29 December 2008

Tunku Mukriz Tuan Yang Dipertuan Besar N.9 Ke 11

(petikan Berita harian)
KUALA PILAH: Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Mukhriz Tuanku Munawir dilantik sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 dengan Istiadat Pemasyhuran baginda diadakan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, jam 3.46 petang ini. Pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru itu diadakan berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman kerana angin ahmar, pagi kelmarin. Pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru diputuskan oleh Datuk Undang Yang Empat, iaitu Datuk Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Undang Luak Johol, Datuk Undang Luak Jelebu dan Datuk Undang Luak Rembau mengikut Perlembagaan Negeri. Pelantikan pengganti Almarhum Tuanku Ja'afar membabitkan di kalangan Putera Yang Empat iaitu terdiri daripada Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Mukhriz Tuanku Munawir; Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar; Tunku Muda Serting, Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Tunku Panglima Besar, Tunku Nazaruddin Tuanku Ja'afar.

Salam Hijrah


Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430H, peristiwa permulaan dalam kalendar Islam apabila perpindahan junjungaan Besar Nabi SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah, dan langsungnya dikenali hijrah yang secara mudahnya berhijrah ke satu tahap yang lebih baik dan diredaiNya,

25 December 2008

Keluar UMNO masuk PAS

petikan dari Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 24 Dis. - Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS), Kapten (B) Datuk Zahar Hashim, yang digantung daripada jawatan itu kerana mengkritik kepimpinan tertinggi parti hari ini secara rasmi menyertai Pas. Beliau telah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai parti pembangkang itu kepada Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa. Tindakan beliau disertai 28 lagi ketua cawangan UMNO Petaling Jaya Selatan, termasuk 13 ahli jawatankuasa bahagian itu. Menurut Zahar, beliau dan rakan- rakannya memilih Pas kerana menyifatkan parti itu satu-satunya yang menjaga kepentingan kaum Melayu di negara ini, selari dengan ideologi mereka. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis itu di Ampang dekat sini. Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohd. Ali. Sejak awal bulan ini, jawatan Zahar sebagai ketua bahagian digantung kerana mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Menurut Zahar, sumbangan pertamanya kepada Pas ialah untuk berkempen menghadapi Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu Januari depan. ''Selain itu, pejabat UMNO Petaling Jaya Selatan juga akan ditukarkan kepada pejabat Pas dan kesemua pekerja di dalamnya juga telah menyertai Pas,'' tegasnya

22 December 2008

Juara Lagi


YOKOHAMA, Jepun - Wayne Rooney muncul penyelamat untuk Manchester United menewaskan juara Amerika Selatan, Liga de Quito 1-0 semalam bagi memenangi kejohanan Piala Kelab Dunia FIFA iaitu salah satu trofi yang tidak pernah mereka dimenangi. Penyerang England, Rooney merembat deras pada minit ke-73 selepas mendapat hantaran Cristiano Ronaldo untuk United bangkit selepas Nemanja Vidic dibuang padang kerana menyiku pemain lawan di awal babak kedua.

Selamat Pengantin Baru Mawi


16 December 2008

Miss World 2008


Miss Russia won the Miss World 2008 contest held in South Africa Saturday. Kseniya Sukhinova beat out 108 other contestants. The first runner up was Parvathay Omanakuttan of India, and the second runner up was Gabrielle Walcott of Trinidad and Tobago.

Padan Muka

BAGHDAD 15 Dis. – Seorang wartawan Arab membaling sepasang kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush semasa lawatan perpisahan beliau ke Iraq semalam. Muntazer al-Zaidi bangun sewaktu Bush mengadakan sidang media bersama-sama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Malik seraya berteriak dalam bahasa Arab, “ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!” lalu membaling kasut yang dipakainya. “Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq,” jerit Muntazer, wartawan untuk televisyen Al-Baghdadia, sebuah stesen milik Iraq berpangkalan di Kaherah. Bush menundukkan kepala dan kasut pertama mengenai bendera-bendera AS dan Iraq di belakang kedua-dua pemimpin manakala kasut kedua tersasar dari sasaran. Muntazer segera dijatuhkan oleh pengawal keselamatan dan dibawa keluar dari bilik itu.

