30 July 2008

wartawan vs politikus

Kualiti wartawan atau mentaliti pemimpin?
"WARTAWAN pun kena belajar tanya soalan, biar ada kelas sikit. Isu-isu biar nasional, biar antarabangsa punya soalan," demikian kata Bendahari UMNO Terengganu, Datuk Roslan Awang Chik. Sementara Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan pula berkata, "Saya lihat kualiti wartawan kita rendah bila buat soalan." Kedua-dua kenyataan ini merujuk isu servis Perdana V6 Executive dan pembelian Mercedes E200 Kompressor oleh Kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini. Pertama sekali kita kena positif dengan kenyataan ini. Kita perlu menganggap kritikan terbuka terhadap media ini satu anjakan pemikiran yang berlaku dalam kalangan pemimpin negeri itu. Maka selepas ini harapan kita semua ialah pemimpin-pemimpin di Terengganu tidak lagi memberikan kenyataan-kenyataan yang retorik, remeh dan sangat tidak berkualiti. Sebenarnya sebelum ini media banyak memaparkan kenyataan yang tidak begitu berkualiti. Tetapi ironiknya tidak ada pemimpin dari Terengganu yang membantah media menyiarkan kenyataan begitu. Adakah ini kerana wartawan tersilap memetik yang remeh atau sememangnya tidak ada apa lagi selain yang disiarkan dalam media itu? Jadi, kesedaran supaya isu-isu yang bertaraf 'antarabangsa' disiarkan adalah suatu yang positif. Sekali pun bukan bertaraf 'antarabangsa' tetapi isu kos servis Perdana V6 Executive dan pembelian Mercedes bukan pula isu remeh dan boleh disapu di bawah karpet. Memang isu ini menjadi sensasi tetapi bukan pula semua yang sensasi itu remeh. Ia menjadi sensasi kerana banyak orang hendak tahu, pihak mana lagi yang akan menjawabnya kalau bukan media? Isu yang menarik perhatian rakyat dan mereka berhak diberi jawapan. Wartawan memenuhi tuntutan untuk memberitahu apa saja persoalan yang bersarang di fikiran rakyat tanpa membelakangkan undang-undang. Lalu yang menjadi lebih sensasi ialah persepsi. Wartawan atau media tidak mempunyai keupayaan untuk menghalang daripada orang membuat persepsi masing-masing. Ini sama juga dengan persepsi bahawa isu Perdana V6 Executive sebagai remeh. Wartawan tidak dapat menghalang mana-mana pihak yang ada persepsi sedemikian. Maka agak kurang tepat kalau wartawan dirujuk sebagai melontarkan soalan yang tidak ada 'kelas' hanya kerana mahu merungkai persoalan yang menjadi tanda tanya rakyat. Tambahan pula, mana-mana wartawan sekali pun, mereka diasuh dengan analogi "manusia gigit anjing" atau "anjing gigit manusia". Analogi ini adalah perkara asas untuk menilai sesuatu yang berlaku itu ada nilai berita atau sebaliknya. Dalam konteks kita, kalau anjing menggigit manusia adalah perkara biasa dan tidak ada nilai berita kecuali jumlah yang digigit itu besar. Tetapi kalau "manusia gigit anjing", itu sudah ada nilai berita kerana perkara yang sangat jarang berlaku, pelik dan hampir tidak munasabah.
Analogi ini boleh disesuaikan dengan semua keadaan. Wartawan akan sentiasa berfikir dalam konteks "manusia gigit anjing" dalam apa juga keadaan untuk membezakan sesuatu yang biasa dan luar biasa. Analogi ini juga dimanfaatkan dalam konteks isu Perdana V6 Executive di Te- rengganu yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini. Mungkin benarlah soalan-soalan yang dilontarkan oleh wartawan mengenai isu ini tidak bertaraf 'antarabangsa' sebab isu ini pun bukan isu antarabangsa. Wartawan sebenarnya telah diasuh menghidu isu-isu yang bukan saja ada nilai berita malah ada kepentingan kepada rakyat. Mungkin wartawan 'antarabangsa' tidak memikirkan kepentingan rakyat dan isu Perdana V6 Executive tidak ada nilai kepada mereka. Daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Terengganu, belanja servis Perdana V6 dalam jangka masa empat tahun menyamai nilai sebuah Perdana V6 Executive yang baru. Inilah nilai berita sebab pertama kali berlaku seumpama ini. Begitu juga suara sinis yang menganggap belanja RM3.43 juta untuk membeli Mercedes sebagai 'kecil' bagi sebuah negeri. Nilai beritanya ialah Menteri Besar dan anggota Exco pakai Mercedes, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pakai Perdana V6 Executive saja. Cara berfikir wartawan betul dalam konteks nilai berita. Wartawan antara profesion yang unik, kerana itu tidak hairan kalau ada yang tidak begitu faham tentang profesion ini. Ini samalah dengan satu peristiwa yang berlaku di sebuah hospital di Poland selepas Perang Dunia Kedua dulu. Seorang doktor diherdik oleh seorang tentera yang cedera, kemudian dia mengajar doktor itu bagaimana cara-cara untuk merawatnya. Doktor itu tidak marah tetapi sambil tersenyum dia berkata, "Anda seorang yang bertuah kerana lebih pandai daripada saya tanpa pergi ke sekolah perubatan."