30 July 2007

Iraq Juara

Ketua pasukan Iraq, Younis Mohmoud (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan sambil pemain Arab Saudi begitu hampa pada perlawanan akhir Piala Asia di Jakarta, semalam. Iraq menang 1-0. – AFP.
JAKARTA – Ketua pasukan, Younis Mahmoud muncul wira apabila gol jaringannya menghadiahkan kejuaraan Piala Asia kali pertama buat Iraq dalam sejarah pertandingan itu semalam. Tandukan berharga Younis pada minit ke-71 membolehkan Iraq menewaskan Arab Saudi 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Gelora Bung Karno itu. Permainan yang berlangsung pantas dengan gerakan-gerakan menarik dipamerkan kedua-dua pasukan Tanah Arab itu berakhir dengan penuh dramatik dan bersejarah buat Iraq yang masih dibelenggu peperangan. Dengan mempamerkan permainan cukup bersemangat, pemain-pemain Iraq mengatasi dari setiap segi dan memang berhak menang ke atas Arab Saudi yang pernah muncul juara tiga kali Piala Asia sebelum ini. Mendapat sokongan moral daripada rakyatnya yang menderita akibat perang, Iraq bermain penuh keazaman tinggi untuk melemahkan jentera serangan Arab Saudi. Menerusi asakan-asakan keras dan corak permainan bertenaga yang dipamerkan Iraq, Arab Saudi gagal bermain seperti biasa hingga menyebabkan mereka hilang punca. Kesempatan itulah diambil sebaik mungkin oleh Iraq untuk menekan Arab Saudi hingga menyaksikan gol kemenangan berjaya dihasilkan berpunca daripada kelemahan lawannya itu.
Younis yang tidak dikawal menyambut bola sepakan sudut Hawar Mohammed ketika pemain-pemain Arab Saudi semakin hilang tumpuan. Jaringan itu membolehkan Younis muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan empat gol untuk berkongsi kedudukan dengan pemain Arab Saudi, Yasser Al Qhatani dan pemain Jepun, Naohiro Takahara. Iraq turun sebagai pasukan yang hanya melepaskan dua gol sepanjang kejohanan tetapi berdepan barisan serangan Arab Saudi yang paling produktif iaitu 12 gol. Namun semalam, ternyata benteng pertahanan Iraq adalah yang terbaik pada kejohanan kali ini apabila berjaya menyekat setiap gerakan barisan depan Arab Saudi. Di peringkat kumpulan sebelum ini, Iraq menewaskan Australia 3-1 dan layak ke perlawanan akhir dengan menewaskan Korea Selatan menerusi penentuan sepakan penalti di separuh akhir, Rabu lalu.
– AFP