12 December 2008

Tercapaikah Wawasan 2020

Wawasan 2020 mungkin tidak tercapai - Dr. M
PUTRAJAYA 11 Dis. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menyuarakan rasa bimbang bahawa Malaysia tidak akan dapat mencapai matlamat Wawasan 2020 sebagai negara maju ekoran krisis kewangan dunia sekarang. Menurut beliau, ketika wawasan itu dilancarkan, negara menikmati pertumbuhan sebanyak 8 peratus setahun tetapi kerajaan tidak menjangka berlakunya krisis mata wang Asia pada 1997 dan perubahan radikal dasar kerajaan selepas kepimpinannya. Beliau menjelaskan lagi, selain itu, masalah ketidakstabilan politik dalam negara juga akan memberikan kesan terhadap hasrat negara ini untuk mencapai sasaran tersebut. "Ada rasa (berfikir) kita tidak akan capai wawasan itu sekarang kerana ketidakstabilan politik dalam negara, ia sesuatu yang cukup asing, setelah 50 tahun sekarang ada sesuatu yang tidak biasa bagi rakyat. "Kalau kita tidak boleh selesaikan masalah itu, kita tidak boleh memberikan fokus kepada pertumbuhan negara, maaf saya katakan kita tidak akan mencapainya (Wawasan 2020)," katanya selepas berucap pada program syarahan Bridges-Dialogues Towards a Culture of Peace di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

09 December 2008

Happy Birth Day to Adek


Adek genap dua tahun 'Happy Birth Day To Adek' pada 7.12 yang lalu, kebetulan tarikh yang sama dengan pakciknya semoga panjang umur, murah rezeki jadi manusia yang baik, beramal, tawadduk dan beriman. Aamin.

