23 May 2007

Kenaikan Gaji Hingga 35%

PUTRAJAYA: Lebih sejuta kakitangan awam akan menikmati kenaikan gaji di antara 7.5 hingga 35 peratus, manakala kadar Bantuan Sara Hidup atau Cola dinaikkan 100 peratus, berkuat kuasa 1 Julai ini.

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula mendapat tambahan 20 peratus lagi daripada peratusan kenaikan gaji yang diumumkan itu. Ini bermakna anggota polis dan tentera menerima kenaikan gaji antara sembilan hingga 42 peratus.Kenaikan gaji 1,002,040 kakitangan awam itu diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada perhimpunan Hari Pekerja sektor awam 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam. Hadirin menyambut pengumuman itu dengan tepukan gemuruh dan laungan ‘Hidup Pak Lah’. Turut menikmati kenaikan berikutan pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam itu ialah 557,033 pesara kerajaan. Kali terakhir semakan gaji kakitangan awam dibuat pada 1992.Perdana Menteri berkata, gaji pokok Kumpulan Sokongan 2 (Gred 1 hingga 16) dinaikkan 35 peratus; Kumpulan Sokongan 1 (Gred 17 hingga 40) sebanyak 25 peratus, Kumpulan Pengurusan Profesional (Gred 41 hingga Gred 54) sebanyak 15 peratus dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi (Jawatan Utama Sektor Awam atau Jusa C hingga Ketua Setiausaha Negara) sebanyak 7.5 peratus.Pengurusan tertinggi PDRM dan ATM pula mendapat kenaikan sembilan peratus, Kumpulan Pengurusan Profesional (18 peratus), Kumpulan Sokongan 1 (30 peratus) dan Kumpulan Sokongan 2 (42 peratus). Dengan kenaikan itu, gaji terendah kakitangan awam mencecah RM649.15 sebulan berbanding RM480.85 sebulan sekarang, manakala pendapatan terendah dicampur elaun tetap lain berjumlah RM1,024.15 sebulan berbanding RM805.85 sebulan sekarang.Pendapatan terendah itu juga hampir menyamai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi seluruh Malaysia, iaitu RM691 sebulan. Abdullah yang juga Menteri Kewangan, berkata kenaikan gaji itu membabitkan perbelanjaan tambahan RM3.4 bilion tahun ini atau RM6.8 bilion setiap tahun, manakala peningkatan kadar Cola memerlukan perbelanjaan tambahan RM600 juta tahun ini atau RM1.2 bilion setahun.Dalam kenyataannya selepas pengumuman itu, Perdana Menteri menjelaskan lapan kategori kakitangan awam layak mendapat kenaikan gaji berkenaan.Mereka ialah pegawai di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) meliputi pegawai tetap, pegawai kontrak, pegawai sementara, pegawai sambilan, guru sambilan, pegawai khidmat singkat, pegawai yang bercuti belajar gaji penuh, separuh gaji dan tanpa gaji serta pegawai yang dipinjamkan atau ditukar sementara.Abdullah menjelaskan, kerajaan bersetuju memanjangkan tambahan kenaikan gaji kepada ATM walaupun ia hanya dituntut PDRM sebelum ini kerana wujud ketetapan service ranking atau kedudukan ATM yang paling atas berbanding PDRM dan perkhidmatan awam lain. Beliau berkata, secara purata gaji PDRM adalah di antara lima hingga 15 peratus lebih tinggi daripada gaji kakitangan awam, manakala gaji ATM antara tiga hingga 11 peratus lebih tinggi daripada gaji PDRM.Perdana Menteri yakin kenaikan gaji itu akan meringankan beban anggota sektor awam, terutama dalam kumpulan terendah."Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan semua anggota sektor awam bahawa dengan kenaikan ini, harapan seluruh rakyat serta kerajaan kepada sektor awam akan meningkat," katanya pada perhimpunan yang dihadiri lebih 5,000 kakitangan awam dari seluruh negara itu.Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Tan Sri Sidek Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dan Presiden Cuepacs, Omar Osman yang diberi penghormatan untuk duduk bersama Perdana Menteri di pentas utama Dewan Plenari itu.
