23 April 2007

Memberi Nilai Kepada Buku

SEORANG sarjana ulung dalam bidang komunikasi dari Kanada, Marshall McLuhan pernah meramalkan sebelum ini bahawa pada satu masa nanti buku akan mati.
Satu kenyataan yang pada akal kita barangkali kedengaran tidak logik sama sekali. Tetapi McLuhan berhujah bahawa kenyataan itu ada asas kerana pada pandangannya buku akan menemui ajal ditelan oleh medium telekomunikasi dengan mengambil kira segala macam kemudahan konsep langit terbuka.
Tetapi malangnya, ramalan McLuhan itu – buku akan mati – sehingga kini belum menampakkan tanda kebenarannya. Bahkan buku itu terus hidup, malah menjadi semakin penting saban hari, sedangkan McLuhan sendiri telah lama mati.
Shaharom TM Sulaiman pula dalam bukunya berjudul Ada Apa Dengan Buku mempersoalkan mana-mana kenyataan yang bersetuju bahawa buku itu benda mati.
‘‘Siapa kata buku itu benda mati? Benar, secara fizikalnya ia tidak hidup tetapi selain mengandungi pelbagai keanehan serta keunggulannya tersendiri, buku boleh mendatangkan sumber kewangan melalui pendekatan kreatif dalam bidang pelancongan. Contohnya, kampung buku Hay On-Wye, kampung buku pertama di dunia, terletak jauh terpencil di Wales tapi masih mampu menggamit pelancong,’’ tulis Shaharom dalam bab pengantar buku tersebut yang diterbitkan pada 2004.
Beliau seterusnya menyebut bahawa, kampung buku di Langkawi patut berpotensi menjadi seperti itu tetapi malang ia menjadi sebaliknya.
Dalam hal ini, masalahnya ialah kita tidak tahu memberi nilai kepada buku itu sendiri.
Sudah sewajarnya kita harus tahu memberi nilai sebenar kepada buku supaya ia dapat dijadikan wahana penting dalam pembangunan intelektual bangsa kita.
Apabila kita tahu menilai buku, maknanya kita telah menghargai buku dan sudah pasti maklum akan pentingnya membaca. Itu adalah matematik paling mudah.
Dalam hal ini, pandangan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, yang dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini boleh diambil kira.
Menurut beliau, kita orangnya (walau bukan semua) khalayak yang mementingkan hal-hal lain mendahului buku.
Sambil tidak menafikan ada peningkatan ketara dalam usaha kerajaan menggalak, menyemai dan menyemarakkan semangat membaca di kalangan rakyat, beliau masih melihat kurang minat dalam buku-buku serius, sebagai contoh kesusasteraan tinggi.
Berilmu
‘‘Buku-buku remaja, cinta umum atau hantu misteri memang meningkat, itu sudah pasti. Ini dapat sahaja dilihat daripada jumlahnya di pasaran.
‘‘Tetapi buku-buku kesusasteraan tinggi ini, ya, volumnya ada di pasaran, tetapi jumlah khalayak mendukacitakan,’’ katanya jujur mengakui hal itu amat melekat pada dirinya sendiri.
Begitu juga katanya, kita adalah masyarakat yang lebih rela menurut ‘naluri rasa’ bagi dilihat bergaya cantik dan bukannya selesa dipandang sebagai kumpulan berilmu.
Contohnya, kita sering sibuk-sibuk membeli jamu; dalam menu mesti ada kopi memberi tenaga serta riuh bercerita memakai jenama handal-handal tetapi menjadi lokek atau terlalu berkira untuk mendapatkan buku-buku tentang penjagaan kesihatan secara betul lagi teratur serta naskhah panduan motivasi diri.
Masalah ini bukan tiada jalan penyelesaiannya, kata beliau yang lebih gemar dipanggil Pak Samad.
‘‘Kesedaran perlu ada,’’ jawabnya ringkas sebelum menambah dengan kesedaran juga kita boleh lebih tahu memberi nilai kepada buku itu sendiri.
Jadi bagaimana kita patut memberi nilai kepada buku itu? Ia bergantung juga kepada keadaan dan masa.
Semasa remaja, kita mungkin membaca buku-buku yang lebih membincangkan kepada ilmu persediaan alam rumah tangga. Apabila dewasa sedikit, barangkali kita mencari buku-buku yang boleh memberi panduan bagi memantapkan ekonomi.
Sedang usia menginjak tua sedikit, mungkin beralih pula kepada buku yang ada hubungan membincangkan cara memelihara, membesarkan anak secara sempurna. Barangkali semasa usia emas, buku-buku agama menjadi pilihan hati, bukan lagi novel popular siswa-siswi.
Melihat kepada proses itu, kita sebenarnya dari kecil sehingga mati sekalipun, kita terus menggunakan buku. Semasa kecil, ibu membacakan al-Quran dan apabila kanak-kanak, buku-buku teks pula menjadi tatapan.
Dan, kita menggunakannya terlalu banyak – sepanjang usia – tetapi kita memberinya terlampau sedikit.
Kita mahukan macam-macam daripadanya, tetapi menghargainya dengan sangat terbatas.
Kita hanya menghargainya secara besar-besaran cuma sehari, 23 April setiap tahun, itu pun jika ada yang menyedarinya, kalau tidak ia berlalu begitu sahaja. Berbaloikah?
Memang tidak berbaloi sama sekali. Sepatutnya, kita, tanpa mengira usia, perlu merinduinya setiap masa, membacanya setiap ketika, menatapnya selagi boleh.
Sehari menghargai buku tidak mencukupi, seminggu juga belum tentu, tidak juga sebulan atau setahun dua.
Bagaimanapun, kita mengucapkan juga selamat hari buku sedunia sebagai tanda terima kasih atas lautan ilmu yang diberikan oleh buku.
Sementara itu, di negara ini, bertitik tolak daripada kesedaran pentingnya menghargai buku dan ilmu, pelbagai program telah dianjurkan oleh banyak pihak.
Antaranya ialah Program Keharuman Buku – Karnival Membaca di Kalangan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) Selangor.
Antara yang menarik dalam program yang berlangsung hari ini ialah seramai kira-kira 200 pelajar dari 14 buah sekolah jenis itu di Selangor berserta ibu bapa akan membaca buku beramai-ramai selama 423 saat (kira-kira tujuh minit). 423 saat ialah simbolik kepada hari jatuhnya perayaan hari buku sedunia.
Acara julung-julung kali diadakan itu akan dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di mana ia diadakan di SJK (C) Tsing Nian, Pelabuhan Klang.
Selain itu, satu seminar, Seminar Pencinta Buku Malaysia ke-2 anjuran Komuniti bukuonline.org yang bertemakan Pesona Toko Buku telah berlangsung semalam di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.
Selebihnya, untuk meraikan buku juga, akan ada pesta nanti, selama seminggu bermula 27 April ini. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBKL) 2007 adalah acara tahunan yang matlamat murninya ialah mahu melihat rakyat negara ini tahu menilai buku seterusnya menjadikan tabiat membaca sebagai satu budaya.