24 April 2008

21 April 2008

Datuk Siti


KUALA LUMPUR 20 April – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin,29,mengharumkan nama negara sekali lagi selepas berjaya memenangi anugerah
Artis Wanita Paling Popular untuk lapan tahun berturut-turut dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2008.

19 April 2008

Tahniah Datuk2


DARI kiri, Datuk Maznah Mazlan - Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Rahim Bakri - Timbalan Menteri Luar dan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin - Timbalan Menteri Pengangkutan

PUTRAJAYA: Ketua Pergerakan Wanita Umno Pahang, Datuk Maznah Mazlan dan dua Ahli Parlimen dari Sabah adalah timbalan menteri baru yang dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi semalam, bagi mengisi tiga kekosongan jawatan itu. Maznah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah yang juga anggota Exco Pahang, dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, menggantikan tempat Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh yang meletak jawatan bulan lalu atas alasan peribadi.

Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar, manakala Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin menduduki jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan. Abdul Rahim dan Lajim masing-masing menggantikan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Datuk Anifah Aman yang menolak pelantikan itu selepas Perdana Menteri mengumumkan barisan Kabinet barunya, bulan lalu.

Maznah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dalam tempoh terdekat. Maznah sebagai Exco serta memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Jawatankuasa Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan dimaklumkan dalam sehari dua lagi.

Beliau yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Kudat berkata, pengalamannya bertugas di kementerian luar termasuk sebagai diplomat selama empat tahun di Taiwan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan tugas baru itu. Sementara itu, Lajim yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort pula menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan sebagai tanggungjawab besar yang perlu dipikulnya untuk kepentingan negara. Katanya, pengalaman sebagai bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri memberi keyakinan kepada beliau untuk menunaikan tanggungjawab itu kepada negara.

18 April 2008

3G



16 April 2008

Beras

Beras naik mendadak - Harga melonjak antara 10 hingga 20 peratus sejak Ahad

NAIK... Pemantauan oleh FOMCA mendapati kenaikan harga beras berlaku di kawasan-kawasan bandar seluruh negara termasuk di Lembah Klang.Sebagai contoh, harga baru beras Jasmine Super Special Tempatan untuk 5kg naik kepada RM15.90 daripada RM12.90. manakala untuk kampit 10kg naik kepada RM28.80 daripada RM24.80.Untuk beras Saga Basmathi pula, kampit 5kg naik kepada RM26.90 daripada RM24.50, manakala Saga Super Special untuk 5kg naik kepada RM12.90 daripada RM10.90. - PENIAGA Hasnim Amir Rashid menyusun kampit beras di kedainya di Bandar Baru UDA, Johor Bahru, semalam.

KUALA LUMPUR 15 April – Harga beras di seluruh negara mencatatkan kenaikan mendadak antara 10 peratus hingga 20 peratus sejak Ahad lalu, dipercayai berpunca daripada peningkatan harga beras global. Tinjauan mendapati beras Super Special 5% Tempatan jenama Jasmine naik antara RM3 hingga RM4 sekampit dengan harga terbaru RM15.90 bagi kampit 5 kilogram berbanding RM12.90 sebelum ini dan RM28.80 bagi kampit 10 kilogram berbanding RM24.80.

Pemantauan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendapati ia berlaku di kawasan bandar di seluruh negara termasuk di Lembah Klang. Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd. Yusof Abd. Rahman berkata, peningkatan harga itu perlu dibendung segera supaya tidak membebankan rakyat. “Kita menerima laporan mengenai wujud kenaikan ini yang didakwa peniaga berpunca daripada peningkatan harga di peringkat global,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Harga beras dunia yang kini berada pada paras AS$780 (RM2,464) setan metrik berbanding AS$360 (RM1,137) setan metrik pada akhir tahun lalu. Harga tersebut dijangka meningkat antara AS$1,000 (RM3,160) hingga AS$1,200 (RM3,792) setan metrik dalam tempoh dua bulan akan datang kerana kesukaran memenuhi permintaan dan masalah untuk meningkatkan pengeluaran dalam masa singkat.

Kelmarin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan menambah stok beras negara yang kini sebanyak 600,000 tan metrik kerana ia hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan sahaja. Mohd. Yusof berkata, orang ramai yang tidak mampu membeli beras mahal perlu beralih menggunakan beras gred super tempatan kerana ia dikawal oleh kerajaan. “Tiada kenaikan terhadap beras jenis ini yang ditetapkan antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram bagi harga runcit mengikut zon,” jelasnya. Tambah beliau, kerajaan perlu mengambil langkah meningkatkan kuantiti beras kawalan berkenaan berikutan terdapat aduan beberapa kawasan di seluruh negara berlaku kehabisan bekalan. “Perkara ini tidak sepatutnya terjadi kerana ia menjadi alternatif kepada orang ramai yang tidak mampu membeli beras jenis lain yang semakin meningkat harga,” katanya.

Di ALOR STAR, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusuff Ismail berkata, harga beras di negeri itu naik kira-kira RM1 hingga RM2 sejak minggu lalu. Menurut beliau, pejabatnya menerima lebih 100 panggilan telefon daripada pengguna yang mengadu kenaikan harga beras secara mendadak. Ada pengguna yang mengadu bahawa dia perlu membayar RM17.50 berbanding RM15.50 untuk sekampit berat 10 kilogram. “Tinjauan saya juga mendapati banyak pekedai mendakwa mereka terpaksa menaikkan harga berikutan terpaksa membeli beras dengan harga yang mahal daripada pemborong,” ujarnya. Menurutnya, Kedah merupakan jelapang padi negara dan masalah kekurangan beras tidak sepatutnya berlaku di negeri itu.

