16 May 2008

Mengurus Hati

KONSEP pengurusan hati adalah satu wahana untuk meningkatkan budaya kerja dan rangka pengendalian diri daripada godaan perbuatan tidak bermoral seperti rasuah dan nepotisme. Tidak dinafikan bahawa setiap pergerakan insan serta penampilannya merupakan refleksi daripada hatinya sendiri. Hati yang menunjukkan watak dan siapa diri kita sebenarnya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Di dalam tubuh itu ada mudghah, seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh tubuh dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh itu. Ketahuilah mudghah itu adalah qalb (hati). Kalau hatinya sihat, secara automatik fikiran, bicaranya dan segala tindakannya juga sihat. Namun kalau badan sahaja sihat, tetapi hati tidak sihat, maka kesihatan badannya akan membawa masalah." Hati yang bersih menjadikan ucapan seseorang pemimpin itu atau siapa sahaja akan meyakinkan dan menyejukkan hati lawan bicaranya. Sikapnya akan menunjukkan bahawa ia sentiasa sedang diawasi oleh Allah SWT.

Demikianlah dengan bangsa Melayu yang dikatakan lemah harus bangkit dan perlu diorientasi melalui konsep pengurusan qalbu (hati). Inti konsep pengurusan qalbu adalah memahami diri dan kemudian mampu mengendalikan diri setelah memahami siapa diri kita sebenarnya. Tempat untuk memahami dan mengendalikan diri kita itu ada di hati. Bila hati kita bersih, bening dan jernih, insya-Allah, keseluruhan diri kita juga akan menampakkan kebersihan, kebeningan, dan kejernihan.

Bagaimana memahami aspek praktik daripada semua ini? Pertama, manusia itu memiliki potensi. Potensi itu berupa saranan yang ada di dalam diri seseorang yang berfungsi untuk mengembang dan memperbaiki diri. Hanya dengan memiliki niat untuk terus memperbaiki diri, maka potensi yang merupakan anugerah Allah itu akan menuju kepada jalan kebaikan.

Kedua, potensi kita yang terus diarahkan kepada kebaikan akan menjadi sangat efektif daya gunanya bila dimulai atau berpangkal daripada diri sendiri. Ertinya, urus diri sendiri dahulu sebelum mengurus orang lain. Perbaiki diri sendiri dulu sebelum memperbaiki diri orang lain. Bersihkan diri lebih dahulu sebelum membersihkan orang lain. Seseorang yang menggunakan potensinya dengan prinsip untuk memperbaiki kemampuan dirinya, akhirnya bermanfaat bagi masyarakat sekitarnya. Gerak hidupnya sentiasa menguntungkan orang lain lantaran daripada dirinya terpancar kebaikan, seperti membawa keamanan dan kebahagiaan.

Ketiga, keadaan-keadaan untuk memperbaiki diri sendiri perlu dibiasakan secara berterusan dan konsisten (istiqamah). Manusia itu pelupa. Manusia lebih suka memilih sesuatu yang menyenangkan dirinya. Kebiasaan baik menuntut perjuangan besar pada awalnya. Seorang manusia yang mampu memahami dan kemudian mengembangkan dirinya melalui hati yang bersih, akan sentiasa menunjukkan seluruh gerakannya untuk mendapatkan reda Allah.
Sumber Berita Harian.