31 July 2008

Letak Jawatan MP

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (duduk, kiri) ketika mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya yang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi itu pada sidang media ibu pejabat PKR di sini, hari ini. Turut bersamanya ialah anak mereka iaitu Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah dan Nurul Nuha.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata pilihan raya kecil boleh diadakan walaupun baru empat bulan selepas pilihan raya umum dijalankan, ini kerana undang-undang tidak menetapkan had tempoh tertentu. Ahli Parlimen boleh dengan sengaja mengosongkan kerusinya tanpa sebab, ini jawaban SPR. “Tak boleh jawab. Itu soalan Perlembagaan, walaupun saya ada jawapannya.”

30 July 2008

wartawan vs politikus

Kualiti wartawan atau mentaliti pemimpin?
"WARTAWAN pun kena belajar tanya soalan, biar ada kelas sikit. Isu-isu biar nasional, biar antarabangsa punya soalan," demikian kata Bendahari UMNO Terengganu, Datuk Roslan Awang Chik. Sementara Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan pula berkata, "Saya lihat kualiti wartawan kita rendah bila buat soalan." Kedua-dua kenyataan ini merujuk isu servis Perdana V6 Executive dan pembelian Mercedes E200 Kompressor oleh Kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini. Pertama sekali kita kena positif dengan kenyataan ini. Kita perlu menganggap kritikan terbuka terhadap media ini satu anjakan pemikiran yang berlaku dalam kalangan pemimpin negeri itu. Maka selepas ini harapan kita semua ialah pemimpin-pemimpin di Terengganu tidak lagi memberikan kenyataan-kenyataan yang retorik, remeh dan sangat tidak berkualiti. Sebenarnya sebelum ini media banyak memaparkan kenyataan yang tidak begitu berkualiti. Tetapi ironiknya tidak ada pemimpin dari Terengganu yang membantah media menyiarkan kenyataan begitu. Adakah ini kerana wartawan tersilap memetik yang remeh atau sememangnya tidak ada apa lagi selain yang disiarkan dalam media itu? Jadi, kesedaran supaya isu-isu yang bertaraf 'antarabangsa' disiarkan adalah suatu yang positif. Sekali pun bukan bertaraf 'antarabangsa' tetapi isu kos servis Perdana V6 Executive dan pembelian Mercedes bukan pula isu remeh dan boleh disapu di bawah karpet. Memang isu ini menjadi sensasi tetapi bukan pula semua yang sensasi itu remeh. Ia menjadi sensasi kerana banyak orang hendak tahu, pihak mana lagi yang akan menjawabnya kalau bukan media? Isu yang menarik perhatian rakyat dan mereka berhak diberi jawapan. Wartawan memenuhi tuntutan untuk memberitahu apa saja persoalan yang bersarang di fikiran rakyat tanpa membelakangkan undang-undang. Lalu yang menjadi lebih sensasi ialah persepsi. Wartawan atau media tidak mempunyai keupayaan untuk menghalang daripada orang membuat persepsi masing-masing. Ini sama juga dengan persepsi bahawa isu Perdana V6 Executive sebagai remeh. Wartawan tidak dapat menghalang mana-mana pihak yang ada persepsi sedemikian. Maka agak kurang tepat kalau wartawan dirujuk sebagai melontarkan soalan yang tidak ada 'kelas' hanya kerana mahu merungkai persoalan yang menjadi tanda tanya rakyat. Tambahan pula, mana-mana wartawan sekali pun, mereka diasuh dengan analogi "manusia gigit anjing" atau "anjing gigit manusia". Analogi ini adalah perkara asas untuk menilai sesuatu yang berlaku itu ada nilai berita atau sebaliknya. Dalam konteks kita, kalau anjing menggigit manusia adalah perkara biasa dan tidak ada nilai berita kecuali jumlah yang digigit itu besar. Tetapi kalau "manusia gigit anjing", itu sudah ada nilai berita kerana perkara yang sangat jarang berlaku, pelik dan hampir tidak munasabah.
Analogi ini boleh disesuaikan dengan semua keadaan. Wartawan akan sentiasa berfikir dalam konteks "manusia gigit anjing" dalam apa juga keadaan untuk membezakan sesuatu yang biasa dan luar biasa. Analogi ini juga dimanfaatkan dalam konteks isu Perdana V6 Executive di Te- rengganu yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini. Mungkin benarlah soalan-soalan yang dilontarkan oleh wartawan mengenai isu ini tidak bertaraf 'antarabangsa' sebab isu ini pun bukan isu antarabangsa. Wartawan sebenarnya telah diasuh menghidu isu-isu yang bukan saja ada nilai berita malah ada kepentingan kepada rakyat. Mungkin wartawan 'antarabangsa' tidak memikirkan kepentingan rakyat dan isu Perdana V6 Executive tidak ada nilai kepada mereka. Daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Terengganu, belanja servis Perdana V6 dalam jangka masa empat tahun menyamai nilai sebuah Perdana V6 Executive yang baru. Inilah nilai berita sebab pertama kali berlaku seumpama ini. Begitu juga suara sinis yang menganggap belanja RM3.43 juta untuk membeli Mercedes sebagai 'kecil' bagi sebuah negeri. Nilai beritanya ialah Menteri Besar dan anggota Exco pakai Mercedes, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pakai Perdana V6 Executive saja. Cara berfikir wartawan betul dalam konteks nilai berita. Wartawan antara profesion yang unik, kerana itu tidak hairan kalau ada yang tidak begitu faham tentang profesion ini. Ini samalah dengan satu peristiwa yang berlaku di sebuah hospital di Poland selepas Perang Dunia Kedua dulu. Seorang doktor diherdik oleh seorang tentera yang cedera, kemudian dia mengajar doktor itu bagaimana cara-cara untuk merawatnya. Doktor itu tidak marah tetapi sambil tersenyum dia berkata, "Anda seorang yang bertuah kerana lebih pandai daripada saya tanpa pergi ke sekolah perubatan."