WUKUF

Wukuf beri ingatan nasib di padang Mahsyar
Perhimpunan terbesar umat manusia di Arafah ibarat hari kebangkitan semula untuk diadili TIDAK ada amal ibadah dalam Islam yang sesemarak dan seramai wukuf di Arafah. Lebih tiga juta umat Islam seluruh pelosok dunia berhimpun pada satu masa, di satu tempat dengan satu tujuan, satu seragam dan satu amalan. Mereka akan memulakan rukun haji bersama selepas tergelincir matahari dengan solat Zuhur dan Asar jamak takdim, satu azan dan dua kali kamat sambil melantunkan doa kepada Allah SWT yang selesai sebelum terbenam matahari hari ini, 9 Zulhijjah 1429H bersamaan 7 Disember 2008. Berasal daripada kata dasar 'wa-qa-fa' bererti diam, berdiri, wukuf di Arafah adalah satu daripada rukun haji paling utama kerana disebutkan dalam hadis al-hajju 'arafah yakni kesempurnaan haji berada dalam wukuf di Arafah. Tanah seluas 10,4 kilometer persegi dan arah Tenggara Masjidil Haram dengan jarak 22 kilometer itu dinamakan Arafah kerana beberapa sebab. Dinamakan demikian kerana Adam dan Hawa bertemu dan saling mengenal kembali, ta'aruf, pertama di sana selepas diturunkan ke bumi.
Dinamakan juga Arafah kerana di sana malaikat Jibril as mengajar, 'arrafa, Nabi Ibrahim as mengenai manasik haji. Selepas itu Jibril bertanya kepada Ibrahim: "Sudahkah engkau faham?" Dan dijawab oleh Ibrahim: "Ya, aku sudah faham," yakni araftu. Selain itu, Ibn Abbas berpendapat dinamakan Arafah kerana di sana manusia mengakui, i'tiraf-ya'tarifun, dosa dan kesalahannya. (Dr Muhammad Abdul Ghani, Tarikh Makkah al-Mukarramah) Arafah disebut dalam al-Quran maksudnya: "Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang 'Arafah (menuju Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di tempat Masy'ar al-Haram (di Muzdalifah)." (Surah al-Baqarah: 198) Di padang Arafahlah turun ayat terakhir al-Quran yang maksudnya: "Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." (Surah al-Maidah: 3) Arafah sebagai tempat wukuf ditetapkan oleh Baginda Rasulullah SAW dengan hadisnya bermaksud: "Aku wukuf di sini dan Arafah seluruhnya adalah tempat untuk melaksanakan wukuf." (Hadis riwayat Muslim)
Dengan berkumpulnya jutaan manusia di Arafah yang diiring dari semua penjuru dunia mengingatkan kepada kita kejadian pada kiamat iaitu hari dibangkitkan semua manusia daripada mati. Mereka dihimpunkan di padang Mahsyar untuk diadili Allah SWT. Umat Islam mengimani hari kebangkitan daripada alam kubur selepas ditiup sangkakala kali ketiga. Allah membangkitkan mayat dalam kubur, maka bangkit semua manusia menghadap Tuhan seluruh alam tanpa alas kaki, telanjang dan tidak dikhitan (Hadis Bukhari dan Muslim); matahari dekat dengan mereka; antara mereka ada yang keringatnya bercucuran sampai ke mulut. Orang pertama dibangkitkan dari bumi ialah Nabi Muhammad SAW. (Hadis riwayat Ibnu Abi 'Ashim, Ibnu Hibban dan Abu Ya'la) Pada hari besar itulah manusia keluar daripada kubur seperti belalang berterbangan datang dengan pantas kepada Penyeru itu. Semuanya terdiam tidak bergerak ketika ditebarkan catatan amal, maka terlihat semua yang tersembunyi, nampak segala yang tertutup dan terbuka keburukan yang tersimpan di dalam hati. Allah akan berbicara langsung dengan manusia pada hari itu; tidak ada penterjemah antara Allah dan mereka. Dalam kitab rujukan akidah, Syarh al-'Aqidah al-Tahawiyyah disebutkan: "Kita beriman kepada kebangkitan, pembalasan amal perbuatan pada hari kiamat, pemeriksaan, hisab, pembacaan rekod amal, pahala, seksa, al-sirat, timbangan, syurga, neraka, yang kedua-duanya sudah dicipta yang tidak akan musnah selama-lamanya dan tidak akan hancur." (hal. 404-05)
Mengenai dihidupkan kembali manusia selepas mati di padang Mahsyar, Allah menjelaskan dalam al-Quran maksudnya: "(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar (dari kubur masing-masing) berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa." (Surah Ibrahim: 48) Mengapa manusia dikeluarkan dari kubur mereka? Allah menjelaskan maksudnya: "(Keluar manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang dia telah usahakan; sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisab-Nya." (Surah Ibrahim: 51) Hari kebangkitan manusia di padang Mahsyar amat dahsyat digambarkan al-Quran dengan ayat bermaksud: "Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan. Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar); dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga setiap belahan menjadi ibarat pintu yang terbuka luas dan gunung-ganang – selepas dihancurkan - diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir." (Surah al-Naba: 17-20) Pada masa itu manusia akan menuju tempatnya sama ada maksudnya: "Sesungguhnya neraka Jahannam disediakan untuk orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya. Mereka tinggal di dalam berkurun lamanya," (Surah al-Naba: 21-23). Mahupun maksudnya: "Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman bunga dan kebun buah-buahan, terutama anggur dan perawan yang sebaya umurnya. Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman. Mereka tidak mendengar di dalam syurga perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta; sebagai balasan daripada Tuhanmu iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya." (Surah al-Naba: 31-36) Jika jemaah haji yang berwukuf di padang Arafah pada hari ini dijanjikan untuk diampunkan dosa mereka oleh Allah SWT, bagaimana dengan kita yang belum memperoleh janji terbabit? Jika jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah pada saat ini bersungguh-sungguh dalam berdoa memohon keampunan Allah di tempat yang mulia, bagaimana kita yang tidak berada di sana? Jika jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah melihat dan membayangkan Padang Mahsyar selagi mereka hidup, bagaimana dengan kita yang tidak mengalaminya? Jangan risau mahupun gelisah, wahai saudara! Jangan bersedih dan gundah gulana wahai, sahabat! Disebut dalam hadis Qudsi maksudnya: "Pada hari kiamat Allah berfirman: "Pada hari ini orang yang berkumpul (di Padang Mahsyar) akan mengetahui siapa yang termasuk dalam keluarga utama." Sahabat bertanya: "Siapakah ahli (keluarga utama itu, Ya Rasulullah?" Nabi SAW menjawab: "Mereka itu ialah keluarga majlis zikir di masjid." (Hadis riwayat Ahmad) Bersediakah anda?

