25 December 2008

Keluar UMNO masuk PAS

petikan dari Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 24 Dis. - Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS), Kapten (B) Datuk Zahar Hashim, yang digantung daripada jawatan itu kerana mengkritik kepimpinan tertinggi parti hari ini secara rasmi menyertai Pas. Beliau telah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai parti pembangkang itu kepada Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa. Tindakan beliau disertai 28 lagi ketua cawangan UMNO Petaling Jaya Selatan, termasuk 13 ahli jawatankuasa bahagian itu. Menurut Zahar, beliau dan rakan- rakannya memilih Pas kerana menyifatkan parti itu satu-satunya yang menjaga kepentingan kaum Melayu di negara ini, selari dengan ideologi mereka. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis itu di Ampang dekat sini. Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohd. Ali. Sejak awal bulan ini, jawatan Zahar sebagai ketua bahagian digantung kerana mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Menurut Zahar, sumbangan pertamanya kepada Pas ialah untuk berkempen menghadapi Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu Januari depan. ''Selain itu, pejabat UMNO Petaling Jaya Selatan juga akan ditukarkan kepada pejabat Pas dan kesemua pekerja di dalamnya juga telah menyertai Pas,'' tegasnya