09 April 2008

undi oh undi

PUTRAJAYA 8 April – Sebanyak 321,885 undi rosak dikesan semasa pengundian Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu. Daripada jumlah itu, Johor mencatat jumlah tertinggi apabila masing-masing 28,709 dan 25,455 undi rosak dicatatkan dalam pengundian 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini menjadikan sejumlah 54,164 undi rosak dicatatkan di negeri tersebut.

Menurut statistik yang dipaparkan pada laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Johor pada masa sama mencatat peratus tertinggi undi rosak peringkat DUN apabila mencatatkan 2.55 peratus. Dari segi peratusan undi rosak untuk pengundian peringkat Parlimen pula, Johor turut mencatatkan jumlah undi rosak tertinggi iaitu sebanyak 2.95 peratus, menjadikan ia negeri tertinggi selepas Sabah. Pada pengundian peringkat Parlimen pilihan raya umum baru-baru ini, Sabah mengatasi negeri lain apabila 3.02 peratus undi yang diterima dari negeri itu digolongkan sebagai rosak.

Sabah merupakan satu-satunya negeri yang mencatatkan peratus undi rosak yang melebihi tiga peratus. Selain Johor, negeri yang mencatatkan bilangan undi rosak yang tinggi ialah Selangor (46,262), Perak (43,057) dan Kedah (30,795). Peratus undi rosak peringkat Parlimen di Selangor ialah 2.08 peratus manakala 1.78 peratus untuk DUN. Perak pula mencatatkan 2.6 peratus undi rosak untuk Parlimen dan 2.34 peratus untuk DUN manakala Kedah, 2.22 peratus untuk Parlimen dan 2.2 peratus untuk DUN. Dalam pada itu, dua Wilayah Persekutuan di Semenanjung iaitu Putrajaya dan Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan peratus undi rosak yang paling rendah iaitu 0.7 peratus dan 0.89. Selain Kuala Lumpur dan Putrajaya, negeri yang mencatatkan undi rosak paling rendah untuk peringkat Parlimen ialah Sarawak (1.22 peratus) diikuti Pulau Pinang (1.4 paratus) dan Terengganu (1.50) Untuk pengundian peringkat DUN pula, dua negeri pantai timur iaitu Terengganu dan Kelantan mencatatkan peratus undi rosak yang paling rendah iaitu masing-masing 1.29 dan 1.41 peratus.