penangan Bollywood

Aktres Bollywood Katrina Kaif dipilih wanita Asia paling seksi di dunia tahun ini, sekali gus menewaskan artis lebih senior, Aishwarya Rai yang sebaliknya berada di kedudukan ketujuh. Pemilihan Katrina hanya menambah deretan gelaran 'Paling Seksi' yang diraihnya dalam beberapa tinjauan pada peringkat antarabangsa. Seorang lagi aktres seksi Bollywood, Bipasha Basu menduduki tempat kedua, Kareena Kapoor di tempat ketiga dan Priyanka Chopra di tempat keempat. Pemilihan itu dibuat sebuah mingguan Britain Eastern Eye yang menyenaraikan 10 wanita Asia termasuk dari Pakistan. Aktres lebih senior, Kareena Kapoor sebaliknya berada di tempat ketiga dan Priyanka Chopra, di tempat keempat. Muka baru yang tersenarai termasuk aktres Pakistan Mehwish Hayat, Ratu India bagi pertandingan 'Miss Universe,' Simran Kaur, bekas Ratu Sri Lanka Jacqueline Fernandez dan aktres selatan India yang cuma dikenali sebagai Asin.

06 December 2008

Tak Sukar

Sukarkah memahami ketuanan Melayu? (Rencana Utusan)
Konsep ketuanan Melayu dan kontrak sosial merupakan konsep yang telah lama menjadi sasaran sebilangan pemimpin dan parti politik di Malaysia untuk diperdebat. Polemik mengenai konsep ini memberi petunjuk, pertama kurangnya pemahaman sebilangan rakyat Malaysia tentang konsep berkenaan.
Kedua, kurangnya usaha untuk memberi kefahaman kepada seluruh rakyat tentang konsep tersebut. Ketiga, salah faham tentang konsep itu dan keempat salahnya usaha untuk menerangkan konsep tersebut.
Tiada kamus yang mendefinisikan terma 'Ketuanan Melayu.' Namun, berdasarkan pemahaman umum, terma tersebut jika diertikan secara harfiah atau literal merujuk kepada 'dominasi bangsa Melayu' (dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Malay Supremacy atau Malay Dominance). Ia merupakan elemen paling penting dan paling asas dalam apa yang dipanggil 'kontrak sosial.'
Secara teknikal, konsep ketuanan Melayu merujuk kepada satu bentuk hubungan dan keadaan di mana bangsa Melayu itu seharusnya mendominasi segenap aspek kehidupan seperti sosial, politik dan ekonomi di tanah airnya berbanding bangsa lain yang turut menetap atau tinggal di tempat yang sama.
Hubungan ini tidak berbentuk feudalisme di mana melalui hak kelahiran, bangsa Melayu menjadi tuan manakala bangsa lain menjadi hamba atau orang suruhan.
Ringkasnya, ia merujuk kepada satu bentuk manifestasi hubungan simbiosis, walaupun tidak sama rata, tetapi tetap memberikan faedah dua hala.
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara, terma ketuanan Melayu - dalam perspektif hubungan pelbagai kaum bermaksud satu keadaan di mana bangsa Melayu merupakan pemegang kuasa dan penerima hak istimewa utama dalam pemerintahan, pentadbiran dan perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.
Perbincangan konsep ketuanan Melayu dan kenegaraan Malaysia memerlukan pemahaman empat perkara asas berikut:
1. Timbal Balas (Quid Pro Quo)
Dari segi sejarahnya, Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan kawasan geografi yang majoriti penduduknya adalah kaum Melayu. Kehadiran pemastautin bangsa lain bermula pada era penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun-20. Ketika ini British membawa masuk ramai tenaga buruh asing seperti rakyat China dan India untuk menampung kekurangan pekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah.
Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, ramai daripada buruh ini diberi pilihan sama ada untuk terus menetap di Malaya atau kembali ke negara asal mereka. Ramai yang memilih untuk tinggal di sini. Tidak kurang juga yang memilih untuk kembali.
Apabila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, buruh imigran ini diterima sebagai warganegara Malaysia melalui konsep jus soli dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Bahagian III-Kewarganegaraan; 3.1 Bab 1-Pemberian Kewarganegaraan; Artikel 14-22). Pemberian kewarganegaraan ini ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.