Di KOTA BHARU, harga beras gred super tempatan di sekitar bandar itu meningkat sebanyak 20 sen sejak minggu lalu, menjadikan ia kini berharga RM2.50 sekilogram. Harga beras Siam pula meningkat secara mendadak iaitu antara 30 dan 40 peratus dengan beras gred A naik daripada RM2.50 sekilogram kepada RM4 sekilogram berikutan permintaan yang semakin bertambah dan kekurangan bekalan. Harga beras tempatan dijangka terus meningkat berikutan kebanyakan penduduk yang menggunakan beras Siam mula bertukar kepada beras tempatan. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hanya sebilangan peniaga menaikkan harga beras gred super tempatan kerana bimbang dikenakan tindakan pihak berkuasa disebabkan bahan ruji itu adalah barangan kawalan.

Di KUANTAN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mendapati beras import seperti Basmathi mengalami kenaikan harga antara lima hingga 20 peratus sejak krisis pengeluaran barangan makanan itu berlaku. Kecuali beras import, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan gred super tempatan di Pahang. Pengarahnya, Abu Samah Shabudin berkata, orang ramai perlu faham, kerajaan hanya mengawal harga beras gred super tempatan yang mengandungi 15 peratus kandungan beras hancur dan ke bawah. “Kita tidak mengawal harga beras import seperti jenis Basmathi,” katanya.

Di SHAH ALAM, tinjauan mendapati beras-beras import seperti Basmathi Super Special naik antara RM1 hingga RM4 sekampit. Seorang peruncit di Seksyen 8, Nartini Mustar, berkata, beliau agak terkejut apabila melihat harga pada kampit-kampit beras yang baru sampai di kedainya tiga hari lalu naik mendadak. Menurutnya, bagi beras Super Special 5 % Tempatan jenama Jasmin naik antara RM3 hingga RM4 sekampit dengan harga terbaru RM15.90 bagi kampit lima kilogram berbanding RM12.90 sebelum ini dan RM28.80 bagi kampit 10 kilogram berbanding RM24.80. “Pelanggan-pelanggan juga merungut dengan kenaikan yang mendadak bagi beras jenama tersebut yang menjadi pilihan ramai,” katanya. Bagaimanapun di Johor Bahru dan Kuching, tinjauan mendapat harga beras masih kekal pada paras biasa.

14 April 2008

11 April 2008

macam2


Kunci seluar elak hubungan seks

KUNCI: Seorang wanita tukang urut menunjukkan kunci mangga yang dipasang pada seluarnya di Batu, Jawa Timur, semalam.

JAKARTA: Pusat urut di sebuah pekan di Indonesia meminta tukang urut wanitanya supaya "mengunci dengan mangga" skirt dan seluar mereka sebagai tanda bahawa seks tidak ditawarkan dalam khidmat urut mereka. Tapi langkah itu dibantah oleh menteri hal-ehwal wanita Indonesia, di mana pusat urut sering dilihat sebagai bahagian hadapan pelacuran.
"Ia bukan cara yang betul untuk mengelakkan seks rambang," Meutia Swasono dipetik sebagai berkata dalam akhbar Jakarta Post semalam. "Ia menghina wanita seolah-olah merekalah di pihak yang salah." Sekurang-kurangnya sebuah pusat urut di pekan pelancongan Batu di Jawa mengarahkan tukang urutnya "mengunci dengan mangga" skirt atau seluar mereka sebagai tanda jelas bahawa tempat itu tidak menawarkan khidmat pelacuran. Pusat lain sudah mulai mengikutinya selepas pegawai kerajaan menganggapnya sebagai satu idea baik pada satu pertemuan dengan pemilik pusat urut. Gambar televisyen dan gambar biasa menunjukkan tukang urut dengan mangga pada zip seluar atau skirt mereka sejak akhir-akhir ini. "Fenomena mengunci dengan mangga itu dilihat di beberapa pusat urut dan ia adalah sesuatu yang disokong," kata Imam Suryono, ketua pihak berkuasa tempatan pekan berkenaan. Beliau menafikan laporan media bahawa beliau mengeluarkan arahan itu dengan secara rasmi. - AP

sengkang mata


Manchester Utd 1-0 AS Roma
(United layak, agregat 3-0)

JADUAL SEPARUH AKHIR
22 April

Liverpool MLN Chelsea (Stadium Anfield)

23 April

Barcelona MLN Manchester Utd (Stadium Nou Camp)

09 April 2008

undi oh undi

PUTRAJAYA 8 April – Sebanyak 321,885 undi rosak dikesan semasa pengundian Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu. Daripada jumlah itu, Johor mencatat jumlah tertinggi apabila masing-masing 28,709 dan 25,455 undi rosak dicatatkan dalam pengundian 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini menjadikan sejumlah 54,164 undi rosak dicatatkan di negeri tersebut.

Menurut statistik yang dipaparkan pada laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Johor pada masa sama mencatat peratus tertinggi undi rosak peringkat DUN apabila mencatatkan 2.55 peratus. Dari segi peratusan undi rosak untuk pengundian peringkat Parlimen pula, Johor turut mencatatkan jumlah undi rosak tertinggi iaitu sebanyak 2.95 peratus, menjadikan ia negeri tertinggi selepas Sabah. Pada pengundian peringkat Parlimen pilihan raya umum baru-baru ini, Sabah mengatasi negeri lain apabila 3.02 peratus undi yang diterima dari negeri itu digolongkan sebagai rosak.

Sabah merupakan satu-satunya negeri yang mencatatkan peratus undi rosak yang melebihi tiga peratus. Selain Johor, negeri yang mencatatkan bilangan undi rosak yang tinggi ialah Selangor (46,262), Perak (43,057) dan Kedah (30,795). Peratus undi rosak peringkat Parlimen di Selangor ialah 2.08 peratus manakala 1.78 peratus untuk DUN. Perak pula mencatatkan 2.6 peratus undi rosak untuk Parlimen dan 2.34 peratus untuk DUN manakala Kedah, 2.22 peratus untuk Parlimen dan 2.2 peratus untuk DUN. Dalam pada itu, dua Wilayah Persekutuan di Semenanjung iaitu Putrajaya dan Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan peratus undi rosak yang paling rendah iaitu 0.7 peratus dan 0.89. Selain Kuala Lumpur dan Putrajaya, negeri yang mencatatkan undi rosak paling rendah untuk peringkat Parlimen ialah Sarawak (1.22 peratus) diikuti Pulau Pinang (1.4 paratus) dan Terengganu (1.50) Untuk pengundian peringkat DUN pula, dua negeri pantai timur iaitu Terengganu dan Kelantan mencatatkan peratus undi rosak yang paling rendah iaitu masing-masing 1.29 dan 1.41 peratus.

