06 December 2008

Takziah




14 banglo tertimbus tanah runtuh di Bukit Antarabangsa
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Dua terbunuh, 15 cedera manakala lapan dikhuatiri terperangkap setelah 14 buah rumah banglo tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa di sini awal pagi ini. Kejadian dipercayai berlaku pukul 4 pagi ketika penghuni sedang tidur apabila lereng bukit kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian runtuh tiba-tiba, mayat dua beranak itu telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 pagi untuk bedah siasat. Setakat ini seramai 93 mangsa telah diselamatkan dan ditempatkan disurau Jalan Bukit Antarabangsa. Operasi yang disertai kira-kira lebih 160 anggota penyelamat masih diteruskan untuk mengeluarkan lapan lagi mangsa yang terperangkap, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai jalan alternatif kerana jalan utama ke kawasan tersebut tidak boleh dilalui.




Ketenangan Bukit Antarabangsa sekali lagi digegar tanah runtuh

KUALA LUMPUR: Ketenangan di Bukit Antarabangsa, kawasan perbandaran berbukit yang mengandungi banglo kelas pertengahan dan mewah, kondominium dan rumah teres, terganggu berikutan kejadian tanah runtuh yang bermula dari Jalan Wangsa Ukay 9, di Taman Wangsa Ukay. Bongkah batu besar dan tanah dengan berat beberapa tan menimbus beberapa buah rumah pada pukul 4 pagi ini, di kawasan kira-kira 1.5 kilometer (km) dari kejadian runtuhan Highlands Tower pada 11 Disember, 1993. Tidak ramai yang tahu mengenai tanah runtuh itu kerana ia berlaku sekelip mata.
Tetapi bagi mereka yang mendapat tahu selepas dihebahkan secara lisan atau mengetahuinya melalui khidmat SMS, radio atau televisyen, mereka mula mengerumuni kawasan itu. Pusat bandar itu, yang mengandungi pasar raya, stesen pam minyak dan dua deretan rumah kedai, menjadi luar biasa sesak dengan pemandu kenderaan yang ingin tahu, ambulans dan kenderaan dari polis dan Jabatan Pertahanan Awam. Apabila menjelang siang, saya menyertai orang ramai yang mengerumuni kawasan sederetan rumah-rumah yang ditinggalkan di Jalan Wangsa 9, melihat kawasan bencana itu.
Mereka mengambil keputusan untuk melepasi pita keselamatan yang diletakkan oleh pegawai keselamatan bagi menghindari orang ramai daripada mendekati kawasan curam. Kumpulan kami berada kira-kira 15 ke 20 meter dari tempat di mana kejadian itu bermula. Tiba-tiba, kami merasai pergerakan tanah dan banyak pokok Semarak yang tumbang menyembah bumi. Melihatkan keadaan itu, mereka yang membawa kamera telefon bimbit, lintang pukang lari menyelamatkan diri.
Jika berfikir mengenainya, kami sebenarnya berada di kedudukan yang berbahaya berdekatan dengan kawasan bencana itu bermula. Kebanyakan mereka yang berada di tempat itu berkata kejadian tanah runtuh itu mungkin disebabkan hujan lebat sejak beberapa hari lalu. Ini baru di Jalan Wangsa Ukay 9, hari ini. Di jalan utama menuju Bukit Antarabangsa, sekumpulan pekerja sedang memasukkan konkrit yang diperkukuhkan ke atas bongkah besar yang kelihatan semakin condong ke arah jalan. Tidak jauh dari situ, air kelihatan menitis dari celah-celah bongkah lain. Minggu lalu, jalan itu ditutup buat sementara selama sehari apabila beberapa bongkah batu jatuh ke atas jalan itu. Kumpulan itu kelihatan mengejar waktu. Jika hujan berterusan, bencana lain mungkin menyusul jika bongkah besar itu menyembah bumi. Ini bermakna jalan utama yang menghubungkan Bukit Antarabangsa ke Lingkaran Jalan Tengah II mungkin terputus lagi, seperti yang berlaku minggu lalu dan beberapa tahun lalu. - Bernama