Bukan Lawan


Malaysia 0 - Chelsea 2

23 July 2008

Penjenayah diberkas


BERBEZA... Dua gambar kombinasi ini menunjukkan penjenayah perang, Radovan Karadzic yang diberkas oleh pasukan keselamatan Serbia di luar Belgrade, kelmarin. Gambar kanan diambil semasa Karadzic menghadiri sidang Parlimen Republik Srpska di Bosanski Samac pada 13 Februari 1995, manakala gambar kiri adalah gambar terbaru Karadzic yang memperlihat wajahnya yang berjanggut, berambut panjang dan memakai cermin mata
BELGRADE 22 Julai – Penjenayah perang yang paling dikehendaki Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Radovan Karadzic akhirnya berjaya diberkas oleh pasukan keselamatan Serbia semalam. Pemimpin Serb Bosnia itu, yang didakwa terlibat melakukan pembunuhan etnik di Bosnia pada 1992-1995, berjaya ditahan selepas hampir 13 tahun melarikan diri daripada tribunal jenayah perang

18 July 2008

Kebebasan Media

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik AbdulAziz Nik Mat menegur pengamal media yang memberi liputan keterlaluan dalam kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mengaibkannya walaupun belum lagi terbukti bersalah. Menteri Besar Kelantan itu kecewa dengan keghairahan media yang melaporkan berita penahanan Anwar di muka depan beserta gambar tetapi pembebasan Anwar dengan jaminan polis dilaporkan secara ringkas sahaja. “Saya nak tanya kenapa nak malukan dia sampai letak muka depan (media)...kena ingat Allah akan tutup aib kita di akhirat kalau kita tutup aib orang lain dan Allah juga akan dedah aib kita kelak kalau kita dedah aib orang di dunia,” katanya semasa menyampaikan kuliah di Dataran Ilmu di sini hari ini. Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengamal media bahawa setiap perbuatan itu akan dihitung di akhirat kelak. — Bernama

16 July 2008

anwar ditahan polis

16/07/2008 1:20pm Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan polis berhampiran kediamannya di Segambut dekat sini pukul 1 tengah hari ini. Difahamkan sepasukan anggota komando lengkap dengan topeng dan jaket memintas kereta Anwar di simpang berdekatan rumahnya sekembali beliau daripada memberi keterangan di ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.