Aturan timbal balas atau quid pro quo penerimaan syarat-syarat ini dikenali sebagai 'kontrak sosial.' Kontrak inilah yang dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan penubuhannya sebagai sebuah negara. Kontrak ini turut dipanjangkan kepada penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang membabitkan status dan hak kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.
2. Artikel 153
Secara ringkas artikel ini menyebut mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebagai Ketua Negara Malaysia, untuk melindungi kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan penduduk asal Sabah dan Sarawak (secara kolektif dipanggil bumiputera) dalam hal ehwal seperti perkhidmatan awam, pendidikan, biasiswa, latihan, kemudahan dan perniagaan tanpa menjejaskan peluang dan hak kaum lain.
Artikel 153, di samping status Yang di-Pertuan Agong itu sendiri sebagai orang Melayu dan Raja Melayu adalah asas kepada kemutlakan ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. Pemaktuban Artikel 153 ini sama sekali tidak menjadikan kaum bukan Melayu warganegara kelas kedua. Salah faham mengenai Artikel ini, jika ada, sebenarnya adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan demi mencapai cita-cita politik dan peribadi songsang.
3. Kehilangan Singapura
Singapura diterima masuk ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 sebelum ia kemudiannya disingkir pada 9 Ogos 1965. Kemasukan Singapura menyebabkan populasi kaum Cina meningkat sehingga 35.7 peratus berbanding kaum Melayu iaitu 38.4 peratus (In-Won Hwang, Personalized Politics; The Malaysian State Under Mahathir, ISEAS, Singapore, 2003, pg.54).
Dominasi kaum Cina dan pengenalan polisi bukan pro-Melayu di Singapura mendorong kepada meletusnya beberapa rusuhan kaum di pulau tersebut. Ketidakstabilan Singapura akhirnya mendorong kepada penyingkirannya daripada Persekutuan Malaysia.
Episod rusuhan kaum di Singapura dan kesanggupan Kerajaan Malaysia untuk kehilangan sebuah 'tanah Melayu' merupakan sesuatu yang amat sukar tetapi terpaksa dilakukan. Demi keharmonian dan keamanan Malaysia keseluruhannya, kepentingan penduduk asal dan pulau Singapura terpaksa 'diketepikan.'
Bagi kebanyakan orang Melayu, episod Singapura adalah lambang kegagalan ketuanan Melayu. Justeru, ini juga adalah antara faktor utama sehingga kini, mengapa orang Melayu begitu sensitif apabila konsep ketuanan Melayu dipersoalkan.
Agenda
4. Malaysian Malaysia
Democratic Action Party (DAP) antara lain, meneruskan agenda Malaysian Malaysia (selepas pengharaman PAP di Malaysia) secara terbuka ke seluruh negara. Kempen berkaitan agenda ini menjadi amat popular terutama menjelang pilihan raya tahun 1969. Keputusan pilihan raya 1969 yang tidak memihak kepada Kerajaan Perikatan (kehilangan Pulau Pinang, Perak dan Kelantan dan 2/3 majoriti di Parlimen) memburukkan lagi suasana. Ketidaktentuan keadaan politik semasa akhirnya menyebabkan terjadinya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Rusuhan tersebut menyebabkan Kerajaan Malaysia memperkenalkan beberapa polisi affirmative yang merupakan sebahagian daripada usaha melindungi agenda atau konsep ketuanan Melayu. Antaranya ialah pindaan Perlembagaan yang mengharamkan sebarang perdebatan (termasuk dalam Parlimen) ke atas hak dan kedudukan istimewa bumiputera, penambahan skop dan kuasa Yang di-Pertuan Agong, pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemaktuban kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan pengenalan Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan.
Langkah sosio-ekonomi yang paling utama pasca tragedi 13 Mei yang dilancarkan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan, memansuhkan penyamaan identiti kaum dengan peranan ekonomi, merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan meluaskan kek ekonomi.
Antara Kesamarataan dan Keadilan
