01 May 2007

Selamat Menyambut Pesta Kaamatan

Sambutan tradisi masyarakat Kadazandusun Murut Sabah, Pesta Menuai atau ‘Tadau Kaamatan', dilancarkan dalam suasana penuh adat tradisi oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, di Daerah Ranau, semalam. Pesta warisan generasi ke generasi itu bukan setakat tanda meraikan kejayaan petani memperoleh hasil memuaskan, malah disenaraikan dalam kalendar pelancongan Sabah. Bertema `Harmoni Dalam Kepelbagaian Budaya', Pesta Kaamatan menyatukan pelbagai etnik seperti Murut, Melayu, Dumpas, Cina dan Bajau apabila mula disambut pada peringkat negeri sejak 1960 ketika Kerajaan British Borneo Utara mewartakannya sebagai perayaan rakyat. Sambutan yang melangkaui batas sempadan kaum di negeri ini dengan sendirinya meningkatkan industri pelancongan Sabah yang memaparkan ciri perpaduan unik. Berdasarkan adat dan kepercayaan etnik Kadazandusun, padi mempunyai semangat (Bambarayon) yang harus dihormati dan petani perlu berterima kasih kepada Tuhan atas pemberian hasil padi yang baik menerusi upacara tertentu. Pesta Kaamatan turut disambut di daerah lain dengan menyediakan acara seperti pertandingan masakan tradisional dan sukan rakyat. Acara kemuncaknya ialah pertandingan ratu cantik atau Unduk Ngadau yang mengetengahkan jelitawan pelbagai etnik memperagakan pakaian tradisi masing-masing pada 31 Mei ini. Pengiktirafan kerajaan Persekutuan terhadap Pesta Kaamatan sebagai perayaan kebangsaan membuktikan kesan positifnya terhadap perpaduan kaum, selain memberi sumbangan kepada industri pelancongan negeri.