Hari Ini Memerintah, Esok Turun Harga Minyak


Rencana Berita Harian
KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengemukakan formula menurunkan harga bahan api yang meyakinkan dan mapan pada debat khas mengenai "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak." Walaupun beliau berhujah dengan petah dan menarik hati penonton terutama penyokongnya menerusi retoriknya, formula yang dibentangkan berjaya dipatahkan oleh lawannya Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan. Ahmad Shabery lebih banyak mengemukakan fakta mempertahankan tindakan kerajaan menstruktur semula subsidi minyak berbanding Anwar yang memilih pendekatan populis yang mengambil hati penonton.
Anwar berkata, harga bahan api boleh diturunkan 50 sen seliter sehari selepas sekiranya Pakatan Rakyat memerintah menerusi formula RM5 bilion digunakan bagi menampung penurunan harga minyak. Wang itu dapat diperoleh dengan penjimatan perbelanjaan kerajaan termasuk mengatasi masalah kebocoran dan ketirisan, dan mengurangkan 'standby' kapasiti pengeluaran tenaga daripada 40 peratus kepada 20 peratus oleh pengeluar tenaga bebas (IPP). "Dengan mengurangkan kapasiti itu saja kita telah mendapat RM2 bilion, jadi RM3 bilion lagi diperoleh melalui penjimatan dan mengatasi kebocoran," katanya. Mematahkan hujah-hujah Anwar pada debat anjuran Agendadaily.com di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malam tadi, Ahmad Shabery berkata cadangan Anwar itu sudah tidak lagi relevan berikutan harga minyak di pasaran dunia sekarang lebih mahal berbanding harga semasa formula itu di warkan-warkan sejak sebelum pilihan raya umum Mac lepas.
Beliau menjelaskan pada masa itu harga bahan api adalah RM1.92 seliter bagi petrol dan RM1.58 seliter diesel. Berikutan harga setong minyak di pasaran dunia mencecah lebih US$130 setong, kerajaan terpaksa menstruktur semula subsidi bahan api, menjadikan harga di pam petrol RM2.70 seliter dan diesel RM2.58 seliter. "Kalau kerajaan mengekalkan harga minyak pada kadar yang lama, ini bermakna subsidi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan ialah sebanyak RM50 bilion. "Ini bermakna banyak program pembangunan, termasuk sekolah, jalan, Felda, soal orang di kampung tidak dapat dijalankan hanya untuk menampung cara hidup yang berterusan yang ada pada hari ini," kata Ahmad Shabery.
Ahmad Shabery berkata kenaikan harga minyak adalah fenomena global yang berlaku di seluruh dunia akibat banyak faktor termasuk perang Iraq, kemungkinan Amerika Syarikat menyerang Iran dan peningkatan permintaan bahan api oleh China serta India. Beliau berkata penyelesaian kepada masalah ini bukan dengan menambah subsidi secara konvensional tetapi memerlukan satu pendekatan baru menerusi penstrukturan subsidi bagi menjamin ia benar-benar disalur dan dinikmati oleh rakyat berpendapatan rendah. "Kalau kita terus bagi subsidi, ada syarikat asing seperti Exxon-Mobil, Shell dan sebagainya yang turut mendapat faedah daripada wang rakyat," katanya. Beliau berkata kebanyakan negara lain turut mengambil pendekatan yang sama seperti Malaysia. Ahmad Shabery yang turut membidas Anwar kerana mendakwa kenaikan harga minyak kerana pengurusan kerajaan yang tidak cekap, berkata malah Finland, Norway dan juga negara yang dilaporkan kurang mempunyai kes rasuah tidak memberikan subsidi minyak kepada rakyatnya. "Mereka telah menunjukkan prestasi ekonomi yang lebih baik dan Malaysia juga harus menuju ke arah itu," katanya. "Kalau kita mengajar rakyat kita dengan harga yang murah walaupun pada hakikatnya harga minyak antarabangsa adalah tinggi, tahun 2015 (apakah) kita akan menjadi net importer? "Mungkin beberapa tahun lagi kita tidak ada minyak lagi. Apakah subsidi begini akan diteruskan atau pada waktu itu baru hendak naik mendadak serta-merta daripada apa yang ada sekarang?" tanya Ahmad Shabery kepada Anwar. Anwar bagaimanapun mempertikaikan sumber minyak negara akan habis pada 2015 dan mendakwa kemungkinan telaga minyak baru ditemui kerana negara pernah menjangka kehabisan simpanan minyak pada 2005. Kata Anwar lagi Petronas juga giat menjalankan aktiviti mencarigali di luar negara. Ahmad Shabery berkata Malaysia memang negara pengeksport minyak tetapi bukannya pengeluar besar, oleh itu khazanah negara perlu diuruskan dengan cermat bagi kepentingan generasi akan datang. "Daripada keuntungan Petronas itu, sebenarnya yang telah diberi pada kerajaan ialah sebanyak 91 peratus, apa lagi yang kita nak ambil dari Petronas," katanya disambut dengan tepukan penonton. Ahmad Shabery, yang tidak luntur semangat menghadapi kepetahan Anwar berhujah menambah kata "Ingat Petronas kuat dan maju sekarang ini kerana siapa. Tidakkah kerana kerajaan Umno dan Barisan Nasional. "Kehebatan yang dibuat oleh Petronas selama ini adalah dorongan yang diberikan kerajaan. Kita tidak bebankan Petronas, kita benarkan Petronas untuk menabur kembali (keuntungan)," katanya. Penonton yang terdiri daripada 50 orang daripada Pakatan Rakyat dan 50 daripada pihak kerajaan mengikuti debat itu dengan tertib tanpa membuat sebarang kekecohan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP. Begitu juga dengan ratusan penyokong kedua-dua belah pihak yang memberi sokongan moral di luar dewan. Rata-rata penonton yang ditemui berpuas hati dengan perjalanan debat itu yang mereka sifatkan sebagai menyuburkan amalan demokrasi di negara ini. "Anwar mengambil pendekatan mencuri hati penonton menerusi retorik yang menyentuh emosi penonton tetapi kurang meyakinkan dari segi mengemukakan kaedah sedangkan Ahmad Shabery lebih banyak mengemukakan fakta kukuh dan munasabah," komen seorang penonton yang enggan namanya disebut. Debat kira-kira sejam itu dikendalikan oleh pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Johan Jafaar.

