01 October 2007

Wanita dan Piala

Jerman 2-Brazil 0
SHANGHAI, China - Jerman muncul pasukan wanita pertama mempertahankan kejuaraan bola sepak Piala Dunia selepas menundukkan Brazil 2-0 pada perlawanan akhir, semalam. Kedua-dua jaringan mereka disumbangkan oleh Birgit Prinz pada minit ke-52 dan Simone Laudher, pada minit ke-86, sekaligus membantu pasukan itu mengekalkan rekod tanpa kalah. Malah, Jerman turut melakar rekod dengan menjadi satu-satunya pasukan yang tidak pernah dibolosi sepanjang kejohanan. Bintang penyerang Brazil, Marta yang telah meledakkan tujuh gol sepanjang kejohanan ini melepaskan peluang terbaik merapatkan kedudukan pada babak kedua selepas sepakan penaltinya diselamatkan oleh penjaga gol Jerman, Nadine Angerer. ‘‘Sebaik saja kami berjaya menyelamatkan sepakan penalti, saya sudah dapat rasakan bahawa kejuaraan akan menjadi milik kami. ‘‘Kami bekerja keras dan mempamer aksi berpasukan yang hebat. Strategi kami adalah menyekat pergerakan Marta dan ia dilakukan dengan baik hari ini,’’ kata jurulatih Jerman, Silvia Neid. Jerman mengharungi enam perlawanannya di Shanghai dengan memahat rekod Piala Dunia menjaringkan 21 gol tanpa berjaya dibolosi. Biar pun Brazil berjaya mendominasi bahagian tengah, namun benteng pertahanan Jerman yang mantap diketuai oleh Angerer, Ariane Hingst dan Annike Krahn menggagalkan usaha lawan untuk mencari gol. Sementara itu, juara dua kali, Amerika Syarikat menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menumpaskan juara 1995 Norway 4-1 dalam penentuan pingat gangsa.