29 April 2007

BN Kekal Di Ijok

BATANG BERJUNTAI: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok apabila menewaskan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 1,850 undi pada pilihan raya kecil paling sengit dalam sejarah negara semalam. Calon BN, K Parthiban, 39, bekas guru dan Setiausaha MIC Tanjung Karang memperoleh 5,884 undi, manakala Tan Sri Abd Khalid Ibrahim, 61, tokoh korporat dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang dipertaruhkan PKR untuk merampas kerusi itu kecewa apabila hanya mendapat 4,034 undi.Perbezaan undi mengatasi 1,649 majoriti undi yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum 2004 itu agak mengejutkan berikutan saingan hebat parti pembangkang yang menampilkan pelbagai isu bagi meraih sokongan pengundi.Sebanyak 83.08 peratus daripada 12,272 pengundi menunaikan tanggungjawab sejak sembilan pusat pengundian dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang, iaitu rekod paling besar pengundi dalam pilihan raya kecil negara.Kemenangan BN itu disifatkan amat bermakna kerana selain menghadapi cabaran sengit PKR, pilihan raya kecil itu dicemari pelbagai insiden sejak hari penamaan calon pada 19 April lalu, termasuk baling membaling botol serta kayu akibat provokasi dan halangan terhadap pemimpin ketika melawat pusat mengundi semalam.Dengan kemenangan itu, BN kekal menguasai 54 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, manakala dua lagi iaitu Sungai Pinang dan Sekinchan diwakili DAP.