Abdullah berkata, kerajaan membuat pertimbangan menaikkan gaji kakitangan awam berdasarkan empat faktor, iaitu prestasi ekonomi negara, keperluan menarik dan mengekalkan modal insan berkelayakan, kenaikan kos sara hidup serta kemampuan kewangan kerajaan.Kuantum itu diputuskan secara cermat dan berhemat kerana sebarang kenaikan gaji kakitangan awam akan turut membabitkan pengiraan pencen serta elaun tertentu."Kerajaan juga mengiktiraf beban tanggungjawab serta cabaran tugas masa kini yang dihadapi PDRM dan ATM. Maka, kerajaan memutuskan untuk memberi kenaikan tambahan kepada PDRM dan ATM sebanyak 20 peratus di atas peratusan kenaikan gaji untuk semua anggota sektor awam yang diumumkan tadi," katanya.Beliau menasihatkan kakitangan awam supaya terus meningkatkan produktiviti serta mutu perkhidmatan kepada rakyat sejajar hasrat kerajaan menjadikan perkhidmatan awam negara sektor yang terbilang di dunia."Selain menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik, kerajaan amat berharap anggota sektor awam akan lebih menekankan aspek perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah kepada perkhidmatan termasuk mengurangkan kerenah birokrasi, sentiasa mesra, telus, responsif, kreatif dan mementingkan pelanggan."Sekiranya kita mempunyai hala tuju dan matlamat yang sama, negara dan rakyat akan terus makmur dan sudah pasti kita juga akan menikmati kejayaan bersama, InsyaAllah," katanya.
INFO
Kenaikan gaji kakitangan awam100 peratus - kenaikan Elaun Kos Sara Hidup (Cola)* Kadar semasa RM100 sebulan; kadar baru RM200 sebulan (luar bandar)* Kadar semasa RM150 sebulan; kadar baru RM300 sebulan (bandar) 35 peratus -
Kumpulan Sokongan II* Gred 1 hingga 16 * Contoh: pemandu, tukang masak, buruh dan pembantu pejabat* Gaji semasa: RM499.64 (minimum) / RM872.89 (maksimum)* Gaji baru: RM674.51 (minimum) / RM1,178.40 (maksimum)25 peratus -
Kumpulan Sokongan I* Gred 17 hingga 40* Contoh 1: kerani* Gaji semasa: RM656.30 (minimum) / RM1,721.10 (maksimum)* Gaji baru: RM820.37 (minimum) / RM2,151.37 (maksimum)* Contoh 2: guru lepasan diploma* gaji semasa: RM1,124.57 (minimum) / RM2,428.95 (maksimum)* Gaji baru: RM1,405.71 (minimum) / RM3,036.18 (maksimum)15 peratus -
Kumpulan Pengurusan dan Profesional* Gred 41 hingga 54* Contoh 1: guru lepasan ijazah* Gaji semasa: RM1,474.65 (minimum) / RM4,039.85 (maksimum)* Gaji baru: RM1,695.84 (minimum) / RM4,645.82 (maksimum)* Contoh 2: Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD)* Gaji semasa: RM1,733.59 (minimum) / RM4,102.77 (maksimum)* Gaji baru: RM1,993.62 (minimum) / RM4,718.18 (maksimum)7.5 peratus -
Kumpulan Pengurusan Tertinggi* Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa)* Contoh 1: Ketua Pengarah* Gaji semasa: RM6,571.40 (minimum) / RM8,229.10 (maksimum)* Gaji baru: RM7.064.25 (minimum) / RM8,846.10 (maksimum)* Contoh 2: pengarah jabatan* Gaji semasa: RM6,135.80 (minimum) / RM7,672.50 (maksimum)* Gaji baru: RM6,595.98 (minimum) / RM8,247.93 (maksimum)Kenaikan gaji PDRM dan ATM 42 peratus -
Kumpulan Sokongan II* Gred 1 hingga 16 * Contoh: Prebet * Gaji semasa: RM684.00 (minimum) - RM1,670.17 (maksimum) * Gaji baru: RM923.4 (minimum) - RM2,254.7 (maksimum) 30 peratus -
Kumpulan Sokongan I * Gred 17 hingga 40 * Contoh: Leftenan Muda * Gaji semasa: RM1,175.00 (minimum) - RM1,781.21 (maksimum) * Gaji baru: RM1,468.75 (minimum) - RM2,226.5 (maksimum) 18 peratus -
Kumpulan Pengurusan dan Profesional * Gred 41 hingga 54* Contoh: Kolonel* Gaji semasa: RM4,460.46 (minimum) - (maksimum) RM5,816.87 - * Gaji baru: RM5,129.5 (minimum) - RM6,594.9 (maksimum)9 peratus -
Kumpulan Pengurusan TertinggiJawatan Utama Sektor Awam (Jusa)* Contoh: Brig Jeneral * Gaji semasa: RM4,975.00 (minimum) - RM6,699.25 (maksimum) * Gaji baru: RM5,348.12 (minimum) - RM7,201.6 (maksimum)