08 April 2008

TV dan Anak-Anak


Televisyen 'curi' masa berkualiti kanak-kanak Jumlah masa menonton pelbagai program lebih banyak berbanding tempoh diluangkan bersama ibu bapa

MEDIA elektronik, khususnya televisyen adalah media yang menjadi kegemaran semua lapisan masyarakat dari peringkat warga tua hinggalah belia, remaja dan kanak-kanak. Di antara golongan berkenaan, kanak-kanak adalah antara yang paling ramai dan banyak menghabiskan masa menonton televisyen. Bermula dari jam sembilan pagi kanak-kanak sudah pun terpacak di hadapan televisyen untuk menonton rancangan yang kononnya memberikan manfaat kepada mereka secara sepenuhnya. Bagi pihak penyiaran pula, menyedari kanak-kanak menjadi kelompok utama yang menonton televisyen maka pelbagai rancangan berunsurkan cita rasa dan minat golongan itu disajikan.

Koordinator Pendidikan Pengguna dan Masyarakat, Teras Pengupayaan Melayu, Zulzaidi Mahmod, berkata senario yang berlaku itu tanpa disedari didapati, televisyen yang mendidik kanak-kanak dan bukannya ibu bapa. Televisyen melayani dengan tekun dan memberi layanan memuaskan hati kanak-kanak tanpa berasa gusar atau bosan walau sesaat. Beliau berkata, belaian dan kasih sayang sepatutnya diberikan oleh ibu bapa, sekali gus sudah beralih kepada televisyen yang boleh mengajar anak apa saja dan perkara itu amat menyedihkan.

“Kartun adalah rancangan paling diminati oleh kanak-kanak ditambah lagi dengan kecanggihan teknologi sehingga ada rancangan itu seolah-olah berbentuk realiti menerusi kaedah 3 dimensi atau 3D. Setiap hari kartun diibaratkan seperti makanan yang wajib dimakan dan tidak lengkap hidup kanak-kanak tanpa menonton cerita demikian. “Pihak penyiaran mencuri masa emas kanak-kanak untuk menonton rancangan kartun yang menarik seperti Doraemon, Detektif Conan, Sincha, Spongebob dan sebagainya sedangkan waktu itu sepatutnya menjadi masa sesuai yang perlu digunakan ibu bapa untuk mematangkan anak seperti membaca dan bermain bersama mereka,” katanya.

Zulzaidi berkata, rancangan kanak-kanak yang dipertontonkan kepada si cilik pada waktu emas antara jam dua petang hingga lapan malam juga adalah waktu yang sesuai dan sewajarnya untuk mereka menyiapkan kerja sekolah atau membaca bahan ilmiah bagi melancarkan pembacaan, belajar mengaji mahupun beriadah dengan tujuan menyihatkan tubuh badan. Bagaimanapun, katanya waktu itu sudah digunakan kanak-kanak untuk menonton televisyen tanpa berasa rugi. Justeru, tidak menghairankan jika laporan 1994 dari Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat mendapati, pencapaian akademik jatuh ketara bagi kanak-kanak di negara itu yang menonton lebih daripada 10 jam seminggu. “Tempoh 10 jam seminggu itu jika digandakan selama setahun adalah jauh lebih banyak dengan masa seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda menghabiskan jumlah jam kredit untuk menjadi graduan. Oleh itu senario ini perlulah difikirkan ibu bapa dan dititikberatkan untuk menjana generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut berpendapat, klasifikasi siri rancangan khususnya ‘Umum’ yang menyatakan sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan turut menjadi garis panduan asas membenarkan kanak-kanak menonton rancangan televisyen berkenaan didapati tidak semuanya sesuai ditontoni oleh mereka. Ini kerana rancangan televisyen yang diklasifikasi ‘Umum’ turut didapati ada berunsur negatif dan patut dijauhi. Katanya, melalui rancangan televisyen yang disiarkan kanak-kanak lebih banyak terdedah kepada unsur keganasan. Mungkin ibu bapa tidak sedar bahawa kebanyakan cerita kartun yang dipertontonkan kepada si cilik di dunia global ada unsur keganasan dan khayalan melampau sama ada dari segi dialog mahupun aksi lakonan oleh watak dalam cerita berkenaan.

Lebih membimbangkan, kesan negatif dibawa itu membawa pengaruh terhadap nilai keagamaan terutama kepada kanak-kanak yang mula mengorak langkah mengenal agama. Contoh paling ketara adalah masa sesuatu rancangan itu disiarkan yang kesannya sehingga melekakan kanak-kanak daripada menunaikan amalan yang sepatutnya. Kita sedia maklum untuk menarik kanak-kanak waktu yang paling sesuai adalah dari jam tujuh hingga ke lapan malam. Bagi yang beragama Islam pula pada waktu itu adalah penting untuk mengerjakan solat Maghrib. Lazimnya, peringkat kanak-kanak adalah waktu yang paling sesuai untuk mendidik si cilik belajar solat. Tetapi jika waktu itu disajikan dengan cerita yang digemari kanak-kanak, sudah tentu ia memberi kesan untuk mendidik mereka,” katanya.