15 July 2008

Cara Tidur Nabi

Rencana Berita Harian
ORANG dewasa memerlukan masa tidur selama enam hingga lapan jam sehari. Bagi kanak-kanak pula memerlukan masa tidur yang lebih panjang. Lain pula bagi golongan veteran yang mencapai usia emas, pola tidur mereka adalah antara empat hingga lima jam sehari. Amalan tidur membantu untuk memberi keselesaan. Sebelum tidur pastikan diri dalam keadaan bersih dan disarankan mengambil wuduk supaya diri berasa semangat mahu tidur dan keadaan yang bersih disukai Allah. Tidurlah di atas rusuk kanan dan menghadap kiblat. Berusahalah menjaga adab tidur, elakkan kaki bersilang atau tertiarap dan mengangkat punggung. Tutuplah aurat dan tidurlah di tempat yang terselamat daripada bahaya serta kekotoran.
“Nabi melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap, lantas beliau berkata: Inilah cara berbaring yang dibenci Allah.” (Hadis riwayat Tarmizi) Sabda Baginda SAW bermaksud: “Apabila kamu mahu tidur ambil wuduk dulu seperti kamu mahu sembahyang, kemudian baringlah di sebelah kanan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Jauhkan diri daripada amalan tidur dua kali pada siang hari kerana amalan itu perbuatan syaitan. Ia menyebabkan wajah jadi kusam, keruh, lembap dan mengurangkan rezeki.
Ibn Qaiyim merumuskan bahawa Nabi SAW tidak tidur dalam kekenyangan. Beliau berbaring berlapikkan bantal, mengiring ke sebelah kanan dalam keadaan berzikir kepada Allah, sehingga tidur. Nabi Muhammad SAW suka tidur mengiring ke sebelah kanan. Baginda SAW tidur berlapikkan bantal yang sesuai dan membenci tidur secara meniarap. Ucapan memuji Allah sering diucap pada bibir. Saintis juga mengakui kedudukan tidur Nabi Muhammad SAW itu adalah model terbaik. Ia mampu memberi kesan kepada kesihatan badan. Tidur cara Nabi Muhammad SAW mampu merehatkan badan dan menjaga kesihatan tulang leher. Pakar perubatan mencadangkan dua kedudukan semasa tidur, iaitu mengiring dengan meluruskan tulang belakang atau menelentang di belakang dengan muka dan badan mengadap ke atas dengan menjaga bengkokkan tulang leher.
Anak Rasulullah SAW, Fatimah pernah menemui ayahandanya untuk meminta tawanan perang sebagai pembantu rumah kerana penat melakukan tugasan rumah tangga, tetapi tidak dipenuhi Baginda. Sebaliknya, Baginda SAW mengajarkan mereka cara lebih baik daripada itu, iaitu mengamalkan zikir pada waktu hendak tidur dengan membaca pujian bagi Allah (subhanallah sebanyak 33 kali) diikuti Alhamdulillah dan Allahuakbar. Itu adalah cara tidur sebaiknya diamalkan sambil berzikir memohon kebaikan serta kesejahteraan daripada Allah. Cara lain ialah membaca surah digalakkan seperti al-Fatihah, ayat Kursi, tiga ‘Kul’ dan doa sebelum tidur bagi mengelak gangguan.