Salah faham tentang ketuanan Melayu berpunca daripada pemahaman serong bahawa orang Melayu, melalui hak kelahirannya sebagai bangsa Melayu mesti dianggap dan dilayan sebagai tuan dan di mana orang bukan Melayu pula adalah sebagai hamba. Fahaman ini adalah kefahaman sesat.
Memahami konsep ketuanan Melayu sebenarnya adalah mudah. Ia mendokong gagasan bahawa hak-hak dan status kaum Melayu sebagai penduduk asal Malaysia mesti sentiasa dilindungi melalui cara yang adil dan saksama; tanpa menghalang hak kaum bukan Melayu. Ia menjamin bahawa tanah-tanah orang Melayu tidak akan dirampas untuk diberikan kepada orang lain yang tidak bertanah semata-mata atas dasar dan hak sama rata sebagai warganegara Malaysia.
Ia juga menjamin bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi negara Malaysia tidak akan ditidakkan.
Ia sekali gus mengesahkan bahawa kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu tidak sesekali disisihkan.
Teras politiking sesetengah parti di negara ini mengunjurkan kesamarataan hak rakyat Malaysia. Namun kesamarataan tidak semestinya membawa kepada keadilan. Sesungguhnya, keadilan adalah lebih penting daripada kesamarataan.
Semua agama menganjurkan bahawa keadilan adalah tunjang kehidupan. Dalam Islam, keadilan ditakrifkan sebagai usaha meletakkan sesuatu pada tempatnya atau pada haknya. Sebab itu zakat hanya diberi kepada orang miskin. Justeru, biasiswa pendidikan hanya layak untuk pelajar miskin. Kerana itu cukai pendapatan hanya dibayar oleh rakyat yang berpendapatan tinggi.
Polisi pemberian biasiswa pendidikan kepada pelajar kurang mampu atau miskin mencerminkan polisi yang adil meskipun tidak sama rata. Di Malaysia, kaum Melayu dan bumiputera adalah kaum yang paling miskin. Lantas, adalah adil melihat orang Melayu sebagai penerima terbesar biasiswa tersebut.
Harus diingat bahawa dasar pemberian biasiswa ini sama sekali tidak menafikan hak kaum bukan Melayu yang juga miskin dan berhak. Contohnya biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada masa kini dinisbahkan pada 55:45 di mana kaum Melayu (yang majoritinya miskin) diperuntukkan 55 peratus biasiswa manakala bukan Melayu (yang majoritinya mampu) mendapat 45 peratus.
Kelangsungan ketuanan Melayu
Polemik mengenai ketuanan Melayu sebenarnya mempunyai beberapa agenda tersusun. Antaranya pertama, penguasaan politik oleh gagasan yang menolak ketuanan Melayu. Kedua, penyingkiran parti politik yang memperjuangkan ketuanan Melayu dan ketiga, pindaan Perlembagaan untuk mewujudkan 'ketuanan Rakyat' atau Malaysian Malaysia.
Ada banyak sebab mengapa usaha menghapuskan ketuanan Melayu ini wajar ditentang. Antaranya, sistem politik Malaysia adalah berteraskan kepada sistem Parlimen Beraja (Constitutional Monarchy) di mana Raja atau Sultan merupakan tulang belakang penubuhan Malaysia. Agong sebagai Ketua Negara Malaysia dan Ketua Perlembagaan Malaysia yang terdiri daripada Sultan atau Raja Melayu. Justeru, Malaysia sebagai sebuah negara adalah diasaskan kepada konsep ketuanan Melayu - yang mana Raja atau Sultan Melayu adalah 'Ketua' atau 'Tuan' kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.
Usaha menidakkan atau menggantikan ketuanan Melayu dengan sesuatu yang lain akan membabitkan pindaan Perlembagaan keseluruhannya, jika bukan pembentukan perlembagaan baru. Ia seperti menubuhkan sebuah negara baru.
Usaha ke arah ini tidak mudah. Banyak masalah dan 'bencana politik' dapat dielakkan dengan cara memahami dan seterusnya mengakui bahawa ketuanan Melayu (terutama sekali sejak tahun 1969) telah menjadi tonggak pemerintahan Malaysia yang berjaya menyusun atur dengan baik fabrik sosial, politik dan ekonomi negara ini.
Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang sangat mustahak. Malaysia mesti tidak menghadapi satu lagi tragedi '13 Mei.' Caranya mudah, rakyat Malaysia mesti faham konsep ketuanan Melayu.
Masih sukarkah memahami apa itu ketuanan Melayu?