Begitu pun, Zulzaidi akui bukan semua rancangan di televisyen mempunyai kesan buruk dan negatif, tetapi pemantauan ibu bapa adalah perlu agar si cilik hanya melihat rancangan yang berunsurkan ilmu pengetahuan dan mempunyai nilai positif. “Ibu bapa perlu memikirkan keperluan anak mereka. Jika ia dianggap keperluan yang mampu merangsang minda tanpa ada unsur negatif bolehlah dipertimbangkan. Ibu bapa mestilah meluangkan masa bersama anak dalam setiap aktiviti mereka termasuklah, ketika menonton televisyen,” katanya. Beliau turut menegaskan, bukan hanya cerita kartun saja yang patut dijauhi tetapi televisyen itu sendiri mesti dijauhi dan pastikan ia jarang terpasang agar tidak menjadi satu keperluan kepada anak. Pendekatan itu dapat memastikan keseimbangan emosi kanak-kanak terjaga tanpa ada noda negatif.

INFO: Kajian mengenai kesan televisyen terhadap kanak-kanak

Akademi Pediatrik Amerika menyarankan supaya televisyen diharamkan bagi kanak-kanak di bawah usia dua tahun. Rasionalnya, dalam tempoh dua tahun pertama bayi memerlukan sentuhan manusia dan bukan didikan imej di televisyen.

Pakar Perkembangan Hemisfera Otak Universiti Chicago, Dr Jerre Levy, berkata kemahiran bahasa boleh dirangsang melalui pembacaan dan juga perhubungan dua hala lebih-lebih lagi keluarga iaitu ibu bapa dan bukannya menonton televisyen. Ini kerana menonton televisyen adalah proses interaksi sehala saja iaitu televisyen menayangkan rancangan, manakala si cilik sibuk menonton tanpa berfikir dan tidak kreatif. Ibrahim M Hefzallah dalam bukunya, Critical Viewing of Television menyatakan, televisyen memaparkan hubungan seks yang berulang kali. Seks yang biasa ditunjukkan bukan hanya dalam cerita kartun, tetapi cerita realiti juga sehingga ada unsur cinta si hero dan heroin berakhir di ranjang katil bagi menunjukkan bahawa itu adalah tanda cinta sejati. Perkara itu jika sentiasa berulang dalam kehidupan si cilik, mereka akan menganggap ia adalah perkara lumrah atau biasa.

07 April 2008

WOGEK@bakas

Selangor Lulus Projek Ternak WOGEK RM100j

UTUSAN MALAYSIA - Dalam Negeri mukasurat 15

Oleh : ZABRY MOHAMAD
7 April 2008 (Isnin)

SHAH ALAM 6 April - Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor meluluskan projek mendirikan ladang penternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangpr, Teresa Kok (gambar) ketika dihubungi mengesahkannya dan memberitahu, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco yang berlangsung Rabu lalu. Beliau juga Setiausaha Nasional Wanita DAP bagaimanapun eggan mengulas bila projek tersebut akan dimulakan. “Ladang ini akan didirikan di Sepang. Saya tidak boleh beritahu lebih lanjut mengenai projek ini kerana ia di bawah tanggungjawab Ahli Exco berkaitan”, katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Teresa dalam laman blognya, http://teresakok.com berkata, Selangor berhasrat untuk menjadi contoh terbaik kepada kerajaan negeri lain dalam mengusahakan penternakan ladang babi secara moden. “Saya amat berbangga dengan keputusan kerajaan negeri meluluskan projek ini. Saya akan memaklumkan kepada semua Exco dalam mesyuarat itu bahawa biarlah ladang penternakan babi di Selangor menjadi contoh kepada negeri-negeri lain,” katanya yang memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan. Beliau memberitahu, setiap perkara berkaitan dengan ternakan babi atau daging babi seharusnya tidak dijadikan isu sensitif.

Teresa memberikan contoh di mana beliah pernah melihat babi-babi berkeliaran di perkampungan orang Melayu di Tumpat, Kelantan sewaktu melawat negeri itu beberapa tahun lalu. “Saya betul-betul tidak faham kenapa segelintir orang amat sensitif jika menyentuh perkara berkaitan babi atau daging babi. Saya sering memberitahu Ahli-ahli Parlimen Barisan National (BN) di Dewan Rakyat bahawa babi juga adalah ciptaan Tuhan,” katanya dalam laman blog berkenaan.

Politik Semua Jadi




Abdullah selar pengkritik
Oleh Anwar Hussin dan Mohamad Farid Noh

BERI PENJELASAN: Abdullah menyampaikan amanat kepada 1,000 Ketua Penerangan Umno pada Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno di PWTC, semalam. Pihak buat pelbagai tuduhan tidak bertanggungjawab, ada kepentingan peribadi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyelar sikap dan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah, yang disifatkan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mencapai kepentingan peribadi masing-masing.

Perdana Menteri yang sebelum ini menegaskan tidak akan tunduk terhadap desakan supaya meletakkan jawatan, juga dengan lantang menjawab pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap kepemimpinannya, terutama berhubung prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu. Abdullah yang juga Presiden Umno menegaskan, beliau wajar bersuara selepas rakyat mahukannya mempertahankan diri daripada pelbagai tuduhan yang tidak berasas.

Katanya, Dr Mahathir sering menghentamnya dengan pelbagai tuduhan seolah-olah beliau (Dr Mahathir) tidak pernah melakukan kesalahan. "Kononnya pada zaman saya tidak ada kebebasan, semua orang takut dan ada yang kata saya ini lembik, tetapi (dalam masa yang sama) takut pula pada si lembik," katanya pada sidang media selepas Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno, yang pertama diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 8 Mac lalu.

Taklimat selama 90 minit yang diadakan secara tertutup di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu dihadiri lebih 1,000 Ketua Penerangan Umno bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta ahli Majlis Tertinggi (MT). Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Abdullah mengakui Dr Mahathir memang mempunyai kekuatan dan pengaruh, tetapi menegaskan bekas Perdana Menteri itu menyalahgunakan kekuatannya sehingga merugikan parti.

"Tun Mahathir kata dia kuat, tetapi beliau menyalahgunakannya. Dulu masa kita (BN) menang pada pilihan raya 2004, beliau berkata kuat sangat, tak boleh, tak elok, kena ada pembangkang. "Apabila keputusan pilihan raya 2008 pembangkang naik (menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen), kita ingat dia nak celebrate (raikan), tapi kita kena hentam pula. Mengapa jadi begini?

