25 April 2007

Persiapan Pertabalan Agong Ke-13

Tuanku Mizan Zainal Abidin....Agong Ke-13

KUALA LUMPUR 24 April – Upacara Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, Khamis ini akan berlangsung dalam suasana gilang-gemilang dan penuh adat istiadat Melayu. Istiadat pertabalan penuh bersejarah dan berwarna-warni itu menjadi lambang keagungan institusi beraja di negara ini sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Segala persiapan majlis yang akan dihadiri oleh Raja-Raja Melayu, pemerintah-pemerintah negara asing dan pembesar-pembesar dari dalam dan luar negara itu kini di peringkat ‘sentuhan terakhir’. Satu raptai penuh istiadat tersebut diadakan di Balairung Seri, Istana Negara, hari ini yang turut dihadiri oleh Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Seri Paduka berdua mencemar duli melihat sendiri perjalanan raptai lebih sejam itu dari bilik khas Istana Negara dan berpuas hati dengan kelancaran programnya.