02 July 2007

Raja Berjiwa Rakyat

Sultan Kedah jalan kaki 2km redah kesesakan trafik
Oleh Muhd. Nizam Abd. Hamid
Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
ALOR STAR 1 Julai – Akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk ke Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang malam tadi bagi menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Kedah dan Perlis. Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizzudin Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pula terpaksa membonceng motosikal polis untuk ke stadium tersebut ekoran kesesakan yang amat teruk bermula sejak pukul 4.30 petang lagi. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Othman Aziz berkata, pihaknya kesal dengan kelemahan pengurusan trafik sehingga insiden tersebut menimpa peminat nombor satu bola sepak Kedah dan Perlis itu. ‘‘Sultan Kedah terpaksa berjalan kaki kira-kira 45 minit untuk ke stadium tersebut apabila kenderaan rasmi yang membawa baginda terperangkap dalam kesesakan jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas meraikan para pemain Kedah di Menara Alor Star di sini hari ini. Perlawanan akhir antara pasukan berjiran Kedah dan Perlis itu berkesudahan dengan Kedah menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti. Tegas Othman, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana Sultan Kedah dan Pemangku Raja Perlis dijemput oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyampaikan hadiah kepada pasukan yang bertanding. Menurutnya, pihak penganjur sepatutnya memastikan laluan khas tetamu kenamaan bebas daripada kesesakan jalan raya dan masalah-masalah lain. Ekoran kejadian tersebut, katanya, kerajaan negeri akan membuat aduan kepada pihak-pihak berkenaan.