19 April 2008

Tahniah Datuk2


DARI kiri, Datuk Maznah Mazlan - Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Rahim Bakri - Timbalan Menteri Luar dan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin - Timbalan Menteri Pengangkutan

PUTRAJAYA: Ketua Pergerakan Wanita Umno Pahang, Datuk Maznah Mazlan dan dua Ahli Parlimen dari Sabah adalah timbalan menteri baru yang dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi semalam, bagi mengisi tiga kekosongan jawatan itu. Maznah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah yang juga anggota Exco Pahang, dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, menggantikan tempat Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh yang meletak jawatan bulan lalu atas alasan peribadi.

Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar, manakala Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin menduduki jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan. Abdul Rahim dan Lajim masing-masing menggantikan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Datuk Anifah Aman yang menolak pelantikan itu selepas Perdana Menteri mengumumkan barisan Kabinet barunya, bulan lalu.

Maznah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dalam tempoh terdekat. Maznah sebagai Exco serta memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Jawatankuasa Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan dimaklumkan dalam sehari dua lagi.

Beliau yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Kudat berkata, pengalamannya bertugas di kementerian luar termasuk sebagai diplomat selama empat tahun di Taiwan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan tugas baru itu. Sementara itu, Lajim yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort pula menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan sebagai tanggungjawab besar yang perlu dipikulnya untuk kepentingan negara. Katanya, pengalaman sebagai bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri memberi keyakinan kepada beliau untuk menunaikan tanggungjawab itu kepada negara.