20 May 2007

Mila Juara AF5


Jumlah Undian AF5

Konsert Akhir: 1.9 juta

Keseluruhan Musim AF5:6.6 juta

Peratusan Undian Final AF5



Mila:32%

Ebi:26%

Aswad:21%

Heliza:11%

Candy:9%

Jumlah Keseluruhan



AF5:6.6 juta

AF4:7 juta

AF3:10.9 juta

AF2:16 juta

AF1:4.5 juta

KUALA LUMPUR 19 Mei – Program Akademi Fantasia Kelima (AF5) memecah tradisi apabila peserta wanita, Norsyarmilla Jirin, 19, atau lebih dikenali sebagai Mila diumumkan sebagai juara dalam konsert akhir pertandingan itu yang diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini.
Kemenangan gadis dari Pulau Pinang itu melakar sejarah baru AF kerana sebelum ini hanya peserta lelaki yang terpilih sebagai juara iaitu Vince (AF1), Zahid (AF2), Mawi (AF3) dan Faizal (AF4). Pemilihan Mila sebagai pemenang membolehkannya menerima hadiah bernilai hampir RM400,000 yang terdiri daripada sebuah kondominium di A’Famosa Resort, Melaka, sebuah kereta Toyota Vios dan pakej percutian ke Gold Coast, Australia tajaan Power Root. Gadis itu turut membawa pulang Sijil Simpanan Premium bernilai RM10,000 sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN), wang tunai RM20,000 sumbangan Hotlink dan trofi. Mila memberikan persembahan mantap dengan mempersembahkan lagu Cinta Pura-Pura (nyanyian asal Ezlyn) dan lagu terbaru ciptaan Ajai dan lirik Loloq iaitu Persis Mutiara.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Ebi Kornelis@Firdaus Yaimal, 23, dari Kota Kinabalu Sabah yang mempersembahkan lagu Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) dan Sinar Cinta.
Ebi membawa pulang hadiah bernilai RM96,768 termasuk sebuah kereta Toyota Vios, pakej percutian ke Hong Kong, sijil simpanan premium sebanyak RM7,000, wang tunai (RM10,000) dan trofi. Sementara Muhammad Nur Aswad Jaafar, 27, dari Pulau Pinang yang sebelum ini dikatakan pencabar utama untuk muncul juara hanya menduduki tempat ketiga. Beliau mempersembahkan lagu Mata Hati Jiwa dan Bila Mati Cinta Terhenti. Kemenangan itu membolehkan Aswad menerima hadiah pakej percutian ke Hong Kong, Sijil Simpanan Premium dan wang tunai masing-masing sebanyak RM5,000 dan trofi. Tempat keempat dimenangi Nur Heliza Helmi, 21, dari Kuala Terengganu dan kelima menjadi milik Candra Clement, 18, atau Candy dari Tambunan Sabah. Mereka masing-masing menerima wang tunai RM3,000 dan RM2,000, pakej percutian ke Bali dan Sijil Simpanan Premium bernilai RM2,000. Heliza menyampaikan lagu Cinta Boneka dan Cinta Di Lautan Lalang manakala Candy, Dedebu Cinta dan Demam. Akademi Fantasia yang diadaptasi daripada program La Academia, Mexico memulakan konsert minggu pertama bagi musim kelimanya pada 17 Mac lalu melalui saluran Astro Ria menyaksikan Diya peserta pertama yang tersingkir.