20 May 2007

Chelsea Juara FA

LONDON - Chelsea berjaya menebus kehampaan dalam saingan Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara Eropah apabila menjuarai Piala FA England, semalam. Penyerang dari Ivory Coast, Didier Drogba muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan untuk menewaskan Manchester United 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Wembley yang berwajah baru itu. Gol tunggal perlawanan bagaimanapun hanya menjelma pada minit ke-116 masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam 90 minit permainan sebenar. United ternyata tidak bernasib baik apabila dua percubaan bahaya Wayne Rooney dan Ryan Giggs di awal babak kedua diselamatkan penjaga gol Chelsea, Petr Cech. Ia menjadi gambaran awal betapa serangan United lebih tajam mengancam kubu Chelsea yang turun tanpa beberapa tonggak utama seperti Ricardo Carvalho, Michael Ballack dan Andriy Shevchenko. Begitu pun usaha menggandingkan Joe Cole, Shaun Wright-Phillips bersama Drogba di depan hanya berkesan di babak pertama. Ini menyaksikan seawal minit ketiga, hantaran lintang Wayne Bridge memberi ruang kepada Drogba untuk membuka jaringan tetapi tandukanya sedikit tersasar atas palang gol. Begitu juga dengan percubaan Wright-Phillips mudah dipatahkan Rio Ferdinand selepas itu. United hanya mendapat peluang pertama menjaringkan gol selepas 15 minit permainan berlangsung tetapi Rooney lebih dulu ofsaid. Cristiano Ronaldo juga terlepas peluang pada minit ke-35 apabila sepakannya tersasar. Selepas rehat, United meningkatkan tempo permainan tetapi mendapati Cech kebal di gawangnya. Walaupun percubaan demi percubaan diatur kedua-dua pasukan, ia masih gagal memecah kebuntuan jaringan sehinggalah jaringan Drogba menamatkan penantian mereka di masa kecederaan.