17 March 2009

Limbang Milik Kita

BANDAR SERI BENGAWAN 16 Mac – Brunei Darussalam hari ini secara rasmi menggugurkan tuntutan ke atas Limbang di Sarawak selepas Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menandatangani Surat Pertukaran bagi menyelesaikan isu sempadan dan tuntutan bertindih. Berita menggembirakan itu dinyatakan oleh Abdullah kepada pemberita Malaysia selepas upacara tersebut yang ditanda tangani pada kira-kira pukul 12.05 tengah hari di Istana Nurul Iman di sini. Peristiwa bersejarah itu turut disaksikan oleh Tuanku Mahkota Brunei, Al-Muhtadee Billah; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan rakan sejawatnya, Putera Mohamed Bolkiah; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman. Apa yang lebih menggembirakan lagi ialah isu-isu sempadan dan perkara-perkara pokok yang berlarutan begitu lama sejak 1995 telah dapat diselesaikan,” kata Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini. Isu Limbang selama ini meletakkan kedua-dua negara dalam keadaan dilema kerana wilayah itu agak unik kerana memisahkan dua kawasan daratan di Brunei. Selain masalah persempadanan darat di Limbang, penemuan sumber baru minyak di kawasan seluas 150 kilometer oleh Petronas turut mencetuskan masalah persempadanan maritim kedua-dua negara berjiran itu. Isu mengenai tuntutan ke atas Limbang, yang kedudukannya diapit oleh daerah Brunei-Muara dan Temburong (ke arah Sabah) timbul setiap kali masalah persempadanan Malaysia-Brunei dibangkitkan sejak pembentukan Malaysia pada 1963. Daerah itu, yang mempunyai keluasan 3,978 kilometer persegi, didiami penduduk etnik Melayu, Lun Bawang, Cina, Kedayan, Iban, Bisaya, Kelabit, Tagal dan Penan. Ia menjadi sebahagian Sarawak ketika pemerintahan James Brooke pada 1890. Apabila Sarawak mencapai kemerdekaan dan menganggotai Malaysia pada 1963, Limbang kekal sebagai satu daripada daerahnya.