09 March 2008

No 2/3

Barisan Nasional hilang majoriti dua per tiga
KUALA LUMPUR 9 Mac – Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk semula kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tetapi gagal mempertahankan majoriti dua per tiga.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman mengumumkan pembentukan kerajaan oleh BN setelah parti itu berjaya memperoleh majoriti mudah.
Sehingga pukul 3 pagi ini, BN mendapat 134 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah BN hilang majoriti dua per tiga pada pilihan raya umum.
Untuk mendapatkan majoriti dua per tiga, parti itu perlu memenangi sekurang-kurangnya 148 daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya umum kali inii.
Namun pakatan pembangkang berjaya memenangi 75 kerusi Parlimen iaitu DAP 26 kerusi, PKR (28) dan Pas (21).
Jumlah 75 kerusi itu cukup untuk menafikan majoriti dua per tiga BN di Dewan Rakyat.
Pada tahun 2004, BN memenangi 199 daripada 219 kerusi yang dipertandingkan iaitu kejayaan paling besar pernah dicatatkan oleh parti itu.
Untuk pilihan raya kali ini, jumlah kerusi Parlimen bertambah tiga kerusi ekoran persempadanan semula kawasan di Sarawak.
Parti-parti yang bertanding perlu memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi bagi mendapatkan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan dan sekurang-kurangnya 148 kerusi untuk majoriti dua per tiga.