11 September 2007

Penutupan Bulan Kemerdekaan ke-50


Detik pembentukan Malaysia meriahkan 50 tahun kemerdekaan
KUCHING: Sambutan kemerdekaan negara ke-50 dimeriahkan lagi dengan perayaan Malaysia Merdeka 2007 malam tadi, dengan mengimbau kembali peristiwa 16 September 1963, iaitu detik pembentukan Malaysia.Pada tarikh itu, gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura membentuk Malaysia, bagaimanapun dua tahun kemudian Singapura menarik diri daripada gagasan berkenaan.
Hujan lebat pada sebelah petang tidak menghalang lebih 35,000 warga Kuching memenuhi Stadium Negeri Petra Jaya, untuk menyaksikan persembahan warna-warni dan penuh nostalgia bermula daripada peranan Suruhanjaya Cobbold dan perisytiharan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tiba di sini pada sebelah pagi bagi merasmikan perayaan Malaysia Merdeka.