil menambah sebanyak RM480 juta lagi disediakan supaya kadar tol tidak dinaikkan. Untuk mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan, Najib berkata, kerajaan akan mewujudkan 163,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan di sektor awam dan swasta. Ini meliputi 63,000 kakitangan untuk mengisi kekosongan jawatan di pelbagai agensi kerajaan termasuk 13,000 jawatan pegawai kontrak.

Melayu mungkin pupus

BANGI 10 Mac - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan orang Melayu tentang kewujudan usaha radikal oleh pihak-pihak tertentu untuk mengubah resipi kekuatan bangsa Melayu. Baginda bertitah, resipi yang mahu diubah itu terdiri daripada faktor-faktor agama, bahasa dan budaya di bawah naungan dan perlindungan raja-raja Melayu serta termaktub dalam Perlembagaan. Baginda menegaskan, dalam konteks bangsa Melayu di negara ini, resipi kekuatan itu merujuk kepada elemen utama penyatuan dan kekuatan bangsa. "Hari ini telah timbul usaha-usaha radikal daripada kalangan yang tidak mendalami muslihat di sebalik yang tersirat yang mahu mengubah resipi tersebut,'' titah baginda. Raja Nazrin bertitah demikian ketika melancarkan buku The Malays karya ahli akademik Australian National University, Prof. Anthony Milner di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini. Raja Muda Perak bertitah, keterusan hidup atau survival Melayu sebagai satu bangsa bergantung beberapa faktor yang selama ini memberikannya identiti dalam bentuk agama, bahasa dan budaya. Titah baginda, ia termasuk budaya bernegara dan berkerajaan yang berpegang kepada prinsip rakyat beraja dan negeri bersultan. Baginda bertitah, betapa malangnya bangsa apabila berlakunya tindakan yang mahu menghapuskan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu. "Betapa terancam survival bangsa apabila tradisi dan institusi tidak lagi dihormati dan disifatkan sebagai antitesis kepada pemikiran rasional, permodenan dan sains. "Betapa malangnya apabila generasi yang cetek terhadap latar belakang sejarah mengaitkan tradisi sebagai amalan jahiliah, tahyul dan dogmatik," titah baginda. Raja Nazrin bertitah, dalam mengharungi gelombang globalisasi dan menghadapi dinamik politik yang sedang melanda, bangsa Melayu kini di persimpangan jalan dan menghadapi dua kemungkinan.
Titah baginda, kemungkinan pertama ialah bangsa Melayu akan terus bertahan, berkembang dan kuat serta dihormati dan diiktiraf sebagai rumpun bangsa yang agung di dunia global. Kemungkinan kedua, titah baginda, ialah bangsa Melayu hanyut dalam gelombang globalisasi, menjadi lemah kerana akar budaya dan tradisinya telah dicabut malah pemikiran, gaya hidup dan nilai-nilai budaya bangsa makin disisihkan. Sehingga akhirnya, baginda bertitah, Melayu itu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan cerita yang terkandung dalam hikayat-hikayat lama. Pada ketika itu, Raja Nazrin bertitah, tiada lagi minat untuk dilakukan kajian sosiopolitik dan sosioekonomi bangsa Melayu secara dinamik. Baginda bertitah, kalau masih ada pun yang berminat mengkaji bangsa Melayu, ia mungkin terbatas kepada sejarah kejatuhan atau lebih tertumpu kepada aspek antropologi dan arkeologi bangsa Melayu yang hanya tinggal dalam sejarah. "Untuk itu, perlulah bangsa mengambil renungan akan kisah kebodohan Pak Kadok, memiliki ayam sabung yang hebat lalu dipermainkan oleh pihak lawan. "Akhirnya Pak Kadok menyerahkan ayam sabung kepada lawan, Pak Kadok sekadar bersorak menang sabung sedangkan kampungnya telah digadai," titah baginda. ( Utusan Malaysia )

01 March 2009