"Menang banyak tak boleh dan menang sikit pun tak boleh... (jadi) apa yang boleh?" katanya mempersoalkan keikhlasan Dr Mahathir mengkritik kepemimpinannya. Ditanya sama ada beliau akan berlawan dengan Dr Mahathir, Abdullah berkata: "Saya bercakap apa yang perlu saya cakap dan saya tidak bercakap apa yang saya tidak perlu bercakap."

Mengenai dakwaan Dr Mahathir yang beliau terlalu berkuasa sehingga anggota Kabinet dan MT Umno tidak berani bersuara, Abdullah berkata ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri itu, pelbagai sekatan dan arahan dibuat oleh Dr Mahathir. "Selepas Dr Mahathir mengambil alih pemerintahan daripada Tun Hussein Onn, bekas Perdana Menteri itu terus mengarahkan wartawan supaya tidak menyiarkan berita dan gambar Hussein.

"Saya tahu, bukan saya tidak tahu... orang tertentu ditekan oleh akhbar. Ini arahan daripadanya... ia berlaku dari semasa ke semasa dan Dr Mahathir masih melakukan perbuatan sama dengan cuba menjatuhkan kepemimpinannya," katanya. Abdullah secara sinis juga berkata, semua menteri seolah-olah bodoh dan hanya menantunya, Khairy Jamaluddin saja yang pandai.

"Tuduhan ini dibuat tanpa batasan dan terus hentam saja," katanya menjawab tuduhan kononnya beliau membiarkan dirinya dipengaruhi oleh Khairy dalam membuat keputusan dan mentadbir negara. Mengenai usaha Anwar untuk memancing 30 Ahli Parlimen BN Sarawak menyertai pakatan pembangkang pula, Abdullah berkata itu adalah perbuatan keji dan bersifat rasuah.

Beliau menegaskan perbuatan keji Anwar itu tidak didorong sebab lain, kecuali kerana cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. "Ini dilakukan semata-mata kerana ketua mereka hendak menjadi Perdana Menteri. Jika mereka menggunakan wang, ini adalah satu perbuatan rasuah.

"Dia akan cakap dan buat apapun, tapi ini satu rasuah jika pendekatan yang akan diambil menggunakan wang. Pada saya, ini perbuatan keji kerana tidak mengiktiraf hakikat bahawa Ahli Parlimen yang menang adalah atas kehendak rakyat," katanya. Abdullah berkata, Anwar yang dikatakan sedang berusaha memujuk Ahli Parlimen BN menyertai pembangkang, memang tidak sabar-sabar untuk menjadi Perdana Menteri.

Katanya, ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, pemimpin pembangkang itu menyifatkan dirinya sebagai pemimpin alternatif dan kini menganggap dirinya sebagai 'leader in waiting'. "Biarlah dia menunggu," katanya. Ditanya sama ada beliau mempunyai peranan dalam pembebasan Anwar daripada hukuman penjara, Abdullah berkata keputusan itu dibuat mahkamah dan beliau langsung tidak terbabit.

"Kerja itu saya tidak buat, orang lain saya tidak tahulah," katanya merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada September 2004 membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat selepas menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan menyalahgunakan kuasa. Mengenai kecaman Tengku Razaleigh dan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti pada Disember ini, Abdullah berkata Ahli Parlimen Gua Musang itu perlu menilai dirinya terlebih dulu.

"Dialah yang menyebabkan Umno kalah. Dialah yang menyebabkan Kelantan jatuh kepada Pas (ketika Tengku Razaleigh bersama Semangat 46 pada Pilihan Raya Umum 1990)," katanya. Malah, katanya, Tengku Razaleigh tidak pernah membantu Umno Kelantan dalam usaha merampas kembali Kelantan daripada Pas. Abdullah berkata, satu daripada kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Tengku Razaleigh, iaitu Galas, juga jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.

05 April 2008

Usah Musnahkan Umno



Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berucap di majlis perhimpunan bulanan dan menyampaikan amanat sulungnya kepada kakitangan Kementerian Penerangan di Angkasapuri, di sini semalam.

Dr Mahathir sudah lama hancurkan parti: Ahmad Shabery
KUALA LUMPUR: Pelbagai masalah yang didakwa berlaku dalam Umno oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga parti itu kini dikatakan seolah-olah berada di ambang kehancuran, sebenarnya berpunca daripada tindakan bekas Perdana Menteri itu sendiri ketika memimpinnya.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata di sebalik kritikan lantang Dr Mahathir, beliau sebenarnya ialah individu yang menghancurkan Umno kerana memperkenalkan pelbagai peraturan tidak demokratik, termasuk menghalang Presiden dan Timbalan Presiden dicabar.

Beliau berkata, Umno 'dicekik dan dilemaskan' sedikit demi sedikit ketika zaman Dr Mahathir menjadi Presiden sehingga menyebabkan parti itu diharamkan pada 1988.

"Ketika kepemimpinan Dr Mahathir, Umno mati, musnah, dibatalkan pendaftarannya dan terus mati lagi dalam bentuk yang lain... kita tidak mahu Umno yang menjadi parti keramat orang Melayu ini sekali lagi mati hanya kerana Dr Mahathir.

"Umno pernah diharamkan pada zaman beliau dan kita tak mahu perkara ini berlaku lagi. Semua perkara ini saya percaya orang Melayu tak lupa, tetapi mungkin Dr Mahathir sendiri lupa mengenai apa yang pernah dilakukannya ketika memimpin Umno.

"Saya sedih terpaksa bercakap perkara ini tetapi ingatlah bahawa keterbukaan Pak Lah (Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) jangan diambil kesempatan.

"Di bawah Dr Mahathir, tak ada peluang RTM nak keluar berita cerca kerajaan dan kepemimpinan kerana Dr Mahathir tidak benarkan, tetapi zaman sekarang beliau sendiri menikmati segala-galanya (untuk mengkritik kerajaan)," katanya.

Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata demikian selepas majlis perhimpunan bulanan dan menyampaikan amanat sulungnya kepada kakitangan Kementerian Penerangan di Angkasapuri, di sini semalam. Hadir sama, Timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa Umno kini lemah dan menghadapi pelbagai masalah kerana ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu hanya menjadi pak turut dan tidak berani menasihatkan Presiden.

Ahmad Shabery berkata, persoalan mengenai siapa yang berani atau sebaliknya tidak harus timbul kerana sejarah sudah membuktikan bahawa paling ramai pemimpin Umno yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ialah ketika pemerintahan Dr Mahathir.

"Jadi, jika dikatakan Pak Lah bertindak terlalu keras, saya rasa perlu diimbau kembali sejarah. Saya juga masih ingat ahli MT tak boleh 'ditabal' pada peringkat bahagian masing-masing. Ketua bahagian di Kelantan tak boleh ditentang oleh lawan.

"Ini semua pada zaman Dr Mahathir dan pada waktu itu menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, tetapi hari ini beliau menyatakan Umno sekarang tak demokratik, seolah-olah masa beliau demokratik sangat," katanya.

Ahmad Shabery berkata, Dr Mahathir juga tidak boleh membuat kesimpulan bahawa sekarang ahli peringkat akar umbi mulai marah kepada Umno kerana kononnya Bahagian Umno tidak mendengar pendapat ahli bawahan.

"Sebenarnya, masa pilihan raya umum baru-baru ini, masyarakat peringkat akar umbi tiada masalah, orang Felda gembira harga sawit naik, harga getah naik. Yang mungkin marah sikit ialah orang di Lembah Klang kerana harga minyak dan barang lain naik," katanya.

Beliau juga memberikan contoh pada Pilihan Raya Umum 1999, berlaku penolakan pengundi besar-besaran terhadap Dr Mahathir termasuk kira-kira 22 peratus undi dari Selangor berbanding Pilihan Raya Umum 1995 dengan dua negeri tumbang kepada pembangkang.

"Cuma pada waktu itu, Dr Mahathir diselamatkan oleh pengundi Cina. Namun, beliau tidak berhenti walaupun akar umbi marah. Memang benar orang Melayu marah, tetapi Dr Mahathir tidak berundur, malah menyarankan tiada pertandingan menentang beliau," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, pula mendakwa tindak tanduk Dr Mahathir sendiri yang sebenarnya menjadi punca Umno semakin berpecah dan lemah sekarang, sama seperti ketika beliau mula menerajui parti itu pada awal 1980-an.

"Contohnya, pada awal 1980-an, Dr Mahathir selaku Presiden mahu Tun Musa Hitam menjadi timbalannya hingga mengetepikan kehendak ahli yang mahukan Tengku Razaleigh Hamzah sehingga menyebabkan parti berpecah.

"Pada 1998 ketika Umno semakin pulih dan kuat, Dr Mahathir menghadapi masalah pula dengan timbalannya ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memecatnya menyebabkan sekali lagi Umno berpecah.

"Sekarang, beliau sekali lagi campur tangan walaupun sudah bersara dengan menggesa Pak Lah meletak jawatan, malah mahu supaya pemilihan Presiden parti pada Disember ini tak perlu menggunakan sistem kuota sedangkan beliau sendiri yang perkenalkan.

"Saya sebenarnya bersetuju dengan pendapat bahawa Umno kuat, tetapi yang mencederakan parti itu ialah Tun Mahathir," katanya pada majlis penyampaian sumbangan bantuan untuk mangsa ribut di Parit Buntar, Perak, semalam.

Nazri berkata, Dr Mahathir mahu sistem kuota pemilihan Presiden yang diperkenalkannya selepas menang tipis, iaitu hanya 41 undi terhadap pencabarnya Tengku Razaleigh pada pemilihan 1987, dimansuhkan.

"Saya masih ingat apa yang Dr Mahathir mahu ketika itu kerana sekarang saya masih jadi Ahli Parlimen, Menteri dan Ahli MT. Bagaimanapun, ketika itu tiada sesiapa pun memintanya meletak jawatan malah parti terus memberi sokongan kepada beliau.

"Dulu Dr Mahathir berkata walau menang satu atau dua undi beliau tetap menang. Jadi macam mana bila Pak Lah menghadapi keadaan seperti sekarang, beliau mahu Pak Lah letak jawatan sedangkan mandat yang diperoleh cukup selesa. Inilah yang dikatakan Melayu mudah lupa," katanya.

04 April 2008

Wajah-Wajah1

Tak Bertanding

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti, Disember depan. Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pelajaran tidak menyatakan jawatan yang akan ditandingi pada pemilihan Umno nanti.

03 April 2008

MU 2 AS Roma 0



Pakatan 2 ‘R’ julang United


ROM – Jaringan dari Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney memberikan kemenangan 2-0 kepada Manchester United yang mengalahkan AS Roma semalam dalam pusingan pertama peringkat suku akhir Piala Liga Juara- juara Eropah.

Ronaldo menanduk cantik hantaran lambung dari Paul Scholes pada minit ke-39 di Stadium Olimpik dan mengatasi jumlah jaringan pemain Barcelona, Lionel Messi dalam kejohanan tersebut dengan jaringan ketujuhnya bagi lapan perlawanan. Dia telah menjaringkan 36 gol dalam semua kejohanan untuk musim ini.

‘‘Jaringan Ronaldo memberikan penguasaan penuh kepada kami, ia memang satu tandukan yang hebat.

‘‘Saya dapat melihat bagaimana Roma mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol pada 15 minit awal separuh masa kedua. Tetapi mereka perlu menerima hakikat ia sering berlaku dalam permainan bola sepak dan kali ini ia memihak kepada kami,’’ kata jurulatih Manchester United, Sir Alex Ferguson.

