02 April 2008

tv

Fragmen: Apa sumbangan program realiti TV?
Oleh Zainuri Misfar
zainurimisfar@bharian.com.my
KEMUNCULAN program realiti tv kini sudah menjadi aliran baru. Program realiti ini mula memuncak apabila Astro memperkenalkan Akademi Fantasia (AF) pada tahun 2003. Populariti AF membuatkan stesen TV kita memperkenalkan banyak program realiti, sama ada program yang diimport atau ciptaan sendiri.

Kebanyakan program realiti ini lebih berbentuk hiburan atau mencungkil bakat, khususnya dalam nyanyian. Persoalannya, adakah pelbagai program realiti ini sudah dapat menampung ketandusan bakat baru dalam industri hiburan kita? Daripada pemerhatian kita serta pendapat daripada beberapa karyawan muzik, berasakan kekurangan bakat baru dalam industri ini masih ketara.

Program realiti seperti AF, biarpun setiap musim menampilkan 10 hingga 12 peserta, hanya satu atau dua orang saja yang benar-benar menonjol dalam industri muzik kita. Begitu juga dengan program realiti terbitan stesen televisyen lain seperti Bintang RTM, Mentor, One In A Million, Gangstarz dan Malaysian Idol. Memang ada yang menonjol, tetapi tidak ramai. Itupun menonjol disebabkan peranan media, bukan kerana mereka benar-benar berbakat. Dalam temu bual dengan M Nasir baru-baru ini, menganggap program realiti memang cukup menarik tetapi ia bersifat komersial dan diwujudkan untuk semata-mata mempopularkan stesen TV atau rangkaian TV itu sendiri. Ia bukan satu platform untuk menggilap bakat baru.

Nasir mencabar penyanyi yang lahir dari program realiti ini bersaing bertanding atau menyanyi di peringkat antarabangsa. Tidak dinafikan ada penyanyi atau bakat baru dari program realiti ini memang bagus, tetapi itu disebabkan sokongan media yang memperlihatkan seolah-olah dirinya popular. Program realiti ini membabitkan pilihan orang ramai. Ini memang bagus kerana orang ramai diberi hak untuk memilih, tetapi penilaian orang ramai ini sangat subjektif.

Mereka memilih berdasarkan ‘siapa yang mereka suka’ bukan kerana peserta itu benar-benar berbakat. Tapi kita juga tidak boleh menyalahkan orang ramai. Mereka bukanlah golongan profesional. Siapalah mereka yang berumur antara 11 tahun hingga 15 tahun untuk menentukan seorang peserta dalam program realiti itu sebagai yang terbaik? Pastinya pilihan mereka didorong oleh perasaan ‘aku suka pada dia”, suka sebab peserta itu comel, lawa, lincah dan memenuhi cita rasa tetapi bakat seseorang peserta itu pula tidak pula difikirkan.

Suatu ketika dulu, Bintang RTM dianggap menjadi ‘gedung’ kepada penghasilan penyanyi berbakat besar. Sehingga kini tidak dinafikan produk yang dihasilkan menerusi Bintang RTM mempunyai kualiti dan bertahan dalam tempoh lama. Nama-nama besar dalam dunia muzik ketika ini seperti Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Misha Omar adalah antara barisan bakat baru yang dihasilkan menerusi RTM. Bagaimanapun, Bintang RTM pula terikut-ikut dengan rentak program realiti menyebabkan ia tenggelam timbul. Dalam masa sama, calon peserta dalam Bintang RTM pula tidak dibuat secara pakej, iaitu selain bakat, setiap peserta juga mesti ada gaya, penampilan dan wajah yang agak menarik.

Program Mentor terbitan TV3 juga satu lagi program yang bagus. Ini kerana peserta yang dipanggil sebagai protege mendapat bimbingan atau tunjuk ajar secara langsung daripada mentor mereka iaitu barisan penyanyi yang sudah berpengalaman dalam kerjaya masing-masing. Itu dalam arena muzik. Dalam dunia lakonan pula, kebanyakan penerbit atau pengarah tidak bergantung kepada program realiti untuk mencari bakat baru. Mereka mempunyai banyak ‘sumber’ untuk mendapatkan bakat baru ini. Justeru, kita berasakan bakat baru dalam lakonan lebih ramai berbanding muka baru dalam muzik atau nyanyian.

Begitupun, memang tidak dinafikan mencari bakat baru bukanlah mudah. Cadangan TV3 untuk menerbitkan semula Sinaran Pasport Kegemilangan terpaksa dibatalkan kerana usaha untuk mendapatkan bakat baru tidak mencapai satu standard yang diharapkan. Mungkin jumlah penduduk negara ini yang tidak ramai membuatkan pencarian untuk mencungkil bakat baru dalam seni muzik atau lakonan menjadi terbatas. Bahkan, sejak akhir-akhir ini bakat baru baru dari Sabah dan Sarawak sering menguasai banyak program realiti terbitan stesen TV tempatan. Barangkali, sebelum ini belum ada penerokaan bakat baru di kedua-dua negeri itu. Pada masa sama, anak muda dari Sabah dan Sarawak pula lebih berani untuk mencuba nasib selain sememangnya mereka berbakat dalam bidang yang hendak diceburi tetapi tidak ada peluang untuk diketengahkan.

Beberapa minggu lalu, ketika menyertai lawatan ke Las Vegas dan Los Angeles anjuran TV3, kita berkesempatan melihat beberapa program realiti tv yang juga tidak kurang menariknya. Tidak semua program realiti ini berbentuk hiburan semata-mata. Dan, program realiti ini tidaklah sehebat American Idol. Satu daripada program realiti itu ialah mengenai untuk menguji sejauh mana kita ini menjadi masyarakat penyayang. Dalam program itu, seorang krew berlakon untuk menjadi pengemis atau orang tua yang kurang upaya, yang kemudian berdiri di tepi jalan atau di tempat tertentu.

Selepas itu, orang ramai atau mungkin peserta yang tidak diberitahu apa-apa, akan berjalan melalui mereka yang kurang upaya. Program ini akan memperlihatkan sejauh mana orang ramai bersedia menghulurkan bantuan atau pertolongan kepada mereka yang kurang upaya itu. Di penghujung program ini, peserta tadi akan ditanya mengapa mereka enggan menghulurkan bantuan. Atau kenapa ada peserta yang sanggup bersusah-payah untuk memberikan pertolongan kepada golongan kurang upaya tadi. Kita juga tertarik dengan program realiti yang menonjolkan sejauh mana seorang budak berumur dalam lingkungan 12 tahun hingga 14 tahun boleh berdikari kerana mencari duit poket sendiri. Dengan bimbingan dan pengawasan seorang dewasa, budak-budak ini diuji sejauh mana mereka sanggup bekerja sebagai pelayan restoran, menjadi tukang cuci pinggan, jadi tukang masak dan sebagainya.

Ini bermakna, program realiti tidak sepatutnya hanya untuk hiburan saja. Kita juga memerlukan sebuah program realiti yang berbentuk sosial dan kemasyarakatan atau bersesuaian dengan keadaan semasa. Misalnya, program realiti yang menguji sejauh mana masyarakat peka dengan keadaan persekitaran. Bagaimana ia boleh dilakukan, bergantung kepada kreativiti karyawan di stesen TV atau penggiat industri televisyen tanah.