


Majlis perkahwinan kemudian diteruskan dengan istiadat menepung tawar yang dimulakan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong diikuti Tuanku Haminah. Kemudian diikuti oleh Sultan Azlan Shah, Tuanku Bainun, Sultan Sharafuddin dan kekanda sulung Sultan Perak, Raja Datuk Seri Baharum Shah. Turut menyempurnakan majlis menepung tawar ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Istiadat Perkahwinan Diraja itu diakhiri dengan ayahanda dan bonda Tuanku Zara, Salim Davidson dan Sharifah Azaliah Syed Omar Shahabuddin menyempurnakan upacara yang sama.
Tuanku Zara kelihatan terharu semasa ayahanda dan bondanya menyempurnakan upacara tepung tawar.
Selesai istiadat menepung tawar, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria membaca doa memohon keberkatan ke atas pasangan pengantin diraja itu agar dipanjangkan perkahwinan mereka sehingga ke akhir hayat. Majlis diakhiri dengan keberangkatan keluar pasangan pengantin dan tetamu majlis dari balairung seri menuju ke dewan santapan bagi memulakan acara santapan diraja. Majlis persandingan yang merupakan kemuncak istiadat perkahwinan diraja itu disaksikan lebih 700 tetamu dan orang kenamaan yang diundang.
Sementara itu, di Arena Square di sini berlangsung majlis jamuan bagi meraikan 5,000 tetamu tajaan putera berjiwa rakyat, Raja Dr. Nazrin. Suasana bandar Kuala Kangsar bertambah ceria dan meriah dengan pesta panjut dan pertunjukan bunga api setinggi 300 meter selama 30 minit tajaan MCA. Tetamu di Arena Square dan di bandar raya Ipoh juga berpeluang menyaksikan Istiadat Persandingan Diraja itu secara langsung melalui tiga skrin gergasi yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).