12 December 2008

Tercapaikah Wawasan 2020

Wawasan 2020 mungkin tidak tercapai - Dr. M
PUTRAJAYA 11 Dis. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menyuarakan rasa bimbang bahawa Malaysia tidak akan dapat mencapai matlamat Wawasan 2020 sebagai negara maju ekoran krisis kewangan dunia sekarang. Menurut beliau, ketika wawasan itu dilancarkan, negara menikmati pertumbuhan sebanyak 8 peratus setahun tetapi kerajaan tidak menjangka berlakunya krisis mata wang Asia pada 1997 dan perubahan radikal dasar kerajaan selepas kepimpinannya. Beliau menjelaskan lagi, selain itu, masalah ketidakstabilan politik dalam negara juga akan memberikan kesan terhadap hasrat negara ini untuk mencapai sasaran tersebut. "Ada rasa (berfikir) kita tidak akan capai wawasan itu sekarang kerana ketidakstabilan politik dalam negara, ia sesuatu yang cukup asing, setelah 50 tahun sekarang ada sesuatu yang tidak biasa bagi rakyat. "Kalau kita tidak boleh selesaikan masalah itu, kita tidak boleh memberikan fokus kepada pertumbuhan negara, maaf saya katakan kita tidak akan mencapainya (Wawasan 2020)," katanya selepas berucap pada program syarahan Bridges-Dialogues Towards a Culture of Peace di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.