20 June 2008

SAPP SAPP SUI

KOTA KINABALU: Majlis Tertinggi SAPP yang mengadakan mesyuarat tergempar, hari ini menggariskan lapan 'perisytiharan penduduk Sabah' bagi membawa perubahan dalam negara ke arah mewujudkan satu kerajaan beramanah dan satu masyarakat yang adil, harmoni dan progresif. Lapan perisytiharan itu ialah :
* Kerajaan berasaskan kepada tadbir urus yang baik, masyarakat madani dan politik bukan perkauman.
* Sabah harus mempunyai autonomi politik, yang kerajaannya dibentuk dan diuruskan oleh penduduk Sabah.
* Sabah dan negeri lain yang mengeluarkan minyak berhak mendapat 20 peratus royalti petroleum.
* Wilayah Persekutuan Labuan dikembalikan kepada Sabah dan diuruskan sebagai satu wilayah khas.
* Undang-undang pusat yang tidak adil kepada Sabah, dan jabatan persekutuan yang tidak membawa manfaat kepada negeri itu, dikaji semula.
* Sabah diberikan penyertaan adil dan saksama dalam pentadbiran persekutuan, perkhidmatan awam dan sektor swasta, dan jabatan persekutuan di Sabah, sebolehnya diketuai rakyat tempatan.
* Kerajaan pusat dan kerajaan negeri menyediakan sumber, kesungguhan dan kepimpinan dalam menyelesaikan masalah kehadiran pendatang tanpa izin dengan cara yang tegas tetapi berperikemanusiaan, dengan tumpuan kepada konsep serantau dan perkongsian bijak.
* Kerajaan pusat dan kerajaan negeri bekerjasama membetulkan ketidakseimbangan dalam struktur ekonomi dan sosial melibatkan Sabah dan negeri lain.