31 March 2008

ini memang FITNA

Dunia kutuk Fitna Wilders
Susunan AZMAN ANUAR
PENYOKONG laman web Stopwilders.com mengedar secara percuma baju-T kepada orang ramai dalam kempen membantah anti-Islam dalam filem Fitna. KECAMAN dari dalam dan luar negara terhadap filem anti-Islam hasil garapan anggota Parlimen Belanda, Geert Wilders semakin keras. Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Belanda Jan Peter Balkenende terpaksa muncul dalam siaran televisyen untuk menjelaskan sikap pemerintah negara kecil itu yang menyesal penerbitan filem Fitna.

Balkenende memberi kenyataan kesal setelah filem Fitna yang mana Wilders mengaitkan aksi pengganas dengan anggota pelampau Islam dan ayat-ayat al-Quran disiarkan melalui internet www.liveleak.com pada Khamis lalu. Menjelang penyiaran filem itu pun, Wilders telah melukis kitab suci umat Islam sebagai ‘buku fasis’ yang menghasut orang untuk melakukan kekerasan.

Dalam sidang media, Perdana Menteri Belanda itu menyatakan kerajaan Belanda amat kesal keputusan Wilders mengedarkan filem tersebut, sekalipun kerajaan telah memintanya agar tidak mempertontonkan filem itu kepada umum. Kesatuan Eropah (EU) turut mengutuk filem itu. “Kami meyakini bahawa pelbagai tindakan seperti filem itu, tidak membawa manfaat apa-apa selain hanya membangkitkan kebencian,” satu pernyataan daripada Presiden EU yang kini dipegang oleh Slovenia, Jumaat lalu.

“Kesatuan Eropah dan negara anggota yang menerapkan prinsip kebebasan berpendapat ia merupakan sebahagian daripada nilai-nilai dan tradisi kita. “Namun demikian, kebebasan ini hendaknya dilaksanakan dalam semangat menghormati agama dan kepercayaan pihak lain.” Para menteri luar EU yang mengadakan pertemuan tidak rasmi di Slovenia mengulangi seruan dalam bahasa yang lebih keras terhadap langkah Wilders.

Menteri Luar Britain, David Miliband menyeru masyarakat Eropah supaya menggabungkan komitmen yang kuat terhadap nilai-nilai kebebasan memberi pendapat dan sekali gus menghormati kepelbagaian kaum dan agama. “Kebebasan bukanlah kebebasan sejati jika melukai orang lain. Jadi marilah kita bertindak hati-hati dalam menggunakan kebebasan kita,” kata Menteri Luar Slovenia, Dimitrij Rupel, yang menjadi tuan rumah pertemuan itu.

Filem selama 16 minit tersebut menghubungkan serangan di New York, Madrid dan London dengan ayat-ayat al-Quran dan pernyataan keras para imam. Melecehkan. Filem itu juga memperlihatkan gambar kartun yang memperlecehkan Nabi Muhammad S.A.W. Filem kontroversial yang memperlecehkan agama Islam yang dibuat ahli Parlimen sayap kanan Belanda menimbulkan kecaman luas dari umat Islam di seluruh dunia dan kalangan masyarakat antarabangsa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon, Jumaat lalu mengecam keras filem tersebut. Beliau mengatakan sikap itu tidak boleh dibenarkan kerana akan mengundang tindakan kekerasan. Filem semacam itu, menurut beliau, sama sekali tidak ada manfaatnya untuk mencipta perdamaian dunia. Sebaliknya membuat ketegangan hubungan antara agama.

Kecaman juga datang dari Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Setiausaha Agung OIC, Ekmeladdin Ihsanoglu, mendesak kerajaan Belanda segera menghentikan penayangan filem tersebut. Negara-negara Islam tidak menunggu lama bagi menyampaikan tanggapan keras mereka. Teheran memperingatkan amaran “kemungkinan yang tidak dijangka daripada langkah provokatif seperti itu,” dengan jurucakap Jabatan Luar Negara Iran, Mohammad Ali Hosseini, menganggap video tersebut “menghina dan anti-Islam” serta merupakan simbol daripada sikap antagonisme yang mendalam negara-negara Barat terhadap Islam dan umat Muslim.

Jurucakap Jabatan Luar Indonesia, Kristiarto Legowo, menyatakan kandungan filem itu “menyesatkan dan penuh rasisme” dan menyebut penerbitan Fitna itu sebagai “aksi tidak bertanggungjawab yang dilakukan dengan berselindung di sebalik kebebasan media.” Ketua Dewan Permesyuaratan Rakyat (DPR) Agung Laksono menyatakan pemerintah Indonesia harus mengambil tindakan terhadap filem itu, kerana para pengguna Internet dengan mudah dapat memuat turun (download) dan menyebarkannya, sehingga boleh mencetuskan konflik agama.

Agung berharap pemerintah Belanda dan juga pengeluar filem yang berpotensi menimbulkan konflik antara agama agar menarik pengedaran Fitna. Pelbagai pertubuhan dunia mengecam penyebaran filem itu. Kebanyakan mereka mendakwa Wilders melakukan tindakan perkauman dan fasis sehingga tidak ada jalan lain, kecuali mendakwanya ke Mahkamah Antarabangsa. Ini kerana jika beliau dibawa ke mahkamah di Belanda, ia akan mengundang reaksi berbeza.

Kemelut ini merupakan perlecehan yang luar biasa terhadap umat Islam. Filem Fitna merupakan provokasi anti-Islam melalui media. Jadi umat Islam harus sedar untuk hati-hati memilih media dan harus berani memboikot media yang menyerang Islam. Umat Islam harus menghadapi masalah ini dengan bijak. Oleh itu umat Islam diseru tidak terlibat dengan tindakan kekerasan. Ini kerana, filem semacam itu boleh menjadi sebahagian daripada senario yang ingin memprovokasi umat Islam agar marah dan bertindak emosional.