19 May 2007

Tuanku Zara Raja Puan Besar Perak


KUALA KANGSAR: Tuanku Zara Salim yang diijab kabul sebagai isteri Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, kelmarin, diisytihar sebagai Raja Puan Besar Perak pada satu istiadat di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, semalam. Orang Kaya Temenggong Paduka Raja, Datuk Seri Wan Fathir Wan Hussain, sebaik selesai membaca perisytiharan kurnia gelaran itu, melaungkan ‘Daulat, Daulat, Daulat’ dan diikuti hadirin serta paluan nobat.Lantikan Tuanku Zara, cicit kepada Sultan Kedah ke-24, Sultan Abdul Hamid Halim Shah, sebagai Raja Puan Besar Perak, mengisi kekosongan gelaran itu sejak dua dekad lalu.
Istiadat itu, yang dihadiri 150 kerabat Diraja terdekat serta dif kenamaan, bermula jam 10.05 pagi dengan Wan Fathir, yang juga Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, membaca perisytiharan kurnia gelaran yang diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkuat kuasa mulai semalam.Pengurniaan gelaran itu dibuat mengikut Bahagian Kedua Fasal 35(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang memperuntukkan Sultan Perak mengurniakan gelaran itu kepada isteri Raja Muda Perak.Perisytiharan Sultan Perak, yang dibacakan Wan Fathir itu menyebut: “Beta (Sultan Perak) berkenan mengurniakan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan kepada Zara Salim, isteri Duli Yang Teramat Mulia Raja Nazrin Shah, Raja Muda Perak Darul Ridzuan berkuat kuasa 18 Mei 2007. Ketahuilah dengan Gelaran ini Zara Salim akan dikenali sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim. “Dan lagi, inilah Kita memerintahkan sekalian Raja-Raja Bergelar, Waris-Waris Negeri, Kaum Kerabat, Hamba-Hamba Tua Orang Besar Perak, Pegawai dan Rakyat Kita yang dikasihi yang ada di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan ini dan sekalian mereka yang lain bersangkutan dengan perkara ini, supaya mengambil tahu hal ini dan mengikut dengan taatnya.” Diiringi Tunku Soraya Sultan Abdul Halim dan Datuk Seri Noraini Jane, Tuanku Zara yang berpakaian kebaya labuh berenda Perancis berwarna emas dengan taburan manik ungu, firuz dan merah jambu, menghadap Sultan Perak untuk menerima watikah perisytiharan gelaran. Tunku Soraya ialah anakanda Sultan Kedah serta isteri Raja Kechil Sulung Perak, Raja Datuk Seri Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris, manakala Noraini Jane, adalah isteri Raja Kechil Tengah Raja Datuk Seri Ashman Shah. Pada istiadat itu, Sultan Perak turut menganugerahkan Tuanku Zara dengan Darjah Kerabat Seri Paduka Sultan Azlan Shah Perak Yang Dihormati (DKSA), darjah tertinggi yang dikurniakan khas kepada ahli-ahli keluarga Diraja. Istiadat turut disaksikan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Nazrin Shah; Raja Di Hilir Perak, Datuk Seri Raja Jaafar Raja Muda Musa; ibu bapa, Tuanku Zara, Salim Davidson dan Sharifah Azaliah Syed Omar Shahabudin serta Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan isteri. Gelaran Raja Puan Besar Perak yang dikhaskan untuk isteri Raja Muda Perak kosong sejak dua dekad lalu berikutan kemangkatan Raja Muda Perak pada masa itu, Raja Ahmad Siffuddin Sultan Iskandar Shah pada April 1987. Gelaran itu terakhir disandang oleh isteri Almarhum Raja Ahmad Siffuddin, Raja Nor Izan Raja Abdul Rashid selama tiga tahun dan selepas kemangkatan baginda, Raja Nor Izan menggunakan gelaran Yang Teramat Mulia. Raja Nor Izan meninggal dunia pada 14 Julai 1998. Tuanku Zara, 34, anak bongsu daripada empat beradik, adalah lulusan kejuruteraan kimia daripada University of Nottingham dan pernah bertugas dengan anak syarikat Petronas, Petlin (M) Sdn Bhd sebagai pengurus produk dan sebelum melangsungkan perkahwinan dengan Raja Muda Perak, adalah Pengarah Urusan Forthwave Consulting Sdn Bhd, syarikat pembangunan perisian dan kejuruteraan teknikal hidrokarbon di Kuala Lumpur. Anak kelahiran Perak ini, satu-satunya puteri keluarga Salim Davidson, amat berminat dengan aktiviti sukan lasak dan bekas perenang negeri Perak. Bapanya pula seorang peguam terkemuka dan ibunya, Sharifah Azaliah adalah anak Menteri Besar Kedah ketiga, Tan Sri Syed Omar Syed Abdullah Shahabudin. Isteri Syed Omar, Tunku Aminah, adalah anakanda Sultan Kedah ke-24, Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan juga adinda kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.