03 April 2008

MU 2 AS Roma 0



Pakatan 2 ‘R’ julang United


ROM – Jaringan dari Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney memberikan kemenangan 2-0 kepada Manchester United yang mengalahkan AS Roma semalam dalam pusingan pertama peringkat suku akhir Piala Liga Juara- juara Eropah.

Ronaldo menanduk cantik hantaran lambung dari Paul Scholes pada minit ke-39 di Stadium Olimpik dan mengatasi jumlah jaringan pemain Barcelona, Lionel Messi dalam kejohanan tersebut dengan jaringan ketujuhnya bagi lapan perlawanan. Dia telah menjaringkan 36 gol dalam semua kejohanan untuk musim ini.

‘‘Jaringan Ronaldo memberikan penguasaan penuh kepada kami, ia memang satu tandukan yang hebat.

‘‘Saya dapat melihat bagaimana Roma mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol pada 15 minit awal separuh masa kedua. Tetapi mereka perlu menerima hakikat ia sering berlaku dalam permainan bola sepak dan kali ini ia memihak kepada kami,’’ kata jurulatih Manchester United, Sir Alex Ferguson.

Jaringan Rooney muncul pada minit ke-66 apabila penjaga gol Romas Alexander Doni tidak dapat menangkap kemas tandukan Park Ji-sung dan bola itu mendarat di atas kaki Rooney untuk melakukan jaringan mudah, ia merupakan jaringan keempatnya dalam kejohanan tersebut.

Dua minit kemudian, Doni dipaksa menepis bola hasil rembatan dari Ronaldo melepasi palang.

‘‘Mereka sangat bertuah memiliki peluang untuk menjaringkan gol. Mereka juga mempunyai ramai pemain yang berkualiti tinggi. Tetapi kami perlu mengimbangi perlawanan ini selepas apa yang berlaku dan cuba untuk mengubah keputusan ini. Kami telah menjaringkan dua gol di tempat lawan pada perlawanan Liga Juara- Juara Eropah sebelum ini,’’ kata jurulatih Roma Luciano Spalletti.

Perlawanan pusingan kedua dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan di Old Trafford, di mana sebelum ini United pernah membelasah Roma 7-1 tahun lepas.

‘‘Kami boleh menerima segala keputusan yang bakal melanda, tetapi yakin dapat melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir,’’ tambah Ferguson.

Bertemu Roma untuk kali kelima sejak dari tahun lepas, United telah menunjukkan permainan yang mantap, menguasai bola di bahagian tengah dan cuba untuk mencari ruang untuk menembusi benteng Roma. Roma cuba untuk mengkucar-kacir pemain United dengan bersandarkan harapan kepada Mirko Vucinic, yang menggantikan ketua pasukan, Francesco Totti yang cedera.

Pengurus United, Alex Ferguson melakukan beberapa keputusan drastik merehatkan ketua pasukan Ryan Giggs yang digantikan dengan Park. Ronaldo diletak bergandingan dengan Rooney di sebelah kiri sementara Park pula di bahagian kanan.