15 February 2009

Beckham Kekal

CARSON, California - Bintang tengah England, David Beckham akan kembali ke Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat sebaik tempoh pinjamannya ke AC Milan berakhir Mac ini. Pengurus LA Galaxy, Tim Leiweke berkata, kegagalan Milan membuat tawaran kedua bagi mengekalkan Beckham di kelab itu memaksa pihaknya berpegang kepada tarikh akhir yang diberikan Pesuruhjaya MLS, Don Garber agar perpindahan itu diselesaikan sebelum Jumaat lepas. Galaxy sebelum ini telah menolak tawaran awal Milan untuk mendapatkan Beckham. MLS memiliki kontrak selama lima tahun bernilai AS$32.5 juta (RM117 juta) ke atas Beckham sementara tempoh pinjamannya di Milan akan berakhir 8 Mac ini. Leiweke menambah, dia memahami kekecewaan Beckham terhadap keputusan yang dibuat tetapi percaya bekas bintang tengah Manchester United dan Real Madrid itu akan bersikap profesional. "Beckham seorang yang profesional. Dia pasti akan menyelesaikan segala masalah dengan baik dan kembali ke sini," katanya. Beckham sebelum ini menyatakan keinginannya mahu kekal bersama Milan bagi membida tempat untuk beraksi bersama skuad kebangsaan England pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.