16 January 2009

KT SIAPA PUNYA

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu sampai ke kemuncak esok apabila 8,229 pengundi termasuk 1,302 pengundi pos akan menentukan siapakah yang akan dipilih sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang baru. Tiga calon yang bertanding bagi merebut kerusi tersebut ialah Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas, Mohd.Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu. Dalam pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lalu(PR KE-12), Allahyarham Razali yang bertanding mewakili BN menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi. Selain Wakaf Mempelam, kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai tiga lagi DUN iaitu Ladang dan Batu Buruk yang juga dikuasai oleh Pas dan Bandar yang diwakili oleh BN. Sejak 1982, BN menguasai kerusi Parlimen itu sehingga tahun 1999 sebelum ia ditawan oleh Pas, bagaimanapun BN merampas kembali kerusi berkenaan pada pilihan raya umum 2004 melalui Allahyarham Razali. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menyediakan 143 saluran di 36 pusat mengundi. SPR menjangkakan Parlimen Kuala Terengganu akan terus mencatatkan jumlah keluar mengundi yang tinggi seperti mana pilihan raya umum lalu yang menyaksikan 82.45 peratus atau 66,231 daripada 80,325 pengundi berbuat demikian.