03 August 2007

Jambatan runtuh di Minneapolis




MINNEAPOLIS: Sekurang-kurangnya sembilan maut, 60 cedera, manakala 20 lagi hilang apabila jambatan utama merentasi Sungai Mississippi di Minnesota, Amerika Syarikat, roboh ketika ia sesak dengan kenderaan pada waktu puncak, petang kelmarin.Jambatan roboh itu membawa bersama berpuluh-puluh kereta ke dalam sungai dengan beberapa mangsa berenang bagi menyelamatkan diri. Antara 50 hingga 60 kenderaan berada di jambatan besar itu ketika kejadian jam 6.05 petang waktu tempatan (jam 7.05 pagi waktu Malaysia). Punca kejadian belum diketahui dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat di Washington menolak kaitan perbuatan keganasan.Ketua Bomba Minneapolis, Jim Clack, berkata 60 mangsa yang cedera dirawat di hospital dan angka kematian dijangka terus meningkat. “Kami yakin ada beberapa lagi kenderaan yang jatuh ke dalam sungai dan belum ditemui,” kata Clack sambil menegaskan peluang menemui mangsa yang hilang, amat tipis.Sekurang-kurangnya 20 keluarga bersesak di pusat penerangan bagi mendapatkan maklumat mengenai kehilangan keluarga.Jambatan Interstate 35W yang mempunyai lapan laluan dan menjadi nadi Minneapolis, dalam proses pembaikan dan dua laluan di kedua-dua halanya ditutup ketika kejadian. Kenderaan remuk, timbunan konkrit besar dan besi bengkok bertaburan di tempat kejadian.“Ini satu bencana menimpa struktur yang bersejarah,” kata Gabenor Minnesota, Tim Pawlenty.Saksi berkata, rekahan besar terbentuk pada jambatan itu, yang disusuli bunyi dentuman kuat sebelum jambatan berukuran 160 meter lebar itu roboh. “Saya bernasib baik kerana terselamat,” kata Marcelo Cruz, berulang kali. Cruz terpaksa memandu vannya ke arah pembahagi jalan bagi mengelak kenderaannya meluncur ke hujung jambatan yang berada pada ketinggian 20 meter di atas Sungai Mississippi. – Reuters