Tercantik di Kalangan Tercantik

Dayana Mendoza melambai ke arah penonton selepas dimahkotakan sebagai Miss Universe 2008 pada pertandingan akhir kali ke-57 di pusat peranginan Nha Trang, Vietnam, semalam.

11 July 2008

weter



Petronas syarikat ke-8 paling untung di dunia
Oleh Suffian A Bakarsuffian@bharian.com.my
Duduki tangga pertama di Asia senarai Fortune Global 500PETRONAS berada di kedudukan kelapan senarai syarikat paling untung di dunia dan yang pertama di Asia tahun lalu dalam senarai Fortune Global 500 majalah perniagaan Fortune. Syarikat petroleum kebangsaan berkenaan yang dalam nilai dolar Amerika Syarikat (AS) meraih keuntungan AS$18.118 bilion tahun lalu, mengatasi syarikat terkemuka dunia lain seperti Microsoft, Toyota, Bank of America, Total dan JP Morgan.
Senarai syarikat paling untung di dunia itu didahului oleh Exxon Mobile diikuti Royal Dutch Shell, General Electric, BP, Gazprom, HSBC Holdings dan Chevron. Syarikat minyak Itali, Total dan bank pelaburan antarabangsa JP Morgan pula berada di tempat kesembilan dan ke-10. Petronas juga berada di kedudukan ke-95 dalam senarai keseluruhan Fortune Global 500 berdasarkan pendapatan syarikat.
Di kalangan syarikat Asia, Petronas yang meraih pendapatan dalam nilai dolar AS AS$66.22 bilion tahun lalu berada di kedudukan ke-16. Senarai 10 syarikat paling besar dunia tahun lalu didahului oleh Wal-mart Stores yang meraih pendapatan AS$378.799 bilion, diikuti oleh Exxon Mobile, Royal Dutch Shell, BP, Toyota Motor, Chevron, Ing Group, Total, General Motors dan Conoco Philips. Senarai 10 syarikat paling besar di Asia pula dikuasai firma dari Jepun, China dan Korea didahului Toyota Motor (Jepun); Sinopec, State Grid dan China National Petroleum (China); Samsung Electronics (Korea Selatan); Honda Motor, Hitachi, Nissan Motor, Nippon Telegraph (Jepun) dan LG (Korea Selatan). Sementara itu, syarikat automotif terbesar AS, General Motors, mendahului senarai mencatat kerugian paling besar, iaitu AS$$38.732 bilion.

10 July 2008

Najib PM2010

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan jawatan Presiden Umno kepada Datuk Seri najib Razak, pada pertengahan Jun tahun depan. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, petang ini. "Ini bermakna saya tidak akan memimpin parti dalam pilihan raya ke-13 akan datang," katanya. Ini juga setakat ini menguatkan lagi keyakinan rakyat Malaysia bahawa teori RAHMAN setakat ini akan boleh diterima.

08 July 2008

Tak Semua

Pengendali blog turut sebar fitnah - eh betukah!
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pengendali blog turut bertanggungjawab menyebarkan cerita-cerita pembohongan sehingga menyebabkan suasana politik negara diselubungi fitnah. Sehubungan itu, Abdullah mengingatkan mereka agar berhenti berbuat demikian. ''Mereka (pengendali blog) juga bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Tindakan terbaik mereka adalah berhenti (daripada menyebarkan fitnah)," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau mengulas tindakan ahli-ahli politik yang saling menuduh sekarang ekoran penyebaran fitnah yang berleluasa di negara ini. Bagaimanapun, Abdullah tidak menjelaskan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap pengendali blog yang menyebarkan fitnah. ''Kebenaran akan terserlah. Apabila kebenaran muncul, semua fitnah tersebut akan berhenti,'' kata Perdana Menteri.

