04 October 2007

Rasa Sayang Lagu Melayu Nusantara

The Jakarta Post melaporkan mengenai gesaan seorang Ahli Parlimen Indonesia yang mahu kerajaan negaranya menyaman Malaysia kerana menggunakan lagu tradisional Rasa Sayang untuk kempen 'Truly Asia' sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM07). Lagu Rasa Sayang adalah lagu tradisi Melayu Nusantara dan sebagai negara serumpun yang memiliki banyak ciri persamaan, dakwaan itu tidak sepatutnya timbul. Dakwaan itu mungkin diutarakan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan pelbagai perkara yang berlaku terhadap rakyat Indonesia di negara ini dengan mencari isu yang boleh mencetus konflik antara kedua-dua negara. Jika mereka mahu saman, kita tunggu dan lihat... tapi mengapa mereka nak ambil tindakan undang-undang sedangkan kita negara serumpun yang sangat rapat dan banyak berkongsi persamaan, termasuk lagu Rasa Sayang. Laporan kelmarin memetik Ahli Parlimen dari Parti Amanah Nasional, Hakam Naja yang mahu kerajaan Indonesia menyelidiki asal usul lagu Rasa Sayang dipercayai berasal dari Maluku, Indonesia sebelum menyaman Malaysia kerana menggunakan lagu itu untuk tujuan komersial. Hakam juga menuduh Malaysia mengakui dan menjadikan kraf tangan tradisional Indonesia seperti batik dan wayang kulit sebagai miliknya. Indonesia tiada hak mendakwa lagu Rasa Sayang sebagai milik mereka kerana lagu itu adalah milik Nusantara. Lagu Rasa Sayang dan lagu seperti Jauh Di Mata, Burung Pungguk dan Terang Bulan adalah lagu Nusantara dan tiada pihak yang boleh mendakwa ia milik mereka. Siapa penciptanya dan sila tunjuk bukti.