26 April 2007

Keunikan Istiadat Pertabalan Agong Ke-13


ADA beberapa sebab mengapa seluruh lapisan rakyat jelata di negara ini terpanggil menjadi teruja untuk mengikuti upacara istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara pada hari ini. Pertamanya, ia berlangsung lima tahun sekali.

Maknanya jika, terlepas peluang kali ini, kita perlu menunggu lima tahun akan datang untuk menyaksikan upacara yang sama. Walaupun standard urusan adalah sama pada setiap lima tahun, dikatakan ada beberapa keistimewaan baru ‘disuntik’ pada kali ini. Keduanya, upacara hari ini merupakan lambang keagungan institusi beraja di negara ini. Keunikannya pula ia dipenuhi dengan ‘warna-warna’ adat istiadat Melayu penuh gilang-gemilang. Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, inilah adat istiadat yang terus dipelihara. Sebab-sebab lain barangkali, dalam sejarah pertabalan Yang di-Pertuan Agong, ini merupakan pasangan diraja paling muda ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong. Itu adalah sebab ‘teruja’ yang disebutkan oleh kalangan rakyat-rakyat biasa. Di kalangan pihak keselamatan pula, sebab yang mungkin menyebabkan upacara kali ini sebagai sesuatu yang penting ialah kerana Yang di-Pertuan Agong ke-13 ini mempunyai anak-anak kecil. ‘‘Kalau Yang di-Pertuan Agong sebelum- sebelum ini, anak-anak telah dewasa, tetapi tidak kali ini. Jadi keselamatan mesti ditumpukan lebih pada anak-anak Seri Paduka yang masih kecil,’’ kata sumber keselamatan itu yang ditemui semasa majlis upacara raptai istiadat pertabalan kelmarin. Dalam pada itu, istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ini sudah pasti penuh dengan protokol dan etika yang perlu dipatuhi. Bekas ketua protokol yang berkhidmat di bawah dua Yang di-Pertuan Agong, Allahyarham Datuk Abdullah Ali dalam bukunya Protokol Malaysia & Bentuk-Bentuk Panggilan Yang Tepat menulis bahawa istiadat pertabalan ialah satu upacara yang mengesahkan Yang di-Pertuan Agong itu sebagai ketua negara. ‘‘Dan sebagai ketua negara, setiap tindakan kerajaan itu datangnya daripada autoriti Yang di-Pertuan Agong, walaupun Seri Paduka selalunya bertindak atas nasihat Parlimen dan Kabinet. ‘‘Pelantikan Perdana Menteri terletak atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Seri Paduka berhak menolak untuk membubarkan Parlimen walaupun telah dinasihatkan Perdana Menteri,’’ tulis Allahyarham pada halaman 33 buku tersebut. Anak perempuannya, Datuk Paduka Noor Aini Abdullah pula berkata, sebagai sumber keadilan, Seri Paduka melantik hakim Mahkamah Persekutuan dan Tinggi atas nasihat Perdana Menteri, bersesuaian dengan tatacara diterangkan dalam Perlembagaan. Sebagai sumber penghormatan pula Yang di-Pertuan Agong boleh mengurniakan Darjah Kesatria atau memberi penghormatan serta pengiktirafan lain. ‘‘Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Pertahanan, Seri Paduka melaksanakan prerogatif pengampunan berkaitan kesalahan di mahkamah tentera. Seri Paduka juga melaksanakan prerogatif sama di Pulau Pinang dan Melaka sebagai ketua agama. ‘‘Apabila telah ditabal sebagai Yang di- Pertuan Agong, Seri Paduka ada kuasa- kuasa itu semua. Yang di-Pertuan Agong bukan lagi wakil mana-mana negeri sebaliknya sebuah negara. Seperti Yang di-Pertuan Agong ke-13 ini, Seri Paduka bukan lagi Sultan Terengganu tetapi ketua kepada semua sultan-sultan yang ada di negeri di Malaysia,’’ kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. Beliau yang juga pakar perunding protokol menjelaskan, apa yang penting dari segi protokol ialah upacara istiadat di Balairung Seri itu. Penulis buku Malaysian Custom And Etiquette – A Practical Handbook atau edisi bahasa Melayu berjudul Buku Adat Resam dan Etika Masyarakat Melayu – Buku Panduan Praktikal itu menambah, pertabalan Yang di-Pertuan Agong, ini kerana upacara pertabalan itu disempurnakan di Balairung Seri Istana Negara. Sementara itu dalam laman web malaysianmonarchy.org.my/portal pula menyebut, Balairung Seri Istana Negara mula digunakan untuk pertabalan Yang di-Pertuan Agong sejak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-7. Sebelum itu, istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong disempurnakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Menurut Noor Aini, hari istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ialah salah satu daripada hari yang ditetapkan sebagai ‘Hari Kalong’. Justeru katanya, semua penyandang darjah kebesaran yang mempunyai kalong, etikanya memakai kalong. Apabila memakai kalong bagi sesuatu darjah kebesaran, selempang (sash) darjah kebesaran yang sama tidak boleh dipakai. ‘‘Akan tetapi selempang bagi darjah kebesaran yang lain, sekiranya ada, bolehlah dipakai bersama-sama,’’ ujar beliau yang banyak dirujuk berhubung soal-soal etika dan protokol rasmi dan di istana. Amat penting katanya, semasa menghadiri upacara tersebut, tetamu-tetamu memakai pakaian bersesuaian atau yang mematuhi protokol ditetapkan. Dalam pada itu, senaskhah panduan atur cara istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang diperoleh pihak media memperincikan atur cara pada hari ini. Protokolnya terdiri daripada persiapan, keberangkatan tuanku dan permaisuri, memulakan istiadat pertabalan, kemasukan alat-alat kebesaran sehingga upacara selesai. Laman web malaysianmonarchy.org.my/ portal ada menyebut atur cara istiadat dimulakan dengan persiapan iaitu dengan pasukan kawalan tombak keluar mengambil tempat di ruangan masuk Balairung Seri. Ini diikuti Datuk Paduka Maharajalela dan panglima-panglima membawa Cogan Alam dan Cogan Agama, juruiring-juruiring Seri Paduka serta Panglima-panglima yang membawa alat-alat kebesaran diraja seperti pedang, keris, cokmar, sundang dan tombak berambu bersiap sedia. Selepas itu, Seri Paduka dan Raja Permaisuri berangkat masuk ke Balairong Seri dengan diumumkan oleh juruacara. Keberangkatan Tuanku berdua ke Balairong Seri didahului oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dan Panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama dan diiringi oleh Juruiring-juruiring Seri Paduka Baginda dan Dang Perwara serta Panglima-panglima yang membawa Alat- alat Kebesaran Diraja iaitu Pedang, Keris, Cokmar, Sundang dan Tombak Berambu. Sebaik sahaja Tuanku berdua masuk ke Pintu Besar Balairong Seri, nobat dipalu dengan lagu Raja Berangkat. Ia disusuli dengan Datuk Paduka Maharaja Lela menghadap dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda untuk memulakan istiadat pertabalan. Datuk Paduka Maharajalela juga memohon perkenan Seri Paduka untuk membawa masuk alat-alat kebesaran istiadat pertabalan ke Balairung Seri. Di peringkat ini, nobat dipalu dengan memainkan lagu Menjunjung Duli. Datuk Paduka Maharajalela masuk ke Balairung Seri bersama-sama Datuk Penghulu Istiadat dan Pegawai Agama Istana Negara serta panglima-panglima yang membawa:
1) Al-Quran
2) Keris kerajaan
3) Surat pengisytiharan
4) Warkah ikrar
Apabila sampai di hadapan singgahsana Datuk Paduka Maharajalela menyambut al-Quran dan panglima yang membawa al-Quran serta membawanya naik ke atas singgahsana sebelum memohon perkenan untuk menyerahkannya kepada Yang di- Pertuan Agong.
Seri Paduka mencium al-Quran dan meletakkannya di atas meja iring antara Seri Paduka dan Seri Paduka Raja Permaisuri. Selepas itu sekali lagi Datuk Paduka Maharajalela menghadap dan memohon perkenan Seri Paduka untuk membawa menghadap Perdana Menteri bagi membacakan surat perisytiharan. Agak penting juga mengetahui isi kandungan surat perisytiharan itu. Ia berbunyi:
Bismillah Al-Rahman Al-Rahim. Bahawa inilah dimasyhurkan kepada sekelian orang serta penduduk negara Malaysia iaitu paduka raja-raja telah memilih Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan pada hari, waktu dan saat yang gilang-gemilang ini maka Seri Paduka Baginda ditabalkan naik takhta kerajaan menjadi turus negara bagi Malaysia dengan bergelar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Atur cara diteruskan dengan menyembahkan keris kerajaan, dimulai Datuk Penghulu Istiadat mengambil pahar berisi keris kerajaan dan mengiringi Datuk Paduka Maharajalela menghadap. Di hadapan singgahsana, Datuk Paduka Maharajalela tunduk hormat dan menerima pahar berisi keris kerajaan dari Datuk Penghulu Istiadat dan naik ke atas singgahsana berlutut dan menyembahkan keris kerajaan. Seri Paduka menerima keris kerajaan dan menghunus serta mengucup keris berkenaan. Ini diikuti seterusnya dengan atur cara menyembah warkah ikrar. Di peringkat ini, semua hadirin berdiri semasa Seri Paduka melafazkan ikrar. Sempurna sahaja ikrar dilafazkan nobat dipalu dengan lagu Raja Bertabal. Selesai nobat berbunyi, Datuk Paduka Maharajalela berseru daulat tuanku sebanyak tiga kali diikuti oleh para hadirin berturut-turut dalam Balairung Seri. Tembakan meriam 21 das dimulakan apabila seruan pertama daulat tuanku dimulakan. Serentak dengan tembakan meriam, lagu Negaraku dimainkan. Menyusuli selepas itu ialah upacara ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia. Ini dilakukan oleh Perdana Menteri. Setelah selesai ucapan Datuk Paduka Maharajalela mengadap semula dengan diiringi Datuk Penghulu Istiadat yang membawa dulang berisi warkah titah diraja. Seperkara perlu diingatkan, di antara upacara-upacara utama itu ada protokol yang perlu dipatuhi. Ini termasuk memohon perkenan, naik ke singgahsana, berlutut dan berundur turun. Bacaan doa dibaca sebelum atur cara menerima kembali al-Quran. Keseluruhan atur cara yang kebiasaannya mengambil masa lebih tiga jam itu telah selamat disempurnakan jika pengumuman keberangkatan meninggalkan Balairung Seri dibuat. Sebaik sahaja pengumuman selesai dibuat para hadirin semua berdiri dan diikuti dengan tiupan nafiri. Nobat dipalu dengan lagu Raja Berangkat. Nobat berhenti dipalu apabila Seri Paduka dan Raja Permaisuri tiba di pintu besar Balairong Seri dan berangkat balik menuju ke bilik dikhaskan. Melihat daripada protokol dan atur cara-atur cara itu sememangnya ia mempamerkan keunikan adat istiadat Melayu yang sehingga kini terus dipelihara oleh rakyat.