Takziah




14 banglo tertimbus tanah runtuh di Bukit Antarabangsa
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Dua terbunuh, 15 cedera manakala lapan dikhuatiri terperangkap setelah 14 buah rumah banglo tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa di sini awal pagi ini. Kejadian dipercayai berlaku pukul 4 pagi ketika penghuni sedang tidur apabila lereng bukit kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian runtuh tiba-tiba, mayat dua beranak itu telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 pagi untuk bedah siasat. Setakat ini seramai 93 mangsa telah diselamatkan dan ditempatkan disurau Jalan Bukit Antarabangsa. Operasi yang disertai kira-kira lebih 160 anggota penyelamat masih diteruskan untuk mengeluarkan lapan lagi mangsa yang terperangkap, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai jalan alternatif kerana jalan utama ke kawasan tersebut tidak boleh dilalui.




Ketenangan Bukit Antarabangsa sekali lagi digegar tanah runtuh

KUALA LUMPUR: Ketenangan di Bukit Antarabangsa, kawasan perbandaran berbukit yang mengandungi banglo kelas pertengahan dan mewah, kondominium dan rumah teres, terganggu berikutan kejadian tanah runtuh yang bermula dari Jalan Wangsa Ukay 9, di Taman Wangsa Ukay. Bongkah batu besar dan tanah dengan berat beberapa tan menimbus beberapa buah rumah pada pukul 4 pagi ini, di kawasan kira-kira 1.5 kilometer (km) dari kejadian runtuhan Highlands Tower pada 11 Disember, 1993. Tidak ramai yang tahu mengenai tanah runtuh itu kerana ia berlaku sekelip mata.
Tetapi bagi mereka yang mendapat tahu selepas dihebahkan secara lisan atau mengetahuinya melalui khidmat SMS, radio atau televisyen, mereka mula mengerumuni kawasan itu. Pusat bandar itu, yang mengandungi pasar raya, stesen pam minyak dan dua deretan rumah kedai, menjadi luar biasa sesak dengan pemandu kenderaan yang ingin tahu, ambulans dan kenderaan dari polis dan Jabatan Pertahanan Awam. Apabila menjelang siang, saya menyertai orang ramai yang mengerumuni kawasan sederetan rumah-rumah yang ditinggalkan di Jalan Wangsa 9, melihat kawasan bencana itu.
Mereka mengambil keputusan untuk melepasi pita keselamatan yang diletakkan oleh pegawai keselamatan bagi menghindari orang ramai daripada mendekati kawasan curam. Kumpulan kami berada kira-kira 15 ke 20 meter dari tempat di mana kejadian itu bermula. Tiba-tiba, kami merasai pergerakan tanah dan banyak pokok Semarak yang tumbang menyembah bumi. Melihatkan keadaan itu, mereka yang membawa kamera telefon bimbit, lintang pukang lari menyelamatkan diri.
Jika berfikir mengenainya, kami sebenarnya berada di kedudukan yang berbahaya berdekatan dengan kawasan bencana itu bermula. Kebanyakan mereka yang berada di tempat itu berkata kejadian tanah runtuh itu mungkin disebabkan hujan lebat sejak beberapa hari lalu. Ini baru di Jalan Wangsa Ukay 9, hari ini. Di jalan utama menuju Bukit Antarabangsa, sekumpulan pekerja sedang memasukkan konkrit yang diperkukuhkan ke atas bongkah besar yang kelihatan semakin condong ke arah jalan. Tidak jauh dari situ, air kelihatan menitis dari celah-celah bongkah lain. Minggu lalu, jalan itu ditutup buat sementara selama sehari apabila beberapa bongkah batu jatuh ke atas jalan itu. Kumpulan itu kelihatan mengejar waktu. Jika hujan berterusan, bencana lain mungkin menyusul jika bongkah besar itu menyembah bumi. Ini bermakna jalan utama yang menghubungkan Bukit Antarabangsa ke Lingkaran Jalan Tengah II mungkin terputus lagi, seperti yang berlaku minggu lalu dan beberapa tahun lalu. - Bernama

Wajarkah

MELAKA 6 Dis. - Bintang filem Bollywood terkenal, Datuk Shah Rukh Khan hari ini mencatat sejarah sebagai bintang filem asing pertama menerima pingat kebesaran Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk. Shah Rukh berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan Melaka kerana memberikan gelaran tersebut kepadanya sekali gus menjadi bintang filem Bollywood pertama yang menerima penganugerahan tersebut. ``Saya berterima kasih kepada kerajaan Melaka kerana memberikan pengiktirafan ini dan menjadikan saya penerima pertama anugerah ini untuk bintang filem Bollywood,'' katanya di sini hari ini. Shah Rukh Khan yang dilahirkan pada 2 November 1965 di Mumbai telah menerima lebih 40 anugerah dalam industri hiburan dan perfileman di peringkat antarabangsa antaranya Screen Award, The Zee Cine Award, NDTV Award, International India Film Award dan lain-lain. Filem One 2 Ka 4 memaparkan kawasan-kawasan menarik di negara ini termasuk kawasan peranginan A' Famosa Resort, Melaka. Penganugerahan itu menjadikan Shah Rukh Khan, artis Bollywood pertama ber gelar Datuk. Beliau yang terkenal menerusi filem Kuch Kuch Hota Hai (1998) mempunyai ijazah sarjana dalam bidang komunikasi dari Jamia Millia Islamia University.