07 July 2008

saintifik solat

Rencana Utusan
HUBUNGAN ibadah solat secara rohaniah ditekankan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis serta buku-buku ilmiah. Betapa solat itu merupakan tiang agama dan diwajibkan ke atas umat Islam.Bagaimanapun perkaitan ibadah solat secara saintifik seperti kesan pergerakan dalam setiap rakaat terhadap kesihatan tubuh badan masih terlalu sempit perbincangannya secara umum. Hakikatnya, pada setiap pergerakan solat itu seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat awal serta tahiyat akhir, tersembunyi pelbagai misteri saintifik terhadap kesihatan. Misteri itulah yang cuba dirungkaikan menerusi buku ini dengan memberi penekanan kepada komponen sains kesihatan seperti komposisi badan, denyutan jantung, pinggang, otak, otot dan disfungsi ereksi (mati pucuk). Menariknya buku ini, ia terhasil daripada cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri yang mahu melihat sebuah kajian dijalankan bagi membongkar kelebihan solat dari sudut saintifik. Kajian itu kemudiannya dijalankan oleh tiga orang saintis dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim, Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri. Secara umumnya, badan manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu tisu aktif, tisu tulang, air dan lemak dengan setiap satunya mempunyai fungsi-fungsi tertentu di dalam badan. Kajian mengenai kebaikan senaman terhadap komposisi badan telah banyak dilakukan dan pakar kesihatan juga sependapat bahawa senaman berat atau ringan tetapi dilakukan secara kerap dapat membakar lemak badan dan karbohidrat. Kesan yang sama juga dibuktikan menerusi pergerakan solat yang diumpamakan seperti melakukan senaman ringan dan dibuktikan dapat meningkatkan tahap ketahanan badan serta menghindarkan risiko penyakit jantung, tekanan, kolestrol dan penyakit lain. Pergerakan rukuk misalnya, iaitu kedudukan tulang belakang yang lurus melintang atau 90 darjah dibuktikan dapat mengelakkan risiko penyakit tulang belakang dan penyakit arthritis. Ia disebabkan oleh pertambahan bendalir dalam sel yang terdapat pada sendi-sendi badan sekali gus melembutkan pergerakan sendi tersebut.Kedudukan rukuk juga dapat melambatkan proses penuaan yang berlaku apabila meningkatnya tisu aktif selain menambah baik proses imbangan air dalam badan dan melancarkan fungsi buah pinggang. Begitu juga tabiat membengkokkan ibu jari dalam kedudukan sujud dan duduk semasa tahiyat yang dapat meningkatkan kadar pembakaran lemak dan membuang lemak dalam badan, sekali gus merendahkan risiko penyakit jantung. Keadaan sujud sesuai dengan tarikan graviti yang akan menyebabkan lebih banyak darah mengalir ke otak. Dinding dan urat-urat nadi otak dapat menerima lebih banyak darah berbanding keadaan biasa dan dengan bekalan oksigen mencukupi, otak akan menjadi lebih sihat dan cerdas. Nilai kadar denyutan jantung nominal semasa sujud juga baik untuk kesihatan jantung khususnya dan kesihatan badan secara keseluruhannya. Posisi sujud dalam solat merangsang kadar denyutan jantung yang sihat dan tambahan kepada masa rehat. Ia juga memanjangkan hayat jantung serta dapat menghindarkan pengecilan salur-salur darah yang membawa penyakit kepada arteriosklerosis. Daripada sudut kesihatan seksual pula, solat telah dibuktikan mampu memberikan kesan positif kepada pesakit yang mengalami disfungsi ereksi. Kajian yang dilakukan menunjukkan pesakit yang pada mulanya langsung tidak mendapat ereksi ketika tidur mula menunjukkan perubahan dengan satu ereksi selepas proses intervensi solat selama sebulan. Malah, kajian berasingan dalam tempoh yang sama juga menunjukkan bilangan ereksi pesakit, isipadu darah serta tempoh ereksi turut meningkat secara mendadak. Menariknya, solat turut memberi kelebihan kesihatan lain iaitu ia mampu meningkatkan bendalir dalam sel (ICW) serta menurunkan rintangan dan bendalir luar sel (ECW). Secara saintifiknya, bendalir dalam sel yang tinggi akan melancarkan pengaliran darah dalam badan terutamanya ke saraf otak yang akan mendapat bekalan oksigen yang tinggi seterusnya memberi ketenangan secara fizikal dan emosi kepada pendiri solat. Lebih daripada itu, solat juga dibuktikan mampu meningkatkan penumpuan dan daya ingatan. Menerusi solat, otak diberikan satu keadaan untuk bersedia dalam menghadapi tugas pemikiran yang mencabar. Malah, selepas melakukan solat, seseorang itu akan menjadi lebih berwaspada untuk bertindak balas terhadap sebarang rangsangan. Bagaimanapun perlu untuk diingatkan, kelebihan solat ke atas kesihatan seperti yang dibuktikan menerusi buku ini perlu menepati ciri-ciri tertentu dan sudah semestinya mengikut ajaran Islam yang sebenar. Ia termasuk mengerjakan solat lima waktu dalam sehari.

