25 January 2009

Obama dan Cadillac One

Perbelanjaan majlis angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru, Barack Obama menelan kos sekitar RM150 juta, jelas membuktikan negara itu cukup menitik-beratkan aspek keselamatan pemimpin nombor satunya. Ia sejajar dengan bukti-bukti sejarah pembunuhan beberapa pemimpin kulit hitam AS sebelum ini.
Dalam semangat untuk turut meraikan pelantikan Presiden Obama yang diharapkan dapat mengubah dunia terutama negara-negara di Asia Barat agar lebih aman dan makmur, ruangan Enjin minggu ini memilih kereta berperisai Presiden Obama, Cadillac One buatan General Motors/Cadillac yang menjadi kenderaan beroda empat rasmi bagi membawa Presiden AS ke-44 itu ke serata pelosok AS.
Dianggarkan berharga RM1.6 juta atau bersamaan 14 buah kereta Proton Perdana 2 liter atau kira-kira 10 buah kereta jenis Toyota Camry 2.4 yang sedang digunakan oleh exco-exco kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat. Cadillac One yang sepanjang 5.49 meter dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan cukup tinggi bagi menghalang sebarang kecelakaan terhadap penumpangnya terutama Presiden Obama yang sentiasa dibayangi serangan oleh pihak tertentu.
Badan Cadillac One setinggi 1.78 meter itu diperbuat daripada keluli, aluminium, titanium dan seramik iaitu bahan yang sama untuk membuat jet 757. ia cukup utuh untuk melindungi Presiden Obama daripada letupan bom di bawah kereta manakala bahagian rodanya pula ditunjangi rim yang mampu menyokong pergerakan walaupun keempat-empat tayar meletup.
Semua cermin dan tingkap Cadillac One sudah semestinya kalis peluru, api dan bom. Ia direka khas untuk memuatkan butang keselamatan bagi membolehkan Presiden AS memaklumkan jika mengesyaki sebarang keadaan luar biasa sama ada di bahagian dalaman kenderaan atau persekitaran luaran. pintu kenderaan ini adalah setebal 20 sentimeter bagi membolehkan ia menahan apa jua peluru atau roket menembusinya.
Cadillac One yang boleh memecut selaju 0 hingga 100 kilometer sejam dalam masa 15 saat pula boleh memuatkan tujuh penumpang dengan empat penumpang di bahagian belakang ia dibekalkan dengan botol berisi darah Presiden Obama yang sengaja disimpan untuk menghadapi kemungkinan pemindahan darah kecemasan ketika dalam perjalanan.
Semasa berada dalam Cadillac One, Obama boleh menggunakan komputer riba dan beberapa peralatan telekomunikasi canggih yang menghubungkan beliau dengan dunia luar tanpa sebarang batasan termasuk telefon satelit yang menghubungkannya secara terus dengan Naib Presiden AS dan Pentagon manakala but belakang kereta itu dilengkapi dengan tabung oksigen dan sistem pemadam kebakaran.
Dikendalikan
Dari aspek pemandunya pula, Cadillac One akan dikendalikan oleh sepasukan pemandu profesional yang dilatih oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk menghadapi sebarang keadaan termasuk serangan mengejut dan bencana alam. dengan bantuan papan pemuka yang dilengkapi Sistem Kedudukan Global (GPS) dan kelengkapan komunikasi tanpa had, Ia akan memastikan perjalanan yang dirancang berlangsung secara lancar dan selamat.
Pada masa yang sama, Cadillac One akan diiringi oleh lebih 15 anggota polis peronda dan trafik AS yang bersiap sedia untuk mengorbankan nyawa dan berdepan risiko kemalangan demi mempertahankan nyawa Presiden Obama.
Dengan semua ciri-ciri keselamatan yang melengkapi Cadillac One, secara logiknya, adalah mustahil untuk Presiden Obama mendapat sebarang kecelakaan walaupun seguris calar di tangannya ketika berada dalam kereta itu namun hakikatnya, ajal dan maut di tangan Allah dan nasib Presiden Obama belum cukup baik walaupun sentiasa duduk dalam Cadillac One sepanjang masa.
Selain Obama, antara presiden AS terdahulu yang menggunakan Cadillac One ialah George W. Bush dan Ronald Reagan. Cadillac sebenarnya diasaskan oleh Henry Ford adalah jenama kenderaan mewah dan dipasarkan di lebih 50 negara antaranya AS, Kanada dan Mexico.