05 December 2008

Hillary Bill Clinton


Senator Hillary Clinton listens as President-elect Barack Obama introduces her as his choice for secretary of state during a press conference at the Hilton Hotel December 01, 2008 in Chicago, Illinois. Democrats in Congress were Wednesday preparing to fix a constitutional quirk that a conservative legal group argues should bar Hillary Clinton from serving as secretary of state

02 December 2008

Polemik!

apa dosa melayu terhadap bukan melayu?
MENGAPA kaum bukan Melayu tidak henti-henti membangkitkan isu ketuanan Melayu dan apa sahaja perkara berkaitan Melayu?
Seolah-olah Melayu kini menjadi musuh bukan Melayu, lantaran apa sahaja yang menjadi milik Melayu termasuk yang termaktub di dalam Perlembagaan sentiasa dipersoalkan.
Apa dosa orang Melayu terhadap bukan Melayu? Apa kurangnya orang bukan Melayu jika dibandingkan dengan kedudukan orang Melayu yang merempat di tanah air sendiri.
Apa tuntutan bukan Melayu yang gagal dipenuhi kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan? Sengkek benarkah keadaan orang bukan Melayu di Malaysia sehingga tanpa henti mereka mempertikaikan hak orang Melayu.
Apa sebenarnya maksud tersirat di sebalik tersuratnya tuntutan demi tuntutan agar hak orang Melayu dihapuskan dan tuduhan bahawa ketuanan Melayu tidak lagi relevan.
Tentunya, orang bukan Melayu mahu orang Melayu bersaing dengan mereka tanpa sebarang keistimewaan kerana mereka tahu Melayu tidak akan mampu berbuat demikian.
Dalam keadaan dilimpahi pelbagai keistimewaan seperti yang didakwa oleh bukan Melayu, orang Melayu masih menguasai tangga teratas golongan paling miskin dengan tahap pendapatan di bawah RM1,000.
Malah pencapaian ekonomi orang Melayu pun masih lemah dan tidak dapat menandingi kekayaan orang bukan Melayu di negara ini. Begitu juga dengan kekuatan politik bangsa Melayu yang hakikatnya tidak sekuat mana menyebabkan ia menjadi mangsa ugutan serta hentaman oleh bukan Melayu.
Kelemahan Melayu yang amat ketara itulah hakikatnya yang mendorong bukan Melayu tidak henti-henti 'menyalak' dan menuntut supaya hak Melayu dihapuskan. Jelas matlamat mereka hanya satu - ingin melihat Melayu tersungkur di bumi sendiri sehingga akhirnya kuasa ekonomi menentukan masa depan politik.
Masalahnya orang Melayu hanya gemar bercakap, berhujah dan beretorik setiap kali bersuara untuk mempertahankan hak bangsa sendiri. Hanya laungan kata-kata berkumandang di sana sini namun tiada tindakan bersepadu dilaksanakan untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang kuat dan hebat. Segala keistimewaan yang termaktub di sisi Perlembagaan hanya dinikmati oleh segelintir Melayu yang 'bertuah' manakala Melayu serpihan terus dianaktirikan dan merempat di bumi sendiri.
Lebih menyedihkan ada kalangan Melayu yang turut menolak ketuanan Melayu dan tidak percaya kepada hak keistimewaan Melayu sedangkan manusia-manusia itulah yang mengaut keuntungan daripada dasar tersebut.
Hakikatnya, ini bukan masa untuk beretorik atau mempertahankan Melayu sekadar menggunakan 'air liur'. Ketuanan Melayu mesti dihidupkan semula untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati dan disegani sehingga tiada kaum berani memperlekehkan Melayu jauh sekali mempersoalkan hak Melayu untuk terus menerajui tampuk pemerintahan negara.
Kesemuanya itu hanya boleh dilaksanakan jika semua pihak bersatu dan bersungguh-sungguh menjayakan agenda membangunkan Melayu.

Bulan Senyum


Keajaiban bulan 'senyum': Luar biasa. Kelihatan bulan sabit dan planet Musytari serta Zuhrah menyerupai muka orang tersenyum atau bulan 'senyum' yang boleh kelihatan bermula kira-kira jam 8 malam tadi. Kejadian luar biasa astronomi itu berlaku lima tahun sekali turut menarik perhatian ramai rakyat negara ini yang menyebarkan berita bulan 'senyum' itu menerusi khidmat pesanan ringkas.