02 March 2008


One In A Million: Penyanyi remaja Sabah bolot RM1 juta
NORAYU DAMIT.
SHAH ALAM 29 Feb. – Seorang penyanyi remaja dari Sabah, Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit (gambar) malam ini dinobatkan sebagai juara rancangan realiti One In A Million (OIAM) musim kedua, sekali gus merangkul hadiah wang tunai RM1 juta.
Dengan kemenangan itu, Ayu, 19, meranapkan impian pencabar terdekatnya, Shila pada pertandingan akhir OIAM terbitan 8TV yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam di sini.
Kemenangan yang diadili melalui 100 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan talian tetap itu menyaksikan Ayu kukuh di tangga teratas dengan 62 peratus undian sementara Shila memperoleh 38 peratus.
Ketika ditemui sejurus selesai pertandingan itu, Ayu melahirkan perasaan terkejut dan bangga kerana berjaya menjuarai OIAM musim kedua itu.
“Dalam OIAM, pakej sudah jatuh nombor dua manakala bakat diberi perhatian oleh orang ramai. Sekarang Ayu telah buktikan bahawa walaupun tidak ada rupa tetapi Ayu mampu menyanyi dengan baik.
‘‘Dengan adanya kekuatan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat, Ayu berjaya bergelar juara malam ini,” katanya.
Pada pertandingan itu, Ayu berjaya memukau penonton dengan persembahan hebatnya menerusi lagu Samudera, Ceritera Cinta dan sebuah lagu baru ciptaan Aubrey Suwito, Hanya Di Mercu.
Persembahan Shila dengan lagu Contigo En La Distancia, medley Oops I Did It Again dan Stuck serta Memori Tercipta dilihat begitu bertenaga namun dia tidak berjaya menepis populariti Ayu.
Jumlah undian keseluruhan pada pertandingan itu ialah 167,977 undi.
Program OIAM mula diperkenalkan pada tahun lalu dengan Suki muncul sebagai pemenang