29 October 2009

Tak Masuk Akal langsung

Seminggu yang lalu, Ketua Audit Negara telah membentangkan laporan Audit Negara bagi tahun 2008 seperti tahun-tahun yang sebelumnya. Pembentangan tersebut masih lagi mengesan kes-kes pembelian atau pembekalan barangan dan alatan kepada agensi-agensi tertentu pada harga yang tidak munasabah. Umum mengetahui harga minyak petrol pada kadar RM1.80 seliter di mana-mana jua tempat di negara ini. Namun, Jabatan Audit Negara telah menemui bukti pembelian minyak petrol sehingga RM300 seliter oleh pihak tertentu di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pulau Pinang. Selain itu, kes komputer riba yang dibeli pada harga RM84,640 seunit berbanding harga pasaran terbuka (bagi jenis dan model yang sama) iaitu RM9,000; serta peralatan makmal telekomunikasi yang dibeli pada harga berbeza antara RM1,240 dan RM30,510 seunit (sedangkan harga di pasaran hanya RM900 seunit). Walaupunpun kes-kes luar biasa itu hanyalah dari segi peratusannya adalah rendah berbanding dengan kos pembekalan peralatan kepada jabatan atau agensi kerajaan, tetapi ia tetap tidak boleh dipandang ringan. Ini menggambarkan bahawa wujud kelemahan yang memberi kesan kepada perbelanjaan wang kerajaan dan masalah ini perlu diambil tindakan segera. Kes ini jika dibiarkan tanpa tindakan ini akan mengundang budaya yang lebih condong kepada amalan yang boleh merosakkan tamadun.