03 May 2007

Liverpool Ke Final

Liverpool (4) - Chelsea (1)


LIVERPOOL, England - Jose Reina meletakkan Liverpool ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan menyingkirkan Chelsea apabila menyelamatkan dua sepakan penalti pada aksi penentuan penuh dramatik di Anfield, semalam. Reina berjaya menafikan sepakan Arjen Robben dan Geremi, sebelum Dirk Kuyt melengkapkan jaringan rakan sepasukan, Bolo Zenden, Xabi Alonso serta Steven Gerrard menewaskan penjaga gawang Chelsea, Petr Cech. Sebelum itu, Daniel Agger menghasilkan gol yang dilakukan dengan cukup sempurna pada pertengahan babak pertama untuk membolehkan Liverpool menang 1-0 sekaligus mengikat kedudukan agregat 1-1. Seperti mana apabila jaringan Joe Cole menjadi penentu pada pertemuan pertama, perlawanan kali ini juga menyaksikan penguasaan tuan rumah, tetapi berlangsung dalam keadaan sengit dan penalti penentuan memang dijangka dari awal. Jose Mourinho yang menyaksikan pasukannya dikalahkan oleh Liverpool pada peringkat yang sama dua tahun lepas, telah membuat ramalan tepat sebelum perlawanan bahawa ketiadaan Ricardo Carvalho di bahagian pertahanan Chelsea, Peter Crouch akan berada dalam senarai utama Liverpool bagi memberikan kelebihan seperti mana ketika mereka menang 2-0 dalam aksi Liga Perdana awal tahun ini.