Jaringan Rooney muncul pada minit ke-66 apabila penjaga gol Romas Alexander Doni tidak dapat menangkap kemas tandukan Park Ji-sung dan bola itu mendarat di atas kaki Rooney untuk melakukan jaringan mudah, ia merupakan jaringan keempatnya dalam kejohanan tersebut.

Dua minit kemudian, Doni dipaksa menepis bola hasil rembatan dari Ronaldo melepasi palang.

‘‘Mereka sangat bertuah memiliki peluang untuk menjaringkan gol. Mereka juga mempunyai ramai pemain yang berkualiti tinggi. Tetapi kami perlu mengimbangi perlawanan ini selepas apa yang berlaku dan cuba untuk mengubah keputusan ini. Kami telah menjaringkan dua gol di tempat lawan pada perlawanan Liga Juara- Juara Eropah sebelum ini,’’ kata jurulatih Roma Luciano Spalletti.

Perlawanan pusingan kedua dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan di Old Trafford, di mana sebelum ini United pernah membelasah Roma 7-1 tahun lepas.

‘‘Kami boleh menerima segala keputusan yang bakal melanda, tetapi yakin dapat melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir,’’ tambah Ferguson.

Bertemu Roma untuk kali kelima sejak dari tahun lepas, United telah menunjukkan permainan yang mantap, menguasai bola di bahagian tengah dan cuba untuk mencari ruang untuk menembusi benteng Roma. Roma cuba untuk mengkucar-kacir pemain United dengan bersandarkan harapan kepada Mirko Vucinic, yang menggantikan ketua pasukan, Francesco Totti yang cedera.

Pengurus United, Alex Ferguson melakukan beberapa keputusan drastik merehatkan ketua pasukan Ryan Giggs yang digantikan dengan Park. Ronaldo diletak bergandingan dengan Rooney di sebelah kiri sementara Park pula di bahagian kanan.

Pak Lah Tolak Spekulasi



PUTRAJAYA 2 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan spekulasi yang beliau akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Abdullah mengulangi pendiriannya yang beliau tidak akan lari daripada tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.

“Saya masih di sini. Saya masih di sini. Saya masih di sini. Mereka semua membuat spekulasi. Saya larilah. Saya letak jawatan. Kenapa perlu saya letak jawatan.

“Kerajaan saya mendapat majoriti besar (walaupun) bukan dua pertiga tetapi amat kukuh... itulah sokongan yang diterima. Takkan saya nak lari, tinggal saya punya tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di pejabatnya di sini.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi itu.

Spekulasi itu timbul ekoran gesaan oleh beberapa pemimpin termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang Abdullah patut memikul tanggungjawab bagi prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lepas dan meletakkan jawatan.

BN hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen selepas memenangi hanya 140 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen manakala pembangkang memenangi 82 kerusi.

BN juga tewas di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain gagal merampas kembali Kelantan daripada Pas.

Abdullah yang jarang menghadiri majlis rasmi akhir- akhir ini turut menyemarakkan spekulasi itu.

02 April 2008

tv

Fragmen: Apa sumbangan program realiti TV?
Oleh Zainuri Misfar
zainurimisfar@bharian.com.my
KEMUNCULAN program realiti tv kini sudah menjadi aliran baru. Program realiti ini mula memuncak apabila Astro memperkenalkan Akademi Fantasia (AF) pada tahun 2003. Populariti AF membuatkan stesen TV kita memperkenalkan banyak program realiti, sama ada program yang diimport atau ciptaan sendiri.

Kebanyakan program realiti ini lebih berbentuk hiburan atau mencungkil bakat, khususnya dalam nyanyian. Persoalannya, adakah pelbagai program realiti ini sudah dapat menampung ketandusan bakat baru dalam industri hiburan kita? Daripada pemerhatian kita serta pendapat daripada beberapa karyawan muzik, berasakan kekurangan bakat baru dalam industri ini masih ketara.

Program realiti seperti AF, biarpun setiap musim menampilkan 10 hingga 12 peserta, hanya satu atau dua orang saja yang benar-benar menonjol dalam industri muzik kita. Begitu juga dengan program realiti terbitan stesen televisyen lain seperti Bintang RTM, Mentor, One In A Million, Gangstarz dan Malaysian Idol. Memang ada yang menonjol, tetapi tidak ramai. Itupun menonjol disebabkan peranan media, bukan kerana mereka benar-benar berbakat. Dalam temu bual dengan M Nasir baru-baru ini, menganggap program realiti memang cukup menarik tetapi ia bersifat komersial dan diwujudkan untuk semata-mata mempopularkan stesen TV atau rangkaian TV itu sendiri. Ia bukan satu platform untuk menggilap bakat baru.

Nasir mencabar penyanyi yang lahir dari program realiti ini bersaing bertanding atau menyanyi di peringkat antarabangsa. Tidak dinafikan ada penyanyi atau bakat baru dari program realiti ini memang bagus, tetapi itu disebabkan sokongan media yang memperlihatkan seolah-olah dirinya popular. Program realiti ini membabitkan pilihan orang ramai. Ini memang bagus kerana orang ramai diberi hak untuk memilih, tetapi penilaian orang ramai ini sangat subjektif.

Mereka memilih berdasarkan ‘siapa yang mereka suka’ bukan kerana peserta itu benar-benar berbakat. Tapi kita juga tidak boleh menyalahkan orang ramai. Mereka bukanlah golongan profesional. Siapalah mereka yang berumur antara 11 tahun hingga 15 tahun untuk menentukan seorang peserta dalam program realiti itu sebagai yang terbaik? Pastinya pilihan mereka didorong oleh perasaan ‘aku suka pada dia”, suka sebab peserta itu comel, lawa, lincah dan memenuhi cita rasa tetapi bakat seseorang peserta itu pula tidak pula difikirkan.

