21 April 2007

Pelaburan Internet Sukar Dibendung.

MAJLIS Fatwa Kebangsaan ke-77 baru-baru ini memutuskan bahawa pelaburan melalui internet, mirip skim cepat kaya diharamkan berlandaskan kesepakatan ulama bahawa kontrak pelaburan akan terbatal sekiranya satu daripada pihak memperuntukkan jaminan keuntungan terhadap modal yang dikeluarkan kerana ia berunsur riba.
Persoalan sekarang apakah ada undang-undang untuk mengheret peneraju skim pelaburan ini ke muka pengadilan? Mereka mungkin mengaut keuntungan begitu banyak tanpa berasakan balasan kesalahan di dunia. Malah, ada sesetengah mereka adalah orang Islam tanpa berasakan ia satu kesalahan agama, sanggup mengetepikan hukum demi mengejar keuntungan.
Namun, skim seumpama itu dirasakan akan terus wujud dengan memaparkan dimensi bentuk perniagaan yang menjurus kepada skim cepat kaya iaitu keuntungan berlipat ganda dalam masa terdekat menerusi pendekatan sistem jualan langsung. Mereka akan berdaftar secara sah dari segi undang-undang dan melaksanakan peraturan yang ditetapkan, tetapi sebaliknya menjalankan `perniagaan' bertentangan dengan syariat dan undang-undang negara. Penggerak skim cepat kaya akan menggunakan platform jualan langsung menerusi pembinaan piramid dengan mengambil atau melantik seramai mungkin ahli dalam rangkaian perniagaan mereka. Mereka akan menggunakan `tiket' menjual barang untuk berselindung daripada transaksi perniagaan skim cepat kaya. Walaupun sudah jelas dari segi jenis barang yang boleh dijual dalam perniagaan jualan langsung dan bagaimana sistem ini beroperasi dalam Akta Jualan Langsung 1993, tahap pengetahuan dan kesedaran kebanyakan pengguna masih kurang. Sebagai contoh barang yang boleh dijual dalam sistem jualan langsung mestilah barang yang sukar diperoleh di pasaran dan pendapatan yang berulang-ulang oleh peniaga jualan langsung adalah hasil daripada komisyen yang diperoleh daripada penjualan barang berkenaan. Persatuan Jualan Langsung Malaysia (Direct Selling Association of Malaysia) menggariskan dengan begitu jelas konsep jualan langsung dan perbezaannya dengan sistem piramid. Antaranya, persatuan itu menekankan dalam industri jualan langsung, pendapatan yang diperoleh peniaga jualan langsung adalah hasil penjualan barang dan pembelian barang yang berulang-ulang. Tidak seperti sistem piramid yang hanya memperoleh pendapatan menerusi pengambilan ahli baru dan hanya sekali saja berlaku dan tidak berulang-ulang pada individu sama. Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan pelaburan dalam internet tanpa barang yang menghasilkan pendapatan menerusi kutipan perolehan pengambilan ahli baru yang melabur dalam skim pelaburan ini. Namun, taktik ini boleh menular menerusi skim jualan langsung dengan keuntungan juga boleh diperoleh menerusi pengambilan ahli baru dalam skim berkenaan. Mereka sebenarnya bukanlah menumpukan kepada barang yang dijual bagi menghasilkan pendapatan lumayan, sebaliknya daripada pengambilan ahli baru. Setiap pengambilan ahli baru `upline' akan mendapat komisyen lumayan. Kedua-dua skim berkenaan, sama ada pelaburan melalui internet atau penjualan langsung melalui skim pemasaran pelbagai tingkat (multi level marketing) dengan memberi penekanan kepada hasil pendapatan menerusi pengambilan ahli baru, adalah tergolong dalam kumpulan sistem piramid. Di negara kita, belum lagi diberi penekanan mewujudkan akta yang bersesuaian bagi membendung pembinaan sistem piramid ini. Sudah sampai masanya pihak berwajib memberi penekanan kepada pengwujudan satu akta khas bagi menggariskan perniagaan yang sebenarnya, di samping membendung sistem piramid berleluasa. Sistem piramid ini sebenarnya bukanlah perkara baru dan sudah berkembang di kebanyakan negara dan kegiatannya dipercayai boleh mencecah nilai jutaan ringgit dalam tempoh terdekat bergantung kepada cepatnya berkembang membina `downline'. Dengan perkembangan teknologi tanpa sempadan dan masa menerusi internet, sistem ini dijangka begitu mudah menjangkaui sasaran. Kita takut generasi akan datang menjadi malas berusaha dan hanya sedikit aktiviti boleh mendatangkan pendapatan lumayan, di samping menjadikan negara tidak produktif menghasilkan output kepada perkembangan ekonomi.