11 September 2007

Punca Sakit kelamin

Seks luar nikah punca sakit kelamin
PAKAR Perbidanan dan Sakit Puan, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj menegaskan cara terbaik mengelakkan pelbagai risiko penyakit kelamin terutama HIV/Aids ialah dengan menghindarkan diri daripada melakukan seks sebelum berkahwin. Walaupun ada pelbagai kaedah mencegah daripada hamil luar nikah dan dijangkiti penyakit kelamin, kaedah ini masih belum mampu 100 peratus melindungi daripada risiko berkenaan. Justeru, remaja perlu diberikan pengetahuan mengenai risiko ini yang tidak pernah diberitahu oleh mana-mana sumber sebelum ini. “Pengetahuan membolehkan remaja mengambil keputusan betul sama ada untuk terbabit dengan seks atau sebaliknya. Sayangnya, hari ini remaja memperoleh maklumat daripada sumber terpesong seperti filem pornografi. “Bagaimanapun, maklumat ini tidak memberitahu dengan tepat mengenai risiko yang dihadapi jika melakukan seks tanpa nikah. Ramai remaja terkejut dan menangis apabila mendapati mereka hamil kerana belum bersedia bertanggungjawab sebagai ibu bapa,” katanya.Beliau berkata, mereka yang hamil di bawah usia 16 tahun ke bawah berisiko mengalami kematian ketika melahirkan. Kehamilan yang tidak dikehendaki meninggalkan kesan secara psikologi dan sosial seperti kurang peluang untuk melanjutkan pelajaran atau mendapat pekerjaan yang baik. Ramai remaja memilih melakukan pengguguran haram yang bukan saja tidak selamat malah mengancam nyawa.“Pengguguran diharamkan di Malaysia dan dikira sebagai jenayah. Namun wajarkah remaja hanya takutkan undang-undang semata-mata? Undang-undang bukan penentu sikap, tetapi yang penting perlu menggunakan akal dalam bertindak. Budak lelaki jangan ingat selepas menghamilkan teman wanita, boleh minta mereka ‘cuci’ kandungan begitu saja. Ia bukan satu proses biasa, tetapi proses yang menyakitkan. “Selain risiko hamil, remaja juga berisiko tinggi menghadapi pelbagai penyakit jangkitan kelamin. Dianggarkan 63 peratus penghidap penyakit jangkitan kelamin berusia kurang 25 tahun, manakala 80 peratus tidak mengalami sebarang gejala menyebabkan penyakit ini lambat dikenal pasti,” katanya.Statistik Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah menunjukkan daripada 100 remaja yang ditempatkan di pusat berkenaan, hampir 61 peratus terbabit dengan aktiviti seks luar nikah akibat diperkosa, keterlanjuran dan luar kawalan. Akibatnya seramai 60 bayi dilahirkan penghuni pusat berkenaan. Ini menunjukkan betapa pentingnya memberikan kesedaran kepada remaja mengenai kesan hubungan seks luar nikah. Meminjam kata-kata Dr Harlina, menjadi remaja hari ini cukup mencabar. Lautan yang mereka hadapi ibarat tsunami dan jika tidak dibekalkan dengan peralatan canggih, tentu saja mereka mudah hanyut dilambung ombak ganas. Justeru, hanya pengetahuan dapat menyelamatkan mereka.
FAKTAGejala Seksual Remaja di Malaysia
Berzina - seawal usia sembilan hingga 10 tahun
Kehamilan Luar Nikah
Rogol - 63 peratus mangsa dan 9.4 peratus pemangsa adalah remaja
Pelacuran - Sebahagian besar berusia 15 hingga 17 tahun. Kira-kira 13.1 peratus daripada 60 pekerja seks remaja berusia 12 hingga 14 tahun.