18 September 2008

Media

Seragamkan doktrin televisyen nasional
RANCANGAN televisyen seperti drama bersiri, bual bicara, pertandingan nyanyian, berita, telemovie, dokumentari, kartun dan iklan menyebarkan pengaruh yang bukan sedikit di kalangan masyarakat. Sama ada membawa pengaruh positif atau negatif, televisyen adalah medium mampu milik dan menjadi kemestian di setiap rumah. Menyedari pentingnya peranan televisyen, pelbagai garis panduan telah disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya program yang disiarkan bersesuaian serta tidak melanggar tatasusila masyarakat berbilang bangsa dan agama. Bagaimanapun, garis panduan itu dilihat belum memadai dalam usaha kita untuk memperkasakan lagi rancangan-rancangan televisyen. Lantas tercetuslah Doktrin Televisyen Nasional yang diusulkan oleh Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) untuk stesen-stesen tempatan, baru-baru ini. Doktrin yang menurut Kamus Dewan Edisi ke-3 bermaksud 'prinsip atau kepercayaan yang dianggap benar dan satu-satunya dapat diterima' hasil cadangan PTVM itu antara lain bertujuan memperkasa serta menambah baik mutu rancangan-rancangan tempatan.
Difahamkan Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli akan menyerahkan doktrin yang memberi penekanan kepada pembentukan jati diri, kekuatan moral dan rohani masyarakat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak lama lagi. Doktrin PTVM yang disokong oleh 56 ahlinya itu diharap bukan setakat diberi perhatian oleh stesen-stesen televisyen sebelum mereka membeli rancangan-rancangan yang sesuai. Sebaliknya, doktrin hasil ilham PTVM yang ditubuhkan pada 14 Februari lalu itu, mesti dipatuhi oleh ahli-ahli persatuan tersebut yang merupakan pembekal rancangan-rancangan televisyen paling aktif di negara ini. Ini kerana, daripada kira-kira 400 syarikat pembekal rancangan televisyen yang ada di negara ini, 56 ahli PTVM itu adalah antara pembekal rancangan yang paling banyak menjual produk mereka termasuklah kepada Radio Televisyen Malaysia. Ahli PTVM misalnya, haruslah terlebih dahulu memastikan rancangan-rancangan yang mereka terbitkan untuk dijual kepada stesen-stesen televisyen bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga mematuhi doktrin yang telah mereka cipta itu. Doktrin Televisyen Nasional itu seharusnya juga bukan setakat untuk ditujukan kepada RTM semata-mata, tetapi ia juga patut dikemukakan kepada stesen-stesen televisyen swasta yang semakin banyak ditubuhkan sejak 10 tahun kebelakangan ini. Oleh itu apa juga doktrin atau garis panduan yang telah dikeluarkan, biarlah ia seragam dan menyeluruh demi manfaat masyarakat yang menjadikan televisyen bukan sekadar bahan hiburan.