01 April 2008

Politik Sabah

Kumpulan jumpa PM tidak mewakili BN Sabah
KOTA KINABALU 31 Mac – Enam pemimpin UMNO Sabah yang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Sabtu lalu, bukan mewakili Barisan Nasional (BN) negeri. Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Yahya Hussin berkata, sebaliknya ia adalah bersifat peribadi yang bukan mewakili BN ataupun UMNO. Malah ujar beliau, apa pun perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk pencapaian BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah pandangan peribadi.

‘‘Apa juga perkara yang disuarakan kepada Perdana Menteri adalah atas kapasiti peribadi. Ia tidak membayangkan pendirian BN dan UMNO Sabah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini. Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, penjelasan itu adalah bagi membetulkan salah tanggapan pelbagai pihak mengenai pertemuan enam pemimpin UMNO dari Sabah dengan Perdana Menteri, baru-baru ini. Sabtu lalu, pemimpin UMNO negeri yang hadir dalam pertemuan dengan Abdullah ialah Ketua UMNO Bahagian Kalabakan yang juga Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh; Pemangku Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin; Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; bekas Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Dr. Yusof Yacob dan bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Salleh Said Keruak.

‘‘Selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bertemu dengan Perdana Menteri semasa mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini, beliau (Perdana Menteri) telah bersetuju untuk datang ke Sabah. ‘‘Ia bertujuan untuk mendengar pandangan dan situasi politik di Sabah ketika ini,” kata Yahya sambil meminta semua pihak supaya tidak membuat kenyataan yang boleh mengelirukan UMNO dan BN negeri.
Yahya berkata, UMNO Sabah akan terus memberi sokongan dan kerjasama kepada kepimpinan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN serta Presiden UMNO.