Salah Tempat

Ada pepatah Melayu mengatakan 'masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau lu fikir sendirilah, seorang penyanyi utama kumpulan indie terlentang di atas lantai selepas dibelasah penyokong parti pembangkang ekoran tindakannya cuba melondehkan seluar di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya petang semalam. Gara-gara cuba melondehkan seluar dan menonggeng ke arah penonton sambil menjerit perkataan ‘jilat, jilat’ ketika menyanyikan lagu Mari Nyanyi Menjilat, vokalis kumpulan underground Carburetor Dung dibelasah penyokong parti pembangkang yang menyaksikan persembahan mereka pada Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat – Protes Sampai Turun di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya.

05 July 2008

Jolie

ANGELINA JOLIE mungkin seorang daripada wanita paling seksi dan cantik di dunia. Namun kekuatan wanita ini bukan hanya terletak pada dua kriteria itu saja. Dia berjaya menempatkan dirinya pada tahap yang tinggi dalam industri perfileman yang nyata dikuasai lelaki. Menurut pengarah Wanted, filem terbaru lakonan bintang jelita itu, tidak ada pelakon wanita lain yang mampu mendapatkan penghormatan daripada kalangan penggiat filem Hollywood sebagaimana Jolie melakukannya. Bermula 26 Jun lalu, peminat Jolie di Malaysia dapat menonton aksi lasaknya sebagai sebahagian anggota kumpulan pembunuh upahan dalam filem Wanted. Selain dirinya dan McAvoy, turut membintangi filem berkenaan ialah Morgan Freeman dan Thomas Kretschmann. Filem ini dihasilkan dengan berpandukan kepada komik dengan judul serupa. Oktober nanti, dia sekali lagi bakal menghiasi layar lebar pawagam dengan watak Christine Collins, seorang ibu yang disatukan semula dengan anaknya selepas budak lelaki itu diculik. Bagaimanapun Collins tidak berasakan budak itu ialah anak lelakinya. Dia kemudian diisytiharkan tidak ‘sihat’ untuk menjaga kanak-kanak berkenaan. Filem ini dibuat berdasarkan kes Wineville Chicken Murders, yang menjadi perhatian ramai di Amerika Syarikat pada hujung tahun 1920-an.
INFO:
MENURUT pakar bedah plastik, hidung Angelina Jolie ialah antara contoh hidung yang paling dikehendaki pelanggan.
SEBELUM hidup bersama aktor tersohor Brad Pitt pada 2005, Jolie sebelum itu berkahwin dengan Jonny Lee Miller (1996-1999) dan Billy Bob Thornton (2000-2003).
DIA turut mempunyai tiga anak angkat, Maddox, Pax, dan Zahara, dan seorang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Pitt, Shiloh.
BADAN pelakon wanita berusia 33 tahun dari Los Angeles ini dikatakan dicacah dengan 13 jenis tatu.
FILEM Girl, Interrupted (2000) mungkin judul terbaik pernah dibintangi Jolie apabila watak pembantu yang dilakonkannya menghadiahkan aktres ini dengan tiga trofi - Anugerah Academy, Anugerah Golden Globe dan Anugerah Persatuan Penulis Skrin.

04 July 2008

Selamat Bertunang

Pelakon cantik Maya Karin, menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh berkahwin dengan pasangannya, Steven David Shorthose, 38, atau Muhammad Ali, seorang guru. Dalam sidang akhbarnya di sini, hari ini, Maya, 29, berkata dia dan Muhammad memilih tempat pernikahan di kawasan peranginan terkemuka, Bellagio, di Itali. Katanya, dia sudah mengenali pemuda Inggeris terbabit sejak tujuh tahun lalu dan memilihnya sebagai pasangan hidup kerana sifatnya yang cukup sederhana.