Suatu ketika dulu, Bintang RTM dianggap menjadi ‘gedung’ kepada penghasilan penyanyi berbakat besar. Sehingga kini tidak dinafikan produk yang dihasilkan menerusi Bintang RTM mempunyai kualiti dan bertahan dalam tempoh lama. Nama-nama besar dalam dunia muzik ketika ini seperti Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Misha Omar adalah antara barisan bakat baru yang dihasilkan menerusi RTM. Bagaimanapun, Bintang RTM pula terikut-ikut dengan rentak program realiti menyebabkan ia tenggelam timbul. Dalam masa sama, calon peserta dalam Bintang RTM pula tidak dibuat secara pakej, iaitu selain bakat, setiap peserta juga mesti ada gaya, penampilan dan wajah yang agak menarik.

Program Mentor terbitan TV3 juga satu lagi program yang bagus. Ini kerana peserta yang dipanggil sebagai protege mendapat bimbingan atau tunjuk ajar secara langsung daripada mentor mereka iaitu barisan penyanyi yang sudah berpengalaman dalam kerjaya masing-masing. Itu dalam arena muzik. Dalam dunia lakonan pula, kebanyakan penerbit atau pengarah tidak bergantung kepada program realiti untuk mencari bakat baru. Mereka mempunyai banyak ‘sumber’ untuk mendapatkan bakat baru ini. Justeru, kita berasakan bakat baru dalam lakonan lebih ramai berbanding muka baru dalam muzik atau nyanyian.

Begitupun, memang tidak dinafikan mencari bakat baru bukanlah mudah. Cadangan TV3 untuk menerbitkan semula Sinaran Pasport Kegemilangan terpaksa dibatalkan kerana usaha untuk mendapatkan bakat baru tidak mencapai satu standard yang diharapkan. Mungkin jumlah penduduk negara ini yang tidak ramai membuatkan pencarian untuk mencungkil bakat baru dalam seni muzik atau lakonan menjadi terbatas. Bahkan, sejak akhir-akhir ini bakat baru baru dari Sabah dan Sarawak sering menguasai banyak program realiti terbitan stesen TV tempatan. Barangkali, sebelum ini belum ada penerokaan bakat baru di kedua-dua negeri itu. Pada masa sama, anak muda dari Sabah dan Sarawak pula lebih berani untuk mencuba nasib selain sememangnya mereka berbakat dalam bidang yang hendak diceburi tetapi tidak ada peluang untuk diketengahkan.

Beberapa minggu lalu, ketika menyertai lawatan ke Las Vegas dan Los Angeles anjuran TV3, kita berkesempatan melihat beberapa program realiti tv yang juga tidak kurang menariknya. Tidak semua program realiti ini berbentuk hiburan semata-mata. Dan, program realiti ini tidaklah sehebat American Idol. Satu daripada program realiti itu ialah mengenai untuk menguji sejauh mana kita ini menjadi masyarakat penyayang. Dalam program itu, seorang krew berlakon untuk menjadi pengemis atau orang tua yang kurang upaya, yang kemudian berdiri di tepi jalan atau di tempat tertentu.

Selepas itu, orang ramai atau mungkin peserta yang tidak diberitahu apa-apa, akan berjalan melalui mereka yang kurang upaya. Program ini akan memperlihatkan sejauh mana orang ramai bersedia menghulurkan bantuan atau pertolongan kepada mereka yang kurang upaya itu. Di penghujung program ini, peserta tadi akan ditanya mengapa mereka enggan menghulurkan bantuan. Atau kenapa ada peserta yang sanggup bersusah-payah untuk memberikan pertolongan kepada golongan kurang upaya tadi. Kita juga tertarik dengan program realiti yang menonjolkan sejauh mana seorang budak berumur dalam lingkungan 12 tahun hingga 14 tahun boleh berdikari kerana mencari duit poket sendiri. Dengan bimbingan dan pengawasan seorang dewasa, budak-budak ini diuji sejauh mana mereka sanggup bekerja sebagai pelayan restoran, menjadi tukang cuci pinggan, jadi tukang masak dan sebagainya.

Ini bermakna, program realiti tidak sepatutnya hanya untuk hiburan saja. Kita juga memerlukan sebuah program realiti yang berbentuk sosial dan kemasyarakatan atau bersesuaian dengan keadaan semasa. Misalnya, program realiti yang menguji sejauh mana masyarakat peka dengan keadaan persekitaran. Bagaimana ia boleh dilakukan, bergantung kepada kreativiti karyawan di stesen TV atau penggiat industri televisyen tanah.

01 April 2008

Politik Sabah

Kumpulan jumpa PM tidak mewakili BN Sabah
KOTA KINABALU 31 Mac – Enam pemimpin UMNO Sabah yang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Sabtu lalu, bukan mewakili Barisan Nasional (BN) negeri. Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Yahya Hussin berkata, sebaliknya ia adalah bersifat peribadi yang bukan mewakili BN ataupun UMNO. Malah ujar beliau, apa pun perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk pencapaian BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah pandangan peribadi.

‘‘Apa juga perkara yang disuarakan kepada Perdana Menteri adalah atas kapasiti peribadi. Ia tidak membayangkan pendirian BN dan UMNO Sabah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini. Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, penjelasan itu adalah bagi membetulkan salah tanggapan pelbagai pihak mengenai pertemuan enam pemimpin UMNO dari Sabah dengan Perdana Menteri, baru-baru ini. Sabtu lalu, pemimpin UMNO negeri yang hadir dalam pertemuan dengan Abdullah ialah Ketua UMNO Bahagian Kalabakan yang juga Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh; Pemangku Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin; Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; bekas Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Dr. Yusof Yacob dan bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Salleh Said Keruak.

‘‘Selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bertemu dengan Perdana Menteri semasa mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini, beliau (Perdana Menteri) telah bersetuju untuk datang ke Sabah. ‘‘Ia bertujuan untuk mendengar pandangan dan situasi politik di Sabah ketika ini,” kata Yahya sambil meminta semua pihak supaya tidak membuat kenyataan yang boleh mengelirukan UMNO dan BN negeri.
Yahya berkata, UMNO Sabah akan terus memberi sokongan dan kerjasama kepada kepimpinan